Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 10hb Mei 2012: Adakah perlantikan Tun Mohammad Hanif Omar akan menjadi alasan untuk mewajarkan penipuan BN bahawa Bersih 3.0 merupakan cubaan coup d'état? Perlantikan mantan ketua polis negara Tun Mohammad Hanif Omar sebagai ketua panel penasihat bebas untuk menyiasat insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 telah menimbulkan kebimbangan rakyat dan persoalan sama ada siasatan ini akan mengaburkan kebenaran keganasan polis atas peserta yang berhimpun secara aman, menutup penderitaan mangsa-mangsa ataupun menjadi alasan untuk mewajarkan penipuan BN bahawa Bersih 3.0 merupakan cubaan coup d'état. Hanif, yang kini menjadi timbalan pengerusi Genting Malaysia Bhd, telah mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0, dan telah menyokong dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan. Hanif telah menambah bahawa taktik menggunakan dalang pencetus provokasi untuk menyebabkan pertelingkahan dengan polis serta membawa kanak-kanak bersama dalam harapan mereka akan dicederakan merupakan taktik yang dipelajari oleh demonstrasi pro-komunis dahulu. Bagaimana Dato' Sri Najib Razak boleh menganggap Hanif sebagai seorang individu yang "kredibel, berpengalaman dan dihormati" yang akan memastikan panel siasatan itu bersih dan tidak berat sebelah, apabila Hanif sudah pun mengambil pendirian yang prejudis dan partisan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 sebagai cubaan untuk menggulingkan kerajaan? Yang tidak masuk akalnya, dakwaan coup d'état oleh Najib dan Hanif itu telah mengabaikan hakikat bahawa enam wartawan tempatan dan 12 jurugambar dan wartawan media asing telah dilaporkan dipukul oleh polis semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April. Yang lebih teruknya, Hanif kini dilantik untuk mengetuai panel siasatan, lantas menimbulkan keraguan terhadap integriti, kepercayaan dan kredibiliti hasil siasatannya. Sebagai mantan ketua polis negara, Hanif seharusnya dikecualikan daripada menjadi ahli panel siasatan atas sebab konflik kepentingan kerana yang dituduh dalam kes ini adalah pihak polis. Kedua, dengan mengutuk Bersih secara terbuka, prejudis Hanif yang berat sebelah juga harus mengecualikannya daripada panel tersebut. Akhirnya, dengan mengaitkan Bersih dengan komunis, Hanif masih lagi melawan musuh zaman dahulu, serta membuatkan hasil siasatan ini satu perkara yang sudah pasti. Untuk sebab-sebab ini, Perdana Menteri harus menyelamatkan atau memulihkan kredibiliti dan keyakinan umum bahawa "keadilan tidak hanya dilakukan tetapi juga dilihat sebagai dilakukan" dengan menggantikan Hanif dengan seorang yang bebas, tidak terlibat dalam politik, tidak berat sebelah dan seorang yang tegak berintegriti. *Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|