Mengamalkan pendekatan 'Penyumberan Ramai' untuk mendapat pandangan umum dan pakar bagi Laporan Paradigma Pulau Pinang 2013-2023

Semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963, pendapatan Malaysia mencapai 13.6% daripada pendapatan AS, manakala pendapatan Korea dan Taiwan kedua-duanya lebih rendah masing-masing pada 10.7% dan 12.6%. Kini, lima puluh tahun berlalu, Malaysia jauh ketinggalan dengan hanya separuh kekayaan dimiliki Korea dan Taiwan. Sementara Korea dan Taiwan sudah melonjak menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, Malaysia masih lagi terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana, walaupun mempunyai banyak kelebihan semulajadi berbanding negara-negara tersebut.

Untuk sebab ini, Penang Institute yang diterajui oleh ahli ekonomi terkenal Pengarah Eksekutif Prof Datuk Woo Wing Thye (Penasihat kepada Perbendaharaan Amerika Syarikat) telah mengusahakan pelan 10-tahun yang menyeluruh iaitu Paradigma Pulau Pinang, bagi menjadikan Pulau Pinang No. 1 menjelang 2023. Paradigma Pulau Pinang akan:

  • memulihkan dinamisme ekonomi ke Pulau Pinang;

  • meningkatkan tahap kesesuaian untuk didiami di Pulau Pinang dan kelestarian alam sekitar;

  • mempercepatkan pembangunan sosial di Pulau Pinang dalam mengukuhkan keharmonian sosial dan memperluas penyertaan sosial.

Kami percaya dasar-dasar utama yang kami cadangkan untuk Pulau Pinang juga dapat digunapakai Malaysia secara keseluruhan. Apa yang memanfaatkan Pulau Pinang akan juga memanfaatkan Malaysia, memandangkan Pulau Pinang merupakan penyumbang hampir setengah jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik serta 9% KDNK negara.

Kerana ini, kami telah mengambil keputusan untuk melancarkan Paradigma Pulau Pinang di Kuala Lumpur juga, bukan sahaja untuk berkongsikan pelan pembangunan kami, tetapi juga untuk mendapat maklumbalas daripada semua untuk memperhalusi lagi pelan tersebut. Dengan kata lain, kerajaan negeri Pulau Pinang mengamalkan pendekatan penyumberan ramai (crowd sourcing) untuk mendapat maklumbalas bagi memantapkan lagi laporan Paradigma Pulau Pinang. Pendakatan penyumberan ramai dan keterbukaan untuk menerima cadangan dan dasar yang lebih baik adalah pendekatan yang baru dan tidak sama dengan pelan-pelan pembangunan lama yang dilaksanakan tanpa rundingan umum yang tulen.

Dalam beberapa tahun yang lepas, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan pelbagai program seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan lain-lain lagi sebagai langkah untuk membebaskan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana. Namun begitu, mereka tidak berjaya kerana penyelesaian yang dicadangkan hanya bersifat superfisial dan tidak menghiraukan sebab-sebab asas kemelesetan ekonomi, iaitu:

  • penyalahgunaan dasar-dasar sosio-ekonomi dan juga pemilihan berdasarkan hubungan dan bukanya pencapaian di sektor kerajaan menyebabkan penghijrahan modal insan ‘brain drain’ yang ketara dan pengaliran keluar modal yang besar;

  • pemusatan kuasa yang melampau di peringkat Persekutuan menghalang kerajaan tempatan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk mendukung pembangunan tempatan; dan

  • dalam kekaburan operasi kerajaan Persekutuan, misalnya kontrak kerajaan yang tertutup dan dirundingkan, justeru membiakkan ketidakcekapan dan korupsi.

Kesan negatif kepada pertumbuhan KDNK akibat faktor-faktor di atas tidak terserlah sebelum 1995 kerana telah diimbangi oleh kemasukan FDI secara besar-besaran, dan oleh pelaburan negeri dan GLC yang kebanyakannya dibiayai pertumbuhan pasca-1974 dalam hasil minyak dan gas.

Walau bagaimanapun, perkembangan globalisasi pasca-1990 negara-negara Asia yang lain telah menyebabkan sebahagian daripada FDI global yang diterima oleh Malaysia merosot dengan ketara. Penurunan penerimaan FDI global oleh Malaysia, bersama dengan daya kewangan Kerajaan Persekutuan dan GLC yang lebih lemah selepas bertahun-tahun salah urus, telah menyebabkan keruntuhan pelaburan pada tahun 2000, menjerat Malaysia dalam perangkap pendapatan pertengahan bagi sedekad setengah yang lalu.

Sejak bulan Mac 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang memperkenalkan tiga kumpulan dasar untuk mengurangkan kesan mudarat rejim dasar Persekutuan di Pulau Pinang:

  • menggantikan kapitalisme kroni dengan persaingan yang adil, misalnya tender terbuka untuk projek-projek awam;

  • memulakan desentralisasi dalam proses membuat keputusan, contohnya mendesak untuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan;

  • menghentikan kemerosotan dalam kualiti perkhidmatan kerajaan, contohnya menggunakan prinsip CAT (kompetensi-kebertanggungjawaban-ketelusan) dalam tadbir urus.

Paradigma Pulau Pinang

Komponen operasi Paradigma Pulau Pinang dibahagikan kepada strategi dan sasaran bagi (i) dinamisme ekonomi, (ii) kesesuaian didiami dan kelestarian, dan (iii) pembangunan dan keterangkuman sosial. Ketiga-tiga sifat tersebut adalah saling bergantung antara satu sama lain.

Dinamisme Ekonomi

Paradigma Pulau Pinang bertujuan memperkukuh proses pemulihan dinamisme ekonomi dengan mencadangkan langkah-langkah dasar yang khusus dalam meningkatkan:

  • pertumbuhan pembuatan berteknologi tinggi dan sektor berteknologi tinggi bio-pertanian, contohnya pengembangan sektor elektrik dan elektronik, industri peranti perubatan, industri makanan halal, dan industri akuakultur;

  • kemunculan aktiviti perkhidmatan moden bernilai tinggi seperti menjadi sebuah pusat global bagi pemprosesan perniagaan sumber luar (OBP);

  • kerancakan pelancongan berpulangan tinggi, contohnya menjadi pusat perubatan serantau, dan menjadi tempat percutian kegemaran bagi penduduk zon beriklim semasa musim sejuk;

  • penubuhan hab pendidikan serantau;

  • peralihan PKS menjadi pengeksport bertaraf dunia, iaitu meniru pengalaman Taiwan;

  • penyediaan perkhidmatan infrastruktur berkualiti tinggi, contohnya membekalkan internet teramat laju untuk menyokong pusat OBP, dan menjadi pelabuhan antarabangsa untuk memenuhi keperluan logistik IMT-GT;

  • pembangunan pusat kecemerlangan dalam sains dan teknologi.

Kejayaan dalam setiap satu daripada tujuh bidang di atas bergantung kepada ketersediaan modal insan yang mencukupi. Oleh itu, Paradigma Pulau Pinang juga membentangkan cadangan-cadangan yang praktikal tentang bagaimana untuk melatih, melatih semula, mengekalkan dan menarik modal insan ke Pulau Pinang.

Kesesuaian Didiami dan Kelestarian

Antara cadangan dasar utama tentang "Kesesuaian Didiami dan Kelestarian" termasuklah langkah-langkah:

  • untuk menjadikan perumahan mampu dimiliki semua dengan membaharui garis panduan pembangunan, memperkenalkan insentif berasaskan pengezonan dan membina rumah mampu milik melalui tender terbuka;

  • untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keterhubungan dengan menjajarkan penggunaan tanah dengan perancangan pengangkutan, mendukung penggunaan pembangunan bercampur supaya orang dapat hidup, bekerja dan bermain lebih dekat antara satu sama lain, menggalakkan budaya jalan dan basikal, membina jalan pintas strategik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menghubungkan bahagian utara Pulau dengan bahagian utara Seberang Perai dengan laluan penghubung ketiga.

  • untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti ruang awam terbuka dengan menyusun semula keperluan ruang awam, menyediakan taman pantai lelurus di tanah tambakan baru, mengubahsuai tanah yang jarang dipakai untuk kegunaan awam seperti Dataran Warisan Prangin serta melibatkan komuniti perniagaan tempatan dalam usaha penambahbaikan bandar;

  • untuk meningkatkan kelestarian alam semula jadi dengan memerlukan pensijilan GBI, menghijaukan kawasan bandar, merekabentuk saliran induk baru dan pelan penuaian air dan mengurangkan permintaan air melalui pendidikan dan kawalan harga.

Pembangunan & Keterangkuman Sosial

Ketiga, Paradigma Pulau Pinang juga akan mempercepatkan pembangunan sosial dan meluaskan keterangkuman sosial di Pulau Pinang dengan melaksanakan program-program konkrit:

  • untuk memerangi kemiskinan, ketidaksamaan dan diskriminasi dengan memastikan pendapatan isi rumah minima RM770 sebulan, memperluaskan skim kredit mikro kepada golongan miskin, memudahcarakan mobiliti dan ketercapaian untuk warga emas dan OKU serta menubuhkan Jawatankuasa Keterangkuman Sosial dan Peluang Saksama;

  • untuk mengukuhkan sokongan keluarga dan masyarakat dengan memperluaskan ketercapaian penjagaan kanak-kanak dan warga emas, mewujudkan rangkaian pusat komuniti, meningkatkan rawatan pencegahan, menubuhkan klinik komuniti bergerak, menyediakan bantuan untuk rakyat Malaysia “tanpa kerakyatan” serta menubuhkan sebuah unit di bawah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk kebajikan dan perlindungan hak kanak-kanak;

  • untuk menggalakkan pemerkasaan ekonomi melalui pendidikan dengan menubuhkan Pusat Sehenti dan memudahcarakan Kerjasama Awam-Swasta untuk penubuhan prasekolah dan pusat-pusat pembelajaran awal, memulakan program pembelajaran kreatif, menyediakan laluan pendidikan alternatif, serta memperluaskan agenda untuk melatih, melatih semula, mengekalkan dan menarik modal insan; dan

  • menginstitusikan pemerkasaan demokratik dengan mewajibkan pengisytiharan harta oleh semua wakil rakyat, melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat, meningkatkan ketercapaian umum untuk maklumat kerajaan, mengagihkan kuasa pusat dan merasionalisasikan kuasa antara ketiga-tiga peringkat kerajaan serta meningkatkan proses perundingan awam.

Kesimpulannya, Paradigma Pulau Pinang adalah kerangka untuk membentukkan masyarakat seimbang: yang dinamik dari segi ekonomi, sesuai didiami dan lestari, yang memerkasakan dari segi demokrasi dan menjamin keadilan sosial. Inilah formula bagi Pulau Pinang untuk mencapai “pilihan” tiga mata, iaitu untuk menjadi habitat pilihan untuk penduduk tempatan, tempat pilihan untuk pelancong serta lokasi pilihan untuk para pelabur dalam menubuhkan perniagaan.

Hasilnya, Paradigma Pulau Pinang akan menjadikan Pulau Pinang No. 1 di Malaysia sebagai masyarakat seimbang serta Negeri pintar yang bertaraf antarabangsa. Kami percaya bahawa jika dilaksanakan di seluruh negara, Malaysia dapat membebaskan diri daripada perangkap pendapatan sederhana dan menjadi negara yang pintar dan bertaraf antarabangsa.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang & Pengerusi Penang Institute