red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 31hb Mei 2012: 

Sukuk RM2.5 Bilion oleh MAS yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan kehebatan BN untuk menutup gejala 3D 

Bulan Lepas, Malaysia Airlines (MAS) telah mengumumkan pelancaran Sukuk untuk menambah modal sebanyak RM2.5 bilion untuk menangani kekurangan modal kerja ekoran kerugian RM2.52 bilion pada tahun 2011. Satu aspek yang kurang diberi perhatian adalah bahawa modal yang ingin dikumpul ini akan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan, lantas menambahkan liabiliti kontingen ke atas hutang Kerajaan Persekutuan yang sudah berada di tahap RM456 bilion setakat 2011.

Penambahan modal RM2.5 bilion oleh MAS yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan kejayaan BN untuk menutup gejala 3D iaitu Defisit, Hutang (Debt) dan Penipuan (Deceit). BN tahu bahawa isu kritikal dalam pilihan raya umum yang akan datang adalah pengendalian ekonomi dan bagaimana kos sara hidup rakyat boleh dikurangkan dan kesejahteraan ekonomi ditingkatkan. Persoalan sama ada BN boleh membantu rakyat dalam hal ehwal ekonomi adalah bergantung kepada cara pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan dan defisit bajet, yang ramai mengaitkan kepada kegagalan untuk menangani gejala rasuah.

Dengan skandal RM250 juta "lembu dan kondo" yang melibatkan keluarga Ketua Wanita UMNO serta kemerosotan dalam kedudukan anti-rasuah Transparency International daripada tangga ke-37 pada tahun 2003 kepada tangga-60 tahun lepas, BN sudah pun mengaku kalah dalam usaha untuk memujuk rakyat mengenai keseriusannya dalam membasmi rasuah. Namun begitu, BN lebih berjaya dalam menipu rakyat bahawa gejala rasuah tidak mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi, khususnya kepada hutang dan defisit Kerajaan Persekutuan.

Dakwaan BN bahawa defisit bajet Kerajaan Persekutuan adalah RM43 bilion, RM45.5 bilion (anggaran) dan RM43 bilion (anggaran) untuk tahun 2010, 2011 dan 2012 masing-masing. Dalam % KDNK, ia adalah 5.6%, 5.4% (anggaran) dan 4.7% (anggaran) untuk tahun 2010, 2011 dan 2012. Angka-angka defisit ini adalah tidak tepat dan terlalu rendah kerana unjuran pertumbuhan ekonomi yang digunakan adalah terlalu tinggi dan perbelanjaan mengurus terlalu rendah.

Defisit bajet sebagai % KDNK pada tahun 2012 akan menjadi lebih tinggi berbanding 4.7% yang diumumkan, dan dijangka akan naik sehingga lebih 5.5% ekoran usaha-usaha BN untuk membeli undi dengan pemberian wang tunai, kenaikan gaji kakitangan awam dan projek-projek besar seperti projek internet jalur lebar kepada semua sekolah. Tidak seperti kerajaan-kerajaan negeri PR yang memberi bantuan sosial daripada lebihan bajet yang dicapai dalam 4 tahun pentadbiran PR, BN memberi wang daripada defisit bajet yang ditanggung selama 15 tahun.

Disebabkan lebihan bajet yang dicapai, PR tidak perlu meminjam untuk perbelanjaan program-program sosial untuk rakyat. Akan tetapi, Kerajaan Persekutuan BN terpaksa meminjam ekoran defisit berterusan selama 15 tahun. Ini boleh dilihat dalam kenaikan hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak 71% daripada RM266 bilion pada akhir tahun 2007 kepada RM456 bilion pada akhir 2011. Malangnya, ini bukanlah hutang Kerajaan Persekutuan yang sepenuhnya kerana liabiliti kontinjen yang ditanggung untuk syarikat-syarikat swasta dan agensi-agensi kerajaan tidak termasuk sekali.

Sekiranya liabiliti kontinjen dikira, hutang kerajaan akan meningkat sebanyak RM97 bilion pada tahun 2010. Rakyat Malaysia harus ingat bahawa akan tiba harinya di mana hutang akan dituntut. Akhirnya, rakyat Malaysia yang akan terpaksa membayar segala hutang ini apabila negara menjadi bankrap.

Pada tahun 2010, aktiviti-aktiviti kewangan yang tidak termasuk dalam kunci kira-kira telah mencecah RM96.9 bilion, iaitu peningkatan 14.9% daripada RM84.3 bilion pada tahun 2009. Ini merupakan pinjaman yang telah diambil dengan jaminan kerajaan. Dalam erti kata lain, kerajaan yang harus tanggung jika peminjam itu gagal melangsaikan hutang. Sebagai contoh, jika Yayasan Wilayah Persekutuan gagal membayar balik pinjaman yang dicadangkan iaitu RM300 juta daripada KWSP untuk pembiayaan perumahan kos rendah, maka kerajaan yang harus melangsaikan pinjaman RM300 juta itu kepada KWSP.

Jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan dijangka akan meningkat secara mendadak dengan jaminan untuk Lebuhraya Pantai Barat sebanyak RM2.24 bilion, sekurang-kurangnya RM20 bilion untuk pembiayaan fasa pertama projek MRT Lembah Klang yang bernilai RM43 bilion, pembinaan 74 ibu pejabat polis dengan pinjaman RM10 bilion oleh Pembinaan BLT sdn bhd yang dimilki MoF, atau cadangan Sukuk RM20 bilion oleh Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) untuk penyusunan semula aset air. Jaminan-jaminan pinjaman ini merupakan hutang Kerajaan Persekutuan yang harus termasuk dalam jumlah hutang negara.

Ini berbeza dengan hutang-hutang kerajaan negeri PR yang telah menurun secara mendadak sebagaimana hutang Kerajaan Persekutuan BN meningkat. Di Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri telah dikurangkan sebanyak 95% daripada RM630 juta pada 8.3.2008 kepada RM30 juta pada akhir 2011. Oleh itu, dakwaan terkini oleh Dato' Sri Najib Tun Razak bahawa PR bersifat populis dan tidak mampu tunaikan janji adalah salah satu contoh penipuan BN yang mempunyai prestasi kewangan yang lemah berbanding kerajaan-kerajaan negeri PR. Untuk sebab ini, PR harus meningkatkan usaha untuk mendedahkan gejala 3D iaitu Defisit, Hutang (Debt) dan Penipuan (Deceit) BN. Sekiranya tidak, PR bakal kalah teruk dalam pilihan raya umum yang akan datang.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional