red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 7hb Mei 2012: 

Najib harus mengemukakan bukti atau menarik balik kenyataannya dan memohon maaf diatas tuduhan melulu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah lewat sedar bahawa beliau sudah jauh ketinggalan untuk memperbaiki imej perhubungan awam beliau yang semakin merosot diatas tindakan keras kerajaan diatas pengendalian perhimpunan “duduk-bantah” Bersih 3.0 yang jelas kelihatan dalam perkembangan baru-baru ini:

  • Najib sedang meningkatkan pertaruhannya dalam usaha meningkatkan imej perhubungan awam dengan tuduhan melulu di Gua Musang pada hari Jumaat bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah percubaan pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan cubaan untuk menggulingkan kerajaan;

  • Tindakan terdesak dengan penglibatan tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan untuk mengukuhkan lagi tuduhan melulu Najib walaupun tiada satu kelumit pun bukti yang Bersih 3.0 merupakan satu percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan (walhal, sebaliknya, semua bukti menuding kepada bukti yang ratusan ribu rakyat Malaysia, tidak kira kaum, agama, kelas, kawasan, umur atau jantina telah berhimpun secara aman, manifestasi terbaik “1Malaysia” dengan satu suara untuk menuntut pilihanraya yang bersih dimana ramai membawa bersama garam dan air dalam botol untuk melindungi diri mereka dari tembakan gas pemedih mata)

  • Penggunaan semula komentar dari ‘The Economist’ “It’s that time of year” yang digunakan dalam media tempatan hampir seminggu selepas pertama kali muncul dalam laman sesawang The Economist pada 1 Mei.

Satu pengajaran yang digunakan oleh “penjaga imej” Najib dalam pengendalian teruk Bersih 2.0 adalah untuk menguruskan media antarabangsa dengan lebih baik – dan akhirnya, pentadbiran Najib telah menerima persepsi media antarabangsa dan liputan pada malam Bersih 3.0 juka dibandingkan dengan malam Bersih 2.0 seperti yang dipaparkan oleh ‘The Economist’ pada 1 Mei.

Tetapi, dengan setiap hari yang berlalu, persepsi positif pengendalian Najib diatas Bersih 3.0 berbanding dengan Bersih 2.0 semakin retak dan semakin menjarak.

Saya telah meramalkan yang “428” Bersih 3.0 merupakan satu malapetaka imej perhubungan awam bagi Najib berbanding dengan Bersih 2.0, dengan kemusnahan yang semakin menjadi dan impak setiap kisah keganasan polis dikongsi – dan ramalan saya tepat.

Najib harus sedar bahawa usaha untuk menambahbaik imej perhubungan awamnya, samada dalam negara ini atau diluar negara diatas perhimpunan Bersih 3.0 tidak boleh dilakukan dengan serangan dan tuduhan melulu keatas penganjur Bersih dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Siapa yang telah memberikan “maklumat” kepada Najib bahawa Bersih 3.0 merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan? Maklumat sebegini hanya akan dikeluarkan oleh pihak polis.

Tetapi apa pula komen Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar diatas dakwaan Perdana Menteri itu? Bernama telah melaporkan di Kulim semalam bahawa Ismail telah menyatakan yang pihak polis sedang menyiasat dakwaan Najib bahawa Bersih 3.0 merupakan satu percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan.

Balik-balik kepada cerita yang sama – Perdana Menteri yang mendakwa Bersih 3.0 adalah percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan (dimana maklumat ini hanya akan dikeluarkan oleh pihak polis) dan pihak polis yang membuat pengumuman akan menyiasat dakwaan Perdana Menteri itu.

Adakah akan ada satu lagi episod untuk menerangkan betapa semberono dan tidak bertanggungjawab Perdana Menteri dalam mengeluarkan tuduhan melulu yang diberi sokongan padu buta-tuli dari Ketua Polis Negara kini dan bekas Ketua Polis Negara yang mengaibkan reputasi dan profesionalisme para pegawai polis yang sedang bertugas dan yang telah bersara?

Najib mesti mengambil berat dan mesti bertanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau haruslah mengemukakan bukti atau menarik balik dan memohon maaf diatas tuduhan melulu bahawa perhimpunan aman “duduk-bantah” Bersih 3.0 merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional