Najib haruslah membuat kenyataan Menteri di Parlimen pada hari Isnin berkenaan skandal Michael Chia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak haruslah membuat kenyataan Menteri di Parlimen pada hari Isnin berkenaan skandal sumbangan RM40 juta oleh ahli perniagaan balak Michael Chia juga sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah melanggar prinsip percanggahan kepentingan ketika menjawab soalan-soalan parlimen tentang isu itu.

Walaupun bulan lepas (19 Oktober) Perdana Menteri menafikan terdapatnya cubaan untuk menyeludup masuk ke dalam negara “sumbangan untuk UMNO Sabah” berjumlah RM40 juta dan mendakwa keseluruhan isu “telah pun dijawab di Parlimen”, hakikatnya tidak begitu.

Pelbagai penjelasan daripada Nazri baik di dalam atau di luar Parlimen, sesetengahnya pula bercanggah antara satu sama lain tentang “sumbangan untuk UMNO Sabah” sebanyak RM40 juta itu, tidak meredakan isu tersebut sebaliknya membangkitkan lebih banyak keraguan dan memperkukuhkan lagi kepercayaan yang semakin tersebar bahawa terdapat satu usaha menutup skandal RM40 juta – bermula sejak lebih empat tahun lalu pada 14 Ogos 2008 di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong atas pertuduhan pengedaran dan penggubahan wang awam dengan S$16 juta wang tunai ditemui di dalam bagasi Michael Chia sebelum menaiki pesawat ke Kuala Lumpur.

Nazri dalam jawapannya di Parlimen mendakwa beliau hanya membaca jawapan baik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Peguam Negara. Dakwaan bahawa beliau tidak bertanggungjawab terhadap jawapan-jawapan itu adalah tidak boleh diterima dan merupakan suatu penghinaan kepada prinsip tanggungjawab menteri kepada Parlimen.

Pendedahan lanjut yang disahkan oleh Nazri sendiri bahawa anak beliau Nedim menggunakan sebuah SUV mewah Hummer milik Chia yang harga pasarannya lebih RM459,000, telah menimbulkan persoalan serius sama ada terjadinya perlanggaran prinsip percanggahan kepentingan apabila beliau membuat kenyataan-kenyataan membersihkan Michael Chia dan juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman daripada rasuah.

Adalah suatu yang ironi apabila dalam tempoh sebulan selepas beliau menggesa betapa kritikal dan pentingnya untuk menanam “kebencian semula jadi terhadap rasuah” di kalangan mereka yang berpangkat dan penguasa sewaktu Mesyuarat Agung dan Persidangan Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) keenam lalu, beliau kini diuji dengan berat sekali sama ada bersedia untuk melakukan seperti apa yang dikata dengan memberikan kenyataan Menteri berkenaan persoalan-persoalan yang melibatkan Michael Chia, Musa Aman dan Nazri di Parlimen Isnin ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur