http://speakforperak.blogspot.com/
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Selasa, 1hb Mei 2012: Gaji minima perjuangan Pakatan Rakyat Perdana Menteri Najib Tun Razak telah mengumumkan gaji minima sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak. Walaupun jumlah ini tidak seperti yang disarankan oleh Pakatan Rakyat, tetapi sekurang-kurangnya ada satu pendirian baru dalam isu gaji minima ini. Kerajaan Barisan Nasional yang berdegil selama ini, akhirnya terpaksa tunduk kepada tuntutan Pakatan Rakyat memperkenalkan gaji minima untuk rakyat Malaysia. Barisan Nasional telah mengabaikan warga pekerja selama lebih 50 tahun. Ramai daripada warganegara kita mendapat gaji bulanan yang terlalu rendah. Mereka tidak dapat menyara diri dan keluarga mereka dengan pendapatan yang kecil itu. Tambahan pula dalam keadaan inflasi yang semakin melonjak, golongan berpendapatan rendah ini akan tertekan dan menjadi fakir miskin. Walaupun kerajaan sedar tentang masalah yang dibangkitkn, tetapi tidak pernah mempedulikan nasib pekerja-pekerja yang malang ini. Barisan Nasional lebih mementingkan majikan-majikan kaya raya yang sebahagian besar daripadanya merupakan kroni mereka. Barisan Nasional tidak pernah memikirkan kebajikan dan keselamatan pekerja-pekerja yang bergaji rendah. Pekerja-pekerja juga telah bosan dengan kerajaan Barisan Nasional yang angkuh dan tidak bertimbang rasa. Pihak Pakatan Rakyat pula dari dulu lagi mendesak kerajaan supaya mewujudkan dasar gaji minima. Ini merupakan tuntutan dan perjuangan Pakatan Rakyat untuk warga pekerja yang berpendapatan rendah. Sebelum wujud Pakatan Rakyat, ketiga-tiga parti DAP, PAS dan PKR sudah pun memperjuangkan gaji minima dalam kapasiti parti masing-masing. Setelah Pakatan Rakyat diwujudkan, perkara ini telah dijadikan isu bersama dan terus diperjuangkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, Pakatan Rakyat menuntut supaya gaji minima sebanyak RM1100 di Semenajung Malaysia dan RM 900 untuk Sabah dan Sarawak. Pakatan Rakyat mengumumkan dasar gaji minima yang akan dilaksanakan apabila memegang Putrajaya. Perkara ini tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Ada diantara pemimpin-pemimpin Barisan Nasional seperti Tun Mahathir mendakwa negara akan muflis jika dasar gaji minima ini diperkenalkaan. Ini adalah ugutan untuk menakutkan rakyat malayia. Ramai juga orang menjadi keliru dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini. Negara tidak akan muflis, selagi tidak ada rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran kewangan negara. Oleh kerana desakan Pakatan Rakyat , Barisan Nasional terpaksa mengumumkan dasar gaji minima pada Hari Pekerja. Pada pandangan saya, ini adalah satu lagi projek Najib Tun Razak di bawah program 'I help you, You help me'. Walau bagaimanapun, Pakatan Rakyat telah mencapai separuh kejayaan apabila Perdana Menteri terpaksa tunduk kepada permintaannya melaksanakan dasar gaji minima. Kekuatan Pakatan Rakyat selepas PRU 12 menyebabkan kerajaan Barisan Nasional terdesak untuk menetapkan gaji minima untuk warga Malaysia. * V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh
|