Kejayaan besar buat Perhubungan Awam SPRM minggu ini tetapi gagal dalam perang ke atas rasuah

Sebuah kejayaan besar buat perhubungan awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini tetapi gagal dalam perang ke atas rasuah terutamanya "Rasuah Besar" oleh orang-orang besar politik dan masyarakat awam.

Berapa banyak duit pembayar cukai telah dibelanjakan oleh SPRM untuk menjadi tuan rumah kepada Persidangan dan mesyuarat agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA)?

Sudah tentu ia dibelanjakan dengan "baik sekali" oleh SPRM dan Kerajaan Barisan Nasional melihat kepada pujian melambung-lambung diberikan kepada Malaysia - daripada puji-pujian mengatakan Malaysia "berusaha keras" membanteras rasuah hinggalah puji-pujian buat Perdana Menteri "sebagai seorang yang benar-benar serius dengan keutamaan yang beliau telah berikan untuk membanteras rasuah". Semua itu menjadi halwa telinga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pegawai-pegawai SPRM.

Adalah dimaafkan bagi sesiapa yang tidak mengetahui situasi sebenar lalu menyangka kalau bukan salah sebuah daripada 10 terbaik, Malaysia pastinya salah sebuah daripada 20 negara yang mempunyai markah dan kedudukan terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI).

Tetapi hakikatnya adalah berbeza.

CPI TI 2011 yang dikeluarkan Disember tahun lepas sebenarnya adalah "kad laporan" antarabangsa terburuk Malaysia berkaitan rasuah, baik dari segi mata dan kedudukan dalam tempoh 17 tahun semenjak CPI TI tahunan diperkenalkan. Menjunam daripada kedudukan nombor 23 pada 1995 kepada kedudukan corot nombor 60. Juga mata paling rendah iaitu 4.3 sedangkan pada tahun 1995 matanya adalah 5.28 dan 5.32 pada 1996!

Adakah rekod anti-rasuah sedemikian merupada sesuatu yang perlu diraikan SPRM dengan menjadi tuan rumah Persidangan keenam dan mesyuarat agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA)?

Akan tetapi nampaknya kecacatan yang terserlah malahan memalukan buat Malaysia dan SPRM telah pun "diuruskan" dengan mengatur supaya anggota lembaga penasihat antarabangsa Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dmitri Vlassis yang merupakan ketua jenayah ekonomi dan rasuah UNODC untuk menimbulkan kesangsian ke atas Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dengan mengatakan ia "sudah lapuk memandangkan ia tidak dapat menerangkan dengan tepat kompleksiti negara yang diberikan kedudukan", "tidak produktif" dan "tidak dapat digunakan sesiapa pun".

Vlassis mengatakan setiap negara bertindak dengan cara berbeza menangani rasuah, maka negara itu hanya boleh dibandingkan dengan dirinya dan bukan negara lain.

Malah ketika membandingan dengan dirinya dan bukan negara lain, hakikat yang tidak dapat dielakkan adalah CPI TI 2011 adalah kedudukan terendah dan mata terendah Malaysia dalam tempoh 17 tahun. Mempamerkan hakikat tragis bahawa rasuah di bawah pemerintahan Najib lebih teruk jika dibandingkan dengan lima tahun di bawah Tun Abdullah dan 22 tahun di bawah Tun Mahathir!

Kedudukan dan mata CPI dan TI Malaysia, di antara 10 (sangat bersih) dan 0 (terlalu korup), daripada 1995 sehingga 2011 adalah seperti berikut:

Tahun Kedudukan CPI Mata CPI
1995 23 5.28
1996 26 5.32
1997 32 5.01
1998 29 5.3
1999 32 5.1
2000 36 4.8
2001 36 5.0
2002 33 4.9
2003 37 5.2
2004 39 5.0
2005 39 5.1
2006 44 5.0
2007 43 5.1
2008 47 5.1
2009 56 4.5
2010 56 4.4
2011 60 4.3

Sesungguhnya amatlah mengejutkan dan juga melampau apabila seorang pegawai daripada pejabat UN di UNODC meminta rakyat Malaysia mengabaikan CPI TI 2011 pada tahun ke-17 terburuk Malaysia dengan kedudukan teruk di nombor 60 dan mata terendah 4.3.

Pegawai anti-rasuah UN apakah sebegini?

Tidak seperti SPRM dan "pengembara global" anti-rasuah seperti Dimitri Vlassis, rakyat Malaysia masih ingat pada 2004, Perdana Menteri baru ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan dengan penuh riuh Pelan Integriti Nasional dengan sasaran lima tahun untuk memperbaiki CPI TI Malaysia daripada tempat ke-37 pada 2003 kepada sekurang-kurangnya tempat ke-30 pada 2008. Juga daripada 5.2 mata CPI untuk Malaysia pada 2003 kepada sekurang-kurangya 6.5 pada 2008.

Malaysia bukan sahaja gagal untuk menacapai sasaran CPI TI sekurang-kurangnya tempat ke-30 dan 6.5 mata pada 2008, malah kedudukan kita kini dua kali ganda pada nombor 60 dengan mata paling rendah 4.3 dalam CPI TI 2011!

Adalah sangat membimbangkan apabila baik Najib atau SPRM seakan tidak bimbang dengan keadaan Malaysia yang ketinggalan jauh di belakang negara-negara lain dalam perlumbaan membanteras jenayah dalam temph 17 tahun ini antaranya negara China, Thailand, India dan Indonesia yang berada di belakang Malaysia.

China berada pada kedudukan nombor 40 dengan mata CPI 2.16 pada 1995. Pada 2011, China berada pada kedudukan nombor 75 dengan mata CPI 3.6.

Melihat kepada purata kadar tahunan China yang bertambah baik dan penurunan CPI Malaysia, China bukan sahaja sedang mengejar tetapi akan meninggalkan Malaysia di belakang baik dari segi kedudukan dan mata dalam CPI TI empat tahun lagi!

Negara-negara Asia lain seperti Thailand, Indonesia dan India sedang melakukan kemajuan besar dalam perang ke atas rasuah. Thailang yang pernah berada pada kedudukan nombor 34 dengan mata CPI 2.79 pada 1995 (daripada 41 negara) kini pada kedudukan nombor 80 (daripada 183 negara) dengan mata yang lebih baik iaitu 3.4. India pula berada pada kedudukan nombor 35 dengan mata CPI 2.78 pada 1995 kini pada kedudukan nombor 95 dengan mata yang lebih baik yang itu 3.1.

Malah Indonesia menunjukkan kemajuan signifikan dalam usaha membanteras rasuah. Berada pada kedudukan paling bawah nombor 41 pada 1995, dengan mata CPI 1.94, Indonesia kini berada pada kedudukan nombor 100 dengan mata CPI yang meningkat 3.0 pada 2011.

Satu-satunya negara Asia Pasifik lain yang akan menemani Malaysia yang memiliki kedudukan dan mata CPI TI paling rendah dalam tempoh 17 tahun ini adalah Filipina- yang kedudukan CPI TI-nya adalah pada nombor 36 dengan mata 2.77 pada 1997 dan kedua-duanya jatuh 17 tahun kemudian pada CPI TI 2011 pada kedudukan nombor 129 dengan mata 2.6.

Tetapi Filipina sedang dalam rangka memperbaiki kedudukan dan mata CPI-nya dengan tangkapan beberapa "ikan besar" dalam kempen anti-rasuah Presiden Aquino. Paling ketara adalah pemecatan Ketua Hakim Renato Corona oleh mahkamah pendakwaan Senat Filipina. Juga indikmen ke atas bekas Presiden Gloria Macapagal-Arroyo, bekas Setiausaha Pengangkutan Leandro Mendoza, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Benjamin Abalos dan Pengerusi Kemudahan Air Tempatan Prospero Pichay.

Pada Khamis lepas, Gloria Arroyo telah ditangkap di hospital dan dikenakan tuduhan kepada kes ketiga rasuah sewaktu pemerintahannya. Hari ini dilaporkan bahawa audit kerajaan melaporkan yang Filipina telah kehilangan 101.82 bilion pesos (RM7.6 bilion) melalui salah guna dana dan aset negara ketika tahun-tahun rasuah dan rejim yang tercemar Gloria.

Dengan Filipina menyertai negara-negara Asia Pasifik lain dengan kesungguhan politik untuk menentang rasuah, terutamanya "ikan-ikan besar" atau "Rasuah Besar". Malaysia pula akan menjadi "pesakit" Asia Pasifik di dalam perang ke atas rasuah apabila negara-negara Asia Pasifik menujukkan kemajuan dalam perang ke atas rasuah manakala Malaysia menunjukkan kemerosotan.

Bagaimanakah Persidangan keenam dan Mesyuarat Agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) membantu merangka strategi untuk memastikan Malaysia sebaris dengan negara-negara Asia Pasifik lain dalam kemajuan membanteras rasuah berbanding diletakkan sebagai "pesakit" rasuah di Asia Pasifik menemani Myanmar?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur