UMNO dan Utusan Malaysia terperangkap dengan fitnah jahat dan permainan perkauman

UMNO dan Utusan Malaysia terperangkap dengan fitnah jahat dan permainan perkauman bila mempersoalkan mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menggunakan Akaun Amanah Perumahan Bumiputera sebanyak RM33.6 juta untuk membina 10,000 rumah kos rendah dan mampu milik. Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan bahawa Akaun Amanah tersebut naik 58% kepada RM33.6 juta.

Sebelum ini kerajaan negeri PR dituduh bahawa tidak menubuhkan akaun amanah sedemikian untuk membantu membina rumah untuk orang Melayu/bumi. Sekarang bila fitnah ini dibuktikan, tidak pula minta maaf sebaliknya pusing mendakwa Kerajaan negeri Pulau Pinang menganiayai orang Bumi dan Melayu dengan tidak menggunakan wang tersebut untuk membina rumah mampu milik. Fitnah jahat ini mempermainkan ideologi perkauman untuk menanam kebencian di kalangan rakyat dan mengancan pemimpin kerajaan negeri, khususnya saya sebagai Ketua Menteri.

Sungguhpun adalah tanggungjawab kerajaan pusat untuk membina rumah mampu milik, kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah mencatatkan rekod yang tidak pernah dilakukan dengan memperuntukkan RM 500 juta untuk membina rumah mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang, termasuk di kawasan pulau. Usaha mengumpulkan wang RM500 juta bukanlah mudah dan perlu 4 tahun untuk mencapainya. RM500 juta hanya cukup untuk membina 18,000 yunit rumah mampu milik kepada semua rakyat pada 5 tahun yang akan datang.

Sejak 2008, kerajaan negeri melalui Penang Development Corporation(PDC) telah berjaya membina 4,000 yunit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah dengan 8,000 yunit lagi disumbangkan oleh pihak swasta menjadikan keseluruhan 12,000 yunit. Sekiranya kerajaan negeri menggunakan wang Akaun Amanah terdahulu, akan datang pula tuduhan jahat Utusan dan UMNO bahawa kerajaan negeri tidak mahu menggunakan wang sendiri untuk membina rumah mampu milik sebaliknya guna wang bumi.

Maka untuk mengelakkan tuduhan sedemikian, wang kerajaan negeri digunakan dahulu. Lagipun wang akaun amanah tidak mencukupi kerana untuk membina 350 yunit rumah kos sederhana rendah, kos pembinaan tanpa kira kos tanah menjangkau RM35 juta.

Fitnah jahat Utusan dan UMNO terserlah dengan kenyataan Ketua Pembangkang Pulau Pinang dan Pengerusi PERDA Dato Azhar Ibrahim menyelar kerajaan negeri tidak mahu menggunakan wang akaun RM33.6 juta untuk membina 10,000 yunit rumah kos rendah dan mampu milik. Kenyataan Azhar ini adalah tidak masuk akal kerana ini bermakna hanya perlu RM 3,360 untuk membina sebuah yunit! Saya ingin melihat PERDA bina rumah kos rendah dan mampu milik dengan kos RM 3,360 seyunit �Cmustahil dilakukan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan jaminan akan menggunakan wang akaun amanah perumahan bumiputera untuk membina rumah mampu milik. Ia akan dibukti dengan rumah pangsa dan bukan dengan kata. Kerajaan negeri akan menepati janji bukan macam BN yang masih belum menepati janji yang dibuat 28 tahun dahulu untuk membina rumah kelamin bagi anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia(TUDM) di Bertam, Kepala Batas.

330 ekar tanah TUDM di Bertam, Kepala Batas tidak dibina rumah kelamin TUDM sejak 1984 tetapi disewa dengan harga hanya RM 7,000 sebulan. Saya difahamkan 330 ekar tanah tersebut diambil alih oleh kerajaan negeri pada 1982 bagi tujuan tapak rumah kelamin TUDM dengan pampasan RM 5,148,000 ataupun harga RM 15,600 seekar.

Selepas proses pengambilan tanah siap, Geran tanah telahpun dipindahmilik dan dikeluarkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 23.2 1984. Akan tetapi sehingga sekarang selepas 28 tahun, tiada rumah kelamin TUDM dibina di atas 330 ekar tanah. Sebaliknya tanah tersebut yang terdiri daripada pokok kelapa sawit kini disewa dengan harga RM7,000 sebulan.

Tempoh sewaan adalah 3 tahun setiap penggal dan akan tamat pada Jun 2013. Mengapakah UMNO, Utusan dan Azhar tidak mempersoalkan apakah faedah kepada angkatan tentera dan negara kalau 330 tanah yang diambil alih tidak digunakan untuk membina rumah kelamin tetapi disewa hanya dengan harga RM7,000 sebulan?

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang