red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Ucapan oleh Lim Kit Siang dalam Majlis Makan Malam 1000 orang DAP Triang sempena perasmian Bangunan Cawangan DAP Triang pada hari Selasa, 22hb Mei 2012 pada jam 9 malam: 

Lim Guan Eng berumur lapan tahun sahaja pada tahun 1969 tetapi telah dilemparkan dengan tohmahan dan fitnah bahawa beliau bertanggungjawab dalam kejadian titik hitam pencetusan rusuhan 13 Mei

Dua hari yang lepas di Kedah, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memberi satu amaran, sekiranya UMNO ditumpaskan dalam pilihanraya yang akan datang, bererti hilanglah kuasa politik Melayu di negara ini.

Ini adalah satu kenyataan fitnah dan pembohongan semata-mata, kerana sekiranya UMNO ditumpaskan dalam pilihanraya yang akan datang ini, UMNO akan digantikan bukan dengan parti DAP, tetapi oleh Pakatan Rakyat, yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP yang komited terhadap satu kerangka dasar bersama untuk menegakkan cirri-ciri utama Perlembagaan Persekutuan, termasuklah untuk mempertahankan peranan dan tanggungjawab terhadap sistem Raja-Raja Berperlembagaan; agama Islam sebagai agama Perlembagaan disamping agama lain yang boleh diamalkan dengan aman dan damai dinegara ini; bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan disamping melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda bagi semua kaum; dan kedudukan istimewa kaum Melayu dan orang-orang asal termasuklah yang dari Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan kaum yang lain.

Mahathir sedar yang amarannya bahawa Melayu akan hilang kuasa politik sekiranya UMNO ditumpaskan adalah rekaan semata-mata – dan merupakan sebab mengapa Mahathir telah berkempen bermati-matian untuk menumpaskan UMNO yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihanraya umum.

Malah, jika benar dakwaan daripada beberapa pemimpin UMNO bahawa wujud satu sabotaj keatas 47 daripada 191 kerusi bahagian UMNO dalam pilihanraya umum yang lepas, kita haruslah berterima kasih kepada Mahathir.

Akan tetapi, apa yang harus mencungkil minat rakyat Malaysia sekarang adalah apa yang telah membuatkan Mahathir membuat ramalan sebegini mengenai pilihanraya umum yang akan datang untuk mengapi-apikan ketakutan dalam hati kaum Melayu?

Hanya satu jawapan yang ada – Fobia dan keterdesakan Mahathir disebabkan ketakutan kerana nampaknya UMNO akan ditewaskan dan tidak lagi akan memerintah di Putrajaya.

Ini sebenarnya adalah hakikat keadaan sebenar meskipun ‘limpahan percuma’ wang politik dalam amaun berbilin-bilion ringgit wang dana awam, meskipun kempen publisiti oleh media untuk mencerminkan ‘kewibawaan’ Perdana Menteri dengan laungan slogan yang canggih bersama cadangan-cadangan polisi, namun apa yang sukar ditelan adalah kemungkinan UMNO/Barisan Nasional kehilangan kuasa memerintah dalam pilihanraya umum yang akan datang kini sedang menghantui Putrajaya dan telah membuatkan Najib rimas memikirkan tarikh pembubaran Parlimen untuk memberi mandat sah kepada pengundi menjelang pilihanraya umum ke-13 di negara ini.

Ini juga adalah sebab mengapa salah satu daripada 8 Tuntutan Bersih 2.0 untuk pilihanraya yang bersih, bebas dan adil, iaitu “Hentikan Politik Kotor” tidak akan ditunaikan sama sekali oleh UMNO/BN.

Bahkan, kami sudah bermula meramalkan yang pilihanraya umum ini akan menjadi pilihanraya yang paling kotor dalam 54 tahun sejarah negara ini.

Pelbagai fitnah dan tohmahan sedang dilemparkan terhadap kepimpinan dan parti-parti Pakatan Rakyat. Dan ini hanyalah permulaanya.

Sebagai contoh, diantara tohmahan dan fitnah yang dilemparkan mengenai DAP di lama ]n sesawang dan media sosial walaupun tiada sekelumit pun kebenaran dalamnya termasuklah:

  • DAP mahu menubuhkan Malaysia yang Kristian dan menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara;

  • Melantik seorang Perdana Menteri yang beragama Kristian; dan

  • Memansuhkan Sistem Raja-Raja Berperlembagaan dan menubuhkan negara republic.

Dengan menggunakan internet atau laman sesawang, blogger pro UMNO/BN telah menyebarkan fitnah yang dahsyat bahawa saya telah bertanggungjawab rusuhan 13 Mei 1969 dan saya telah merayau-merayau di jalanan Kuala Lumpur setelah keputusan pilihanraya 1969 dibuat, sambil merejamkan tohmahan anti-Melayu yang telah mencetuskan rusuhan 13 Mei.

Sebenarnya, saya tidak berada pun di Kuala Lumpur pada 10, 11, 12 dan 13 Mei 1969, sesuatu yang boleh disahkan oleh media massa pada masa itu dan berdasarkan rekod polis yang ada.

Pada masa itu, saya telah dicalonkan bertanding di kawasan Parlimen Bandar Melaka pada 1969 dan pada pagi 13, Mei 1969, pagi lagi saya telah menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu untuk membantu calon bebas kempen pilihanraya di Sabah kerana pengundian di Sabah/Sarawak dalam pilihanraya umum 1969 ditetapkan seminggu selepas pengundian di Semenanjung Malaysia.

Tetapi apa yang lebih dahsyat adalah dakwaan blogger UMNO/BN bahawa Lim Guan Eng yang berpangkat Ketua Pemuda DAP pada masa itu juga bertanggungjawab diatas rusuhan 13 Mei 1969 dan ‘mengetuai’ serangan anti-Melayu.

Fitnah diatas fitnah.

Pertamanya, DAP tidak pernah anti-Melayu tetapi telah memberi komitmen penuh sejak pembentukan parti pada tahun 1966 dan merupakan parti yang bangsa Malaysia yang mewakili hak-hak sah dan kepentingan semua kaum dinegara ini.

Bukan itu sahaja, dalam tahun 1969, DAP telah meletakkan beberapa calon Melayu untuk pilihanraya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dimana dua orang ADUN telah dipilih; seorang di Perak dan seorang di Negeri Sembilan, dibawah paying DAP.

Keduanya, tidak wujud Pemuda DAP pada tahun 1969 kerana DAPSY atau Pemuda Sosialis DAP telah ditubuhkan pada tahun 1973, dan mendiang P. Patto menjadi Ketua Pemuda DAPSY pada masa itu.

Ketiga, umur Guan Eng pada masa itu hanyalah lapan tahun dalam bulan Mei 1969 – suatu dakwaan yang jijik yang telah dilontarkan kepada kanak-kanak yang berumur 8 tahun sahaja, dan satu kenyataan yang jelas bagaimana prasarana politik kini telah berkembang tanpa prinsip atau kemuliaan menuju pilihanraya umum yang akan datang.

Oleh itu, adakah menghairankan yang tuntutan Bersih untuk pilihanraya yang bersih, bebas dan adil, terutamanya dari 8 Tuntutan Bersih 2.0 iaitu “Hentikan Politik Kotor”, “Hentikan Rasuah”, “Memperkukuhkan Institusi Awam” dan “Akses Media Yang Bebas Dan Adil Bagi Arus Media Perdana” menerima sambutan yang amat buruk daripada pemimpin UMNO/BN?


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional