red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 1hb Mei 2012: 

Semua Rakyat Malaysia harus memakai hitam dan pin reben kuning pada 3 Mei 2012 untuk memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia  

DAP menyokong penuh dan menyeru agar semua rakyat Malaysia memakai hitam dan pin reben kuning pada 3 Mei 2012 bukan sahaja untuk memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia tetapi juga untuk berdiri dalam solidariti bersama para wartawan dan jurugambar yang telah dipukul, kamera dirampas atau dipecah serta dimangsakan oleh keganasan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur.

Pihak awam harus berdiri dalam solidariti bersama pekerja media dan wartawan yang telah menjadi mangsa keganasan polis semasa perhimpunan aman Bersih 3.0 di Kuala Lumpur Sabtu lepas. Memang sah bahawa pihak polis telah memukul para pekerja media apabila Perdana Menteri sendiri telah membisikkan maaf kepada wartawan The Sun Radzi Razak yang telah dimasukkan ke dalam wad hospital selepas dipukul.

Kami mengutuk hebat adegan-adegan ganas Sabtu lepas di perhimpunan Bersih 3.0 di mana ramai pemprotes termasuk pekerja media dan wartawan telah dipukul dan dicederakan oleh pegawai-pegawai polis. Banyak laporan yang menceritakan keganasan polis, termasuk wartawan The Sun Radzi Razak yang telah dipukul oleh sehingga 15 pegawai polis, sementara seorang jurugambar Malay Mail telah ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan. Seorang wartawan Malaysiakini pula telah ditahan dan peralatan kameranya telah dirampas. Malah wartawan antarabangsa daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila mereka telah dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul pemprotes.

Apakah yang sudah terjadi apabila peraturan keramat kebebasan akhbar boleh dilanggar secara terbuka, umum dan terang-terangan? Dahulu, kebebasan akhbar telah disekat secara senyap dan bukan secara umum melalui penapisan sendiri oleh para pengarang. Yang lebih teruknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein tergamak menyatakan bahawa tindakan untuk merampas peralatan kamera itu adalah "Standard Operating Procedure" (SOP) polis. Namun demikian, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sendiri telah menyatakan bahawa perampasan peralatan kamera itu bukanlah SOP polis, lantas bercanggah dengan Hishamuddin.

Sekiranya Ketua Polis Negara betul, maka Hishamuddin harus meminta maaf kepada setiap wartawan yang telah dipukul. Beliau harus juga memerintah agar siasatan dibuat untuk membawa pegawai-pegawai yang bersalah ke muka pengadilan. Jika ini tidak dibuat dengan terbuka dan tanpa mengaburi kebenaran, maka beliau akan lagi merosakkan reputasi polis yang sudah terhakis.

Rakyat Malaysia mempunyai keraguan sama ada siasatan yang penuh akan berhasil dan tindakan akan diambil ke atas pesalah. Kita teringat kepada tindakan pihak polis yang tidak membuat apa-apa dalam insiden Jambatan Pulau Pinang pada bulan Julai tahun lepas apabila pembantah pro-UMNO telah menggangu aliran trafik dan memukul 2 orang wartawan. Sehingga kini tidak ada sebarang penangkapan.

Insiden yang kedua pula adalah semasa perhimpunan anti-Lynas di Sudut Pidato di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 26 Februari, apabila ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah bertindak ganas dan mencederakan 2 orang wartawan. Seorang wartawan terpaksa menerima 8 jahitan kerana kecederaannya.

Pegawai-pegawai polis di sana hanya berdiri dan tidak menghentikan atau menangkap mereka yang terlibat dalam keganasan ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang menyerang para pemprotes anti-Lynas yang aman. Sehingga sekarang, tidak ada seorang pun yang telah ditahan atau didakwa oleh polis Pulau Pinang.

Jika samseng UMNO dan Perkasa boleh bertindak ganas terhadap wartawan di Pulau Pinang tanpa sebarang tindakan diambil walaupun terdapat banyak bukti gambar dan video, bolehkah kita mengharapkan keadilan apabila pihak polis pula yang kali ini bertindak ganas? Hanya siasatan yang terdiri daripada pakar antarabangsa boleh memberi laporan yang boleh dipercayai supaya kita boleh mengetahui kebenaran apa sebenarnya yang berlaku.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional