red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Selasa, 29hb Mei 2012: 

Bilangan arahan henti-kerja membuktikan Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang lebih ketat dan tidak mudah memaafkan terhadap pemaju berbanding dengan BN  

Fakta-fakta telah membuktikan salah dakwaan BN bahawa kerajaan negeri PR Pulau Pinang lebih mengutamakan pemaju daripada orang awam, terutamanya mereka yang memerlukan perumahan awam. Ini jelas daripada bilangan arahan henti-kerja yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai selama empat tahun sebelum dan selepas 2008.

Di bawah PR, MPPP telah mengeluarkan 259 arahan henti-kerja dari 2008 hingga 2012, iaitu 7 kali ganda lebih daripada 38 arahan henti-kerja yang dikeluarkan dalam tempoh masa yang sama dari 2004-7 di bawah BN. MPSP pula telah mengeluarkan 11 arahan henti-kerja dari Mac 2008 hingga 2012 Mei, di mana satu arahan henti-kerja pun tidak dikeluarkan dari 2003 hingga Mac 2008.

Jika diberi pilihan, ada beberapa pemaju yang lebih gemar dengan kerajaan BN yang jarang mengeluarkan arahan henti-kerja, khususnya MPSP yang tidak mengeluarkan satu pun arahan henti-kerja. Peningkatan mendadak dalam bilangan arahan henti-kerja membuktikan bahawa kerajaan negeri PR Pulau Pinang adalah lebih ketat dalam menguatkuasakan undang-undang, menuntut pematuhan teknikal serta tidak mudah memaafkan berbanding BN.

Namun demikian, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri PR merupakan kerajaan mesra perniagaan. Pulau Pinang mengalu-alukan semua pelabur dan peniaga dengan syarat mereka mematuhi undang-undang. Tidak ada budaya rasuah di Pulau Pinang, dasar tender terbuka dilaksanakan dan pengetahuan teknikal lebih diutamakan berbanding kenalan teknikal. Tidak ada gunanya untuk membanggakan perhubungan rapat dengan ahli EXCO atau Ketua Menteri kerana undang-undang adalah lebih penting berbanding "perhubungan" dengan pemimpin-pemimpin negeri.

Tambahan, dakwaan BN bahawa harga hartanah di Pulau Pinang telah meningkat kerana kerajaan negeri menaikkan premium tanah adalah palsu kerana Pejabat Tanah Pulau Pinang telah mengekalkan kadar bayaran tukar syarat tanah pada kadar peratusan yang sama dengan kerajaan negeri BN terdahulu. Harga hartanah ditentukan oleh kuasa bekalan dan permintaan dalam pasaran serta keyakinan awam dalam kerajaan negeri. Tidak satu pun kerajaan dalam dunia, termasuk China dan AS, yang boleh memaksa pasaran hartanah untuk meningkat atau menurun.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengakui peningkatan harga hartanah akibat keyakinan awam yang kian meningkat terhadap pentadbiran CAT (cekap, akauntabel, telus), yang telah menghasilkan lebihan bajet setiap tahun dan juga mengurangkan hutang sebanyak 95%. Untuk memastikan perumahan mampu milik adalah mencukupi, kerajaan negeri telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM500 juta. Ini merupakah dana perumahan mampu milik yang paling besar pernah diperuntukkan oleh mana-mana kerajaan negeri di Malaysia. Di bawah fasa 1 program perumahan mampu milik, 12,000 unit akan dibina di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan. Fasa 2 pula membabitkan empat daerah yang lain dengan pembinaan 6,000 unit.

Selain 18,000 unit perumahan mampu milik yang dicadangkan oleh kerajaan negeri melalui agensi kerajaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), sektor swasta dijangkakan akan menyumbang 20,000 unit rumah mampu milik tambahan. Seperti kerajaan persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), kerajaan negeri tidak membina perumahan kos rendah dan sederhana-rendah kerana peranan itu dimain oleh PDC. Sejak 2008, PDC telah membina 3,806 unit manakala 7,790 unit telah dibina oleh sektor swasta.

Terdapat elemen dwi-standard daripada BN yang tidak memaklumkan bahawa sebuah unit banglo di Iskandar Johor berharga RM3 juta dan dibeli oleh warga asing termasuk rakyat Singapura. Tidak seperti Johor, Pulau Pinang telah mengambil tindakan berani dengan mengenakan had minima pembelian rumah oleh warga asing iaitu RM1 juta dan RM2 juta untuk hartanah di kawasan pulau mulai 1 Julai 2012.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional