red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 12hb Mei 2012: 

DAP mengisytiharkan pemboikotan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa Perhimpunan Bersih 3.0  

Tun Mohammad Hanif Omar telah menolak dakwaan bahawa lantikan beliau sebagai ketua panel siasatan keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 akan menghasilkan keputusan yang berat sebelah dengan menegaskan bahawa beliau selalu bersikap adil dan tidak berat sebelah dalam siasatan-siasatan terdahulu. Bekas Ketua Polis Negara (KPN) ini telah menjamin bahawa tidak akan berlaku konflik kepentingan kerana panel akan berhadapan dengan fakta.

Persoalannya bukan sama ada beliau pernah bersikap adil dan tidak berat sebelah dalam siasatan dahulu atau semasa beliau menjawat sebagai KPN. Kesilapan besarnya adalah apabila beliau mengambil pendirian yang partisan terhadap Bersih dengan mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat serta menyokong dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan. Sebaliknya, dengan membuat tuduhan liar seperti itu, beliau berpotensi untuk menjadi saksi dan bukan ahli panel.

Kehadiran Tun Hanif dalam panel adalah suatu kes konflik kepentingan yang jelas. Sebagai contoh, jika sebuah panel ditubuhkan untuk membincangkan sama ada lesen judi sukan patut diberi kepada syarikat-syarikat lain, maka Tun Hanif tidak layak atas sebab konflik kepentingan sebagai timbalan pengerusi Genting yang merupakan syarikat pesaing. Oleh kerana hubungannya dengan Genting diketahui umum, maka beliau tidak akan layak untuk menyertai panel sedemikian.

Oleh itu, Tun Hanif terlebih dahulu tidak layak untuk menyertai panel siasatan kerana konflik kepentingan bukan sahaja kerana yang dituduhnya adalah pihak polis, tetapi kerana beliau telah mengecam Bersih secara umum dan mendedahkan pendiriannya yang berat sebelah terhadap perhimpunan tersebut. Akhirnya, dengan mengaitkan Bersih dengan komunis, Hanif masih lagi melawan musuh zaman dahulu, serta membuatkan hasil siasatan ini satu perkara yang sudah pasti. Mengikut logiknya yang tidak masuk akal, maka Malaysia tidak sepatutnya menandatangani perjanjian keamanan dengan Parti Komunis Malaya pada 2.12.1989.

DAP dengan ini mengisytiharkan pemboikotan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 selagi Tun Hanif Omar menjadi pengerusi dan ahli kerana beliau telah menunjukkan pendiriannya yang berat sebelah dengan mengecam perhimpunan Bersih 3.0 sebagai berkait dengan komunis dan cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

DAP menyokong cadangan jawatankuasa pemandu Bersih bahawa panel tersebut akan bermanfaat dengan penglibatan pelapor Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Frank La Rue yang telah menawarkan diri untuk membantu dalam siasatan, dan rakan sekerjanya Maina Kiai, serta penglibatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). DAP juga bersetuju dengan Majlis Peguam Malaysia bahawa panel siasatan kekurangan rangka kerja perundangan dan tidak mengurniakan imuniti undang-undang kepada mereka yang terlibat dalam prosiding serta kekurangan kuasa undang-undang untuk memberi sepina kepada saksi-saksi atau menuntut dokumen-dokumen.

Untuk sebab-sebab ini, kehadiran Tun Hanif Omar dalam panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 telah menimbulkan kebimbangan rakyat dan persoalan sama ada siasatan ini akan mengaburkan kebenaran keganasan polis atas peserta yang berhimpun secara aman, menutup penderitaan mangsa-mangsa ataupun menjadi alasan untuk mewajarkan penipuan BN bahawa Bersih 3.0 merupakan cubaan coup d'état.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional