Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 18hb Mei 2012: DBKL dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah memalukan Malaysia di mata dunia DBKL dan Timbalan KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar telah memalukan Malaysia di mata dunia dengan tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang menggangu-gugat pengerusi bersama Bersih Datuk Ambiga dengan "tarian punggung" dan protes burger yang haram di luar rumahnya. DAP bersetuju dengan Datuk Ambiga bahawa "tarian punggung" itu merupakan satu bentuk gangguan seksual terhadap seorang wanita oleh sekumpulan bekas tentera di depan rumahnya. Penyokong pro-BN selalu mengamalkan sikap buli dan bertindak tanpa mengira undang-undang apabila mereka tahu bahawa mereka akan disokong tanpa kata-kata bukan sahaja oleh DBKL untuk mendirikan gerai burger yang haram tetapi juga dengan kenyataan Tan Sri Khalid bahawa demonstrasi di depan rumah peribadi itu tidak menyalahi undang-undang. Dengan memomokkan Datuk Ambiga sebagai musuh negara dan tindakan jijik sedemikian, mereka menunjukkan kekurangan sifat kemanusiaan dan menimbulkan soalan tentang kesahihan moral kerajaan yang disokong mereka. Datuk Ambiga tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah. Beliau juga tidak mencederakan sesiapa atau membahayakan sesiapa dengan bahan letupan C4. Beliau juga tidak mencuri dana awam yang sepatutnya digunakan untuk penternakan lembu dan menggunakannya untuk membeli kondo. Sebagai bekas presiden Majlis Peguam, beliau mendukung keluhuran undang-undang untuk memastikan keadilan. Namun begitu, beliau dicerca seolah-oleh beliau itu satu ancaman yang besar kepada negara yang lebih teruk daripada pengedar dadah atau penculik kanak-kanak. Satu-satunya kesalahan beliau adalah untuk menentang BN melalui Bersih 3.0 dan menggerakkan 300,000 rakyat Malaysia dalam perhimpunan aman yang terbesar dalam sejarah Malaysia untuk menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. BN kini ingin membalas dendam dengan demonstrasi di rumahnya, satu pencerobohan privasi yang tidak wajar yang diizinkan oleh DBKL dan polis. Kepada mereka yang mengatakan bahawa Datuk Ambiga tidak patut melanggar undang-undang, pemenang anugerah Nobel dari Amerika Syarikat Martin Luther King Jr pernah menulis, Janganlah kita lupa bahawa segala tindakan Adolf Hitler di negara Jerman itu "sah" di sisi undang-undang manakala segala yang dilakukan oleh pejuang kemerdekaan Hungary adalah "salah" di sisi undang-undang. Kesanggupan untuk menerima hukuman kerana melanggari undang-undang yang tidak adil itulah yang membuatkan tindakan keingkaran awam itu satu tindakan moral dan bukan tindakan yang melanggari undang-undang. Rakyat Malaysia tidak menuntut kemerdekaan daripada penjajahan kolonial yang tidak demokratik hanya untuk digantikan dengan pemerintah tempatan yang serupa. Masa sudah tiba untuk menolak undang-undang yang tidak adil dengan menolak kerajaan yang menyebarkan dan mengekalkan undang-undang sedemikian. Sama ada matlamat ini boleh dicapai atau tidak itu tidak penting. Yang pentingnya kita mendapat proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil untuk memastikan kehendak rakyat akan dihormati sama ada untuk menolak atau tidak undang-undang yang tidak adil ini. *Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|