red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 11hb Mei 2012: 

Dengan kegagalan bertindak terhadap "protes burger", BN dan DBKL telah merelakan Ambiga diganggu-gugat, diintimidasi dan dicabul ruang peribadi beliau  

DAP mengutuk keras "protes burger" oleh penyokong-penyokong pro-BN dan anti-Bersih, yang telah mendirikan gerai burger secara haram di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan untuk membantah apa yang mereka dakwa sebagai kononnya kehilangan pendapatan akibat perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012.

Apakah keluruhan undang-undang di Malaysia telah digantikan dengan undang-undang rimba?

Saya tidak faham bagaimana DBKL boleh membenarkan sebuah gerai burger didirikan secara haram di luar rumah hak milik peribadi seorang di Kuala Lumpur tanpa sebarang tindakan dikenakan? Dengan kegagalan bertindak terhadap "protes burger" yang dilakukan secara haram di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga, BN dan DBKL telah merelakan Ambiga diganggu-gugat, diintimidasi dan dicabul ruang peribadi beliau.

Adakah DBKL akan membenarkan protes yang sama dilakukan di luar rumah Menteri-Menteri atau Datuk Bandar Kuala Lumpur?

Perbuatan mengganggu-gugat, intimidasi dan pencabulan ruang peribadi tidak ada tempat di negara kita yang aman damai ini di mana rakyat Malaysia hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling hormat-menghormati. Lagi pun, tindakan simbolk mendirikan gerai burger dan memasak daging di luar rumah Ambiga sebagai satu bantahan adalah bersifat kurang ajar kerana bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah seorang yang tidak memakan daging (vegetarian).

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ambiga sendiri semalam, perbuatan keji itu "tidak pernah berlaku di Malaysia, kecuali terhadap Lim Guan Eng. Kini rumah (beliau) dan saya telah dicabul dan diceroboh".

Semalam, ruang peribadi keluarga saya sendiri telah dicabul oleh sekumpulan ahli Perkasa yang meletakkan kalungan bunga di atas bingkai gambar saya yang diletakkan di pintu pagar rumah saya, untuk memberi amaran tentang "kematian" saya.

Jelas ini adalah kali pertama "ugutan bunuh" dilakukan terhadap seorang Ketua Menteri. Apa yang turut jelas ialah kehadiran pihak polis yang tidak berbuat apa-apa dan tidak menghalang ahli-ahli Perkasa daripada menceroboh dan mencabul ruang peirbadi keluarga saya.

Adalah menjadi hak setiap rakyat Malaysia untuk membantah atau protes sebarang isu tetapi melakukannya dengan menceroboh ruang peribadi seseorang dan mencabul hak peribadi rumah keluarga, atau menuntut kematian seseorang adalah amat keji, kurang ajar dan bertentangan dengan rukun-rukun asas demokrasi.

DAP mendesak supaya BN dan DBKL memindahkan serta-merta gerai burger haram yang dibina di luar rumah Datuk Ambiga sebagai tanda menghormati, bukan sahaja demokrasi dan kedaulatan undang-undnag, tetapi juga untuk mewujudkan dan mempertahankan masyarakat madani.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional