http://speakforperak.blogspot.com/
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Rabu, 21hb Mac 2012: SPR tidak berani membersihkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya sepatutnya berfungsi sebagai satu badan yang neutral. Ini adalah penting untuk menjamin keadilan dan ketelusan dalam pilihanraya yang dikendalikan olehnya. Suruhanjaya Pilihanraya adalah satu badan bebas yang memastikan pilihanraya dijalankan dengan betul dan ikhlas. Rakyat harus memberi kepercayaan penuh kepada Suruhanjaya ini untuk menjamin kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara. Suruhanjaya Pilihanraya perlu memastikan bahawa sistem demokrasi tidak tercalar kerana penipuan dan langgar syarat pilihanraya. Rakyat Malaysia kini tidak menaruh kepercayaan penuh terhadap Suruhanjaya Pilihanraya. Nyata sekali badan ini tidak neutral dan dapat dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihanraya sentiasa dipengaruhi dan dipimpin oleh Kerajaan Barisan Nasional. Dalam kata lain, Suruhanjaya Pilihanraya mengikut telunjuk Barisan Nasional dalam kebanyakan keputusan dan tindakannya. Sering kali tindakan-tindakan Suruhanjaya Pilihanraya adalah berat sebelah seolah-olah mahu memastikan kemenangan kepada pihak Barisan Nasional. Ini akan menyebabkan pertarungan di gelanggan piliharaya begitu payah kepada Pakatan Rakyat. Bayangkan seorang pengadil yang berat sebelah dalam suatu permainan bola sepak. Sudah pasti satu pihak akan menghadapi tekanan yang keterlaluan manakala pihak yang satu lagi akan mengambil peluang dan kesempatan. Rakyat mahu melihat satu pilihanraya yang adil dan saksama. Mereka telah membuat tuntutan melalui Perhimpunan Bersih. Jika Suruhanjaya Pilihanraya mahu bertindak secara adil maka tuntutan rakyat yang akan mengundi itu harus dikabulkan. Suruhanjaya Pilihanraya tidak seharusnya mencari alasan atau jalan lain untuk membantu Barisan Nasional yang memperolehi keuntungan dalam aturan yang sedia ada. Banyak bukti dapat disenaraikan sebagai alasan untuk menganggap Suruhanjaya Pilihanraya tidak neutral dan mempunyai agenda tersendiri untuk membantu Barisan Nasional. Baru-baru ini kawasan mengundi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diubah tanpa pengetahuannya. Mengubah kawasan mengundi seseorang tanpa pengetahuannya adalah satu tindakan yang boleh mencemarkan lagi nama Suruhanjaya Pilihanraya. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya harus memberi penjelasan yang sewajarnya berhubung dengan perkara ini. Jika kawasan mengundi seorang Menteri Besar boleh diubah tanpa pengetahuannya, maka terdapat sesuatu keganjilan dalam pentadbiran Suruhanjaya Pilihanraya. Apakah tujuan Suruhanjaya Pilihanraya mengubah kawasan mengundi seseorang tanpa pengetahunnya? Adakah Suruhanjaya Pilihanraya mahu menghalang seseorang itu daripada mengundi apabila kawasan mengundinya ditukar jauh daripada kawasan asal? Pengundi seharusnya mengetahui dan bersetuju untuk mengubah kawasan mengundinya. Tambahan pula, perkara ini dikawal oleh peraturan bahawa kawasan mengundi yang didaftarkan seseorang itu adalah berdasarkan alamat di kad pengenalan. Bagaimana boleh wujud lebih seratus orang pengundi di dalam satu alamat rumah yang sama tanpa pengetahuan suruhanjaya Pilihanraya? Keadaan seperti ini wujud merata tempat di negara kita. Kenapa perkara ini tidak mahu diperbetulkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya sebelum PRU13? Daftar pemilih masih kotor dan perlu dibersihkan. Tetapi, tidak nampak sebarang usaha daripada pihak Suruhanjaya Pilihanraya untuk membersihkan daftar pemilih yang sedia ada. Persoalannya kenapakah Suruhanjaya Pilihanraya begitu degil untuk tidak membersihkan daftar pemilih itu? Bukankah pembersihan itu akan meningkatkan tahap kejituan dan mutu pilihanraya itu sendiri? Ini merupakan satu masalah yang serius mengenai daftar pemilih dan perlu ditangani dengan segera. Rakyat harus memberi tekanan kepada Suruhanjaya Pilihanraya supaya memastikan proses pengundian di negara kita tidak dinodai oleh anasir-anasir jahat yang gila kuasa. * V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh
|