Keutamaan adalah untuk mengatasi masalah gangsterisme yang semakin parah di kalangan belia India dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan

Sidang Meja Bulat Parlimen berkenaan gejala gangsterisme di kalangan belia India adalah sangat releven dan tepat pada masanya bukan sahaja kerana masalah tersebut telah menjadi semakin serius kebelakangan ini tetapi juga kerana telah dua dekad ia dalam pembikinan.

Saya masih ingat dua puluh tahun lalu pada April 1992, saya telah menyampaikan ucapan ketika perbahasan tentang Titah Diraja di Parlimen meminta kerajaan supaya mendengar rintihan putus harapan dan penderitaan etnik India Malaysia juga menumpukan pada masalah-masalah asas yang dihadapi proses pembinaan bangsa di Malaysia.

Saya telah berucap berkenaan perasaan tersisih yang semakin menjadi-jadi di kalangan etnik India di Malaysia, yang turut merasakan kerajaan tidak cukup membantu untuk memperbaiki keadaan menyedihkan entnik India Malaysia khususnya pekerja ladang.

Buat pekerja ladang berketurunan India yang tersisih dan terasing, alternatif yang terpaksa mereka hadapi sekiranya berpindah keluar daripada ladang adalah kerja-kerja berproduktiviti rendah di kawasan bandar – yang meletakkan mereka di dalam kitaran ganas sosio-ekonomi menyebabkan berlakunya fenomena gangsterisme di kalangan belia India yang serius hari ini, diburukkan lagi dengan kemiskinan serta peminggiran pendidikan dan diskriminasi yang berlarutan.

Masalah gangsterisme belia India semakin parah beberapa tahun kebelakangan ini, berdasarkan hakikat bahawa kadar dan penglibatan jenayah belia India benar-benar lebih besar dibandingkan dengan bilangan dan peratusan etnik India dalam negara berbilang kaum ini.

Kita haruslah mensasarkan dua penyelesaian besar kepada masalah ini, iaitu:

  • Pertama, untuk meyakinkan rakyat dan penguasa di Negara ini bahawa masalah ini bukan sahaja masalah kaum India tetapi masalah Negara seluruhnya; dan

  • Untuk betul-betul mengatasi masalah gangsterisme belia India yang semakin parah melalui pendekatan yang menyeluruh melibatkan sosio-ekonomi dan pendidikan.

Untuk mencapai matlamat ini, saya mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan melibatkan semua bahagian dalam masyarakat Malaysia untuk mencari punca dan penyelesaian kepada masalah ini sebagai langkah pertama untuk mengatasi masalah gangsterisme di kalangan belia India yang semakin parah di negara kita.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur