Pakatan Rakyat membawa era baru politik bersih, Barisan Nasional membawa era yang kolot dengan politik perkauman

Pakatan Rakyat membawa era baru politik bersih, Barisan Nasional membawa era yang kolot dengan politik perkauman. Ini terbukti dengan kenyataan-kenyataan pemimpin BN yang terus memainkan sentimen kaum yang sudah tidak diterima lagi oleh rakyat Malaysia.

Sudah jelas perbezaan di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Bagi kami, Pakatan Rakyat adalah era baru yang membawa politik berprinsip, bermaruah dan bersih. Manakala BN pula mencerminkan era lama yang kekal dengan politik kotor yang penuh dengan unsur perkauman dan fitnah.

Dengan itu, saya amat kecewa dengan Dato Ghani Othman, calon BN yang menjadi saingan saya di Parlimen Gelang Patah, kerana masih bermain dengan politik perkauman. Ia tidak patut berlaku kerana beliau selaku bekas Menteri Besar Johor yang memegang jawatan itu selama empat penggal berturut-turut, sepatutnya bersikap sederhana, baik budi dan bersopan.

Laporan Malaysiakini semalam dengan jelas memetik Ghani, sewaktu bercakap kepada hadirin yang majoritinya kaum Cina di Johor, bahawa “Jika Kit Siang menang, Hadi mungkin jadi PM”.

Semua orang tahu ini cara propaganda MCA. Mengapa Ghani Othman juga terikut-ikut dengan cara ini? Apakah Ghani rasa orang Cina mudah ditakutkan dengan propaganda zaman lama itu?

Taktik kotor MCA yang ditiru oleh Ghani sudah ketinggalan zaman. Mereka kata kalau orang Cina undi DAP, ia bererti mengundi PAS.

Jadi saya ingin tanya kepada MCA dan Ghani, apa salahnya jika pengundi Cina undi PAS, pengundi Melayu undi DAP, semua pengundi India, Cina, Melayu, Kadazan, Iban mengundi PAS, PKR dan DAP?

Apa salahnya jika kita rakyat Malaysia bersatu padu, bersatu hati dan saling faham-memahami.

Atau inikah yang amat ditakuti oleh BN kerana ia akan menamatkan riwayat politik kaum dan politik perkauman di negara ini?

Malah, saya kecewa kerana sebelum ini juga Ghani telah dilaporkan berkata bahawa Pakatan Rakyat membawa agenda perkauman.

Tidak masuk akal sama sekali kerana semua orang tahu BN yang menjadikan pemimpin ultra kaum Perkasa sebagai calon mereka.

Juga tidak masuk akal tuduhan Ghani kerana penyokong-penyokong BN lah yang sering melakukan perbuatan-perbuatan membenci kaum lain.

Namun, telah terbukti bahawa pemimpin dan ahli serta penyokong Pakatan Rakyat tetap bertenang.

Sejak lima tahun lalu kami kekal bertentang walaupun dikenakan tekanan provokasi perkauman yang melampau oleh penyokong-penyokong UMNO serta cybertroopers mereka.

Dengan ini, para pengundi, terutamanya orang Melayu, sudah jelas nampak bahawa masa depan kita yang cemerlang, bersih dan adil akan diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Era kolot perkauman BN sudah tidak relevan lagi.

Ubah! Ini kalilah!

Lim Kit Siang Calon Parlimen Gelang Patah