red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 19hb Mac 2012: 

DAP tidak akan menyertai Jawatankuasa Pemilihan Parlimen mengenai Loji Pemerosesan Nadir Bumi Lynas yang bersifat pura-pura  

DAP tidak akan menyertai Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) mengenai Loji Pemerosesan Nadir Bumi Lynas yang memalukan kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) untuk menghalalkan loji Lynas dan memaksa orang awam menerimanya tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan.

DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan Barisan Nasional menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengesahkan bahawa PSC adalah satu samaran yang pura-pura oleh BN untuk menghalalkan apa yang salah dan bertentangan dengan kepentingan awam, dengan mengatakan bahawa PSC tidak akan menentukan nasib Lynas. Beliau menambah bahawa PSC hanyalah satu proses perbincangan untuk membolehkan projek Lynas diteruskan dan tidak akan ditentang oleh rakyat atau mencetuskan kebimbangan rakyat.

Perdana Menteri berharap bahawa jawatankuasa itu dapat meningkatkan kesedaran projek tersebut supaya "kita dapat mencapai keselesaan dari segi penerimaan yang lebih baik daripada orang ramai". Dengan perkataan lain, langkah ini hanyalah bertujuan membantu projek tersebut mendapat sokongan rakyat dan membantu kerajaan BN meyakinkan rakyat Malaysia bahawa tidak ada ancaman daripada loji nadir bumi Lunas dan sisa buangannya yang bakal mendatangkan bahaya.

Jika PSC tidak dapat menentukan nasib projek tersebut, maka ia adalah sesuatu yang hanya membuang masa untuk kita sertai kerana ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai fait accompli (yang telah ditentukan) untuk meluluskan sahaja loji bernilai RM700 juta itu. Kerajaan BN telah mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, khususnya mereka di Kuantan, dengan mendahulukan keuntungan berbanding nasib rakyat, apabila menganugerahkan Lynas dengan projek tanpa perlu membayar cukai selama 12 tahun.

Rakyat Malaysia tidak akan mudah diperbodohkan oleh BN. Kami menuntut penjelasan terhadap isu yang sebenar. Sehingga hari ini tidak ada jaminan dan ketentuan di mana sisa buangan radioaktif akan dibuang.

Pada mulanya Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) telah mendakwa bahawa Lynas Corporation akan diarahkan supaya menghantar pulang sisa radioaktif ke Australia jika ia gagal mewujudkan kemudahan pembuangan sisa kekal di sini. Ini telah ditolak oleh Australia.

Kemudian AELB mengatakan sisa buangan mungkin disimpan di ladang-ladang bijih timah yang sudah tidak digunakan lagi di Sungai Lembing, di mana ini mengesahkan lagi bahawa sisa-sisa tersebut akan dibuang di bumi Malaysia. Jelas kerana untung besar yang akan hanya dinikmati segelintir manusia, BN sanggup berjudi bukan sahaja dengan kesihatan kita tetapi juga keselamatan alam sekitar untuk generasi kita yang akan datang.

Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah menolak sebarang cadangan loji Lynas atau reaktor nuklear di Pulau Pinang kerana kami tidak akan bertolak-ansur dalam soal keselamatan rakyat Malaysia. DAP akan mencadangkan kepada PR supaya tidak menyertai PSC kerana kita tidak sepatutnya dijadikan alat oleh BN bagi membohongi rakyat dan menjustifikasi tindakan BN untuk membenarkan loji nadir bumi Lynas beroperasi di Malaysia.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional