Mengutamakan golongan pekerja Malaysia dengan gaji minima RM1,100 satu langkah menuju sasaran pendapatan isi rumah minima RM4,000 dalam masa 5 tahun

Sambil pekerja seluruh Malaysia menyambut Hari Pekerja 2013, Negara sangat perlu berubah demi menyelesaikan masalah hutang menggunung yang dihadapi setiap satu keluarga di Negara ini.

Menurut laporan tahunan Bank Negara bagi tahun 2012, hutang isi rumah Malaysia berada pada jumlah RM 755 bilion atau 81% daripada KDNK menjadikan kita salah satu daripada negara paling banyak berhutang di rantau Asia. Malahan, unjuran kadar pertumbuhan hutang isi rumah di Malaysia berada pada kadar 11%, yang lebih tinggi daripada kadar terendah pertumbuhan KDNK pada 7.8%.

Tambahan kepada itu, nisbah pembayaran hutang isi rumah di Malaysia menghampiri 50%, bermakna secara purata, separuh dari pendapatan isi rumah adalah untuk membayar hutang. Ini bermakna, selepas habis membayar hutang, keluarga di Malaysia tidak mempunyai jumlah yang banyak untuk dibelanjakan bagi makanan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan lain.

Gaji minima RM1,100 sebulan oleh Pakatan Rakyat, termasuk elaun dan sara hidup namun tidak termasuk gaji lebih masa adalah sangat diperlukan bagi membolehkan semua rakyat Malaysia bebas dari belenggu kemiskinan. DAP tidak faham bagaimana BN boleh sanggup meletakkan tahap gaji minima bulanan kepada RM900 sahaja, yang lebih rendah dari petunjuk garis kemiskinan iaitu sebanyak RM763 bagi Semenanjung Malaysia, RM1,048 di Sabah dan RM912 di Sarawak. Gaji minima RM1,100 akan membolehkan rakyat Malaysia untuk bukan sahaja bebas dari kemiskinan malah dapat hidup dengan lebih bermaruah.

Polisi gaji minima Pakatan Rakyat tidak akan melebihkan orang asing daripada rakyat tempatan, kerana gaji minima kita pada awalnya hanya akan melibatkan pekerja tempatan sahaja. Ini akan memastikan rakyat Malaysia diberi keutamaan, dan pada masa yang sama tidak membebankan perusahaan kecil dan sederhana. Pendekatan ini adalah berbeza dengan BN yang memberikan gaji minima RM900 mereka untuk semua pekerja asing; kerana Pakatan Rakyat percaya bahawa kita mesti mengutamakan pekerja rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, gaji minima tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian. Inilah sebabnya kenapa Pakatan Rakyat mencadangkan supaya dasar gaji minima dilaksanakan bersama-sama dengan usaha lain seperti dana RM2 bilion untuk memudahkan pelaksanaan gaji minima, serta geran kewangan untuk menambah kemahiran pekerja serta insentif automasi untuk perusahaan kecil dan sederhana. Tambahan kepada itu, haruslah ada perubahan struktur terhadap ekonomi demi mencipta lebih banyak pekerjaan produktiviti tinggi dan meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja.

Dengan kata lain, usaha terhadap ekonomi berpendapatan tinggi mestilah holitistik dan melibatkan usaha untuk membina dan memupuk bakat manusia. Hanya dengan itu kita akan dapat mencapai sasaran pendapatan purata minima setiap isi rumah sebanyak RM4,000 dalam masa lima tahun pertama di penghujung penggal pentadbiran Pakatan Rakyat.

Pilihan yang ada sudah jelas bagi rakyat Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13 ini. Kita boleh memilih untuk sama ada terus merudum dalam timbunan hutang dan mengambil risiko menjadi negara yang bankrap, atau kita boleh mengundi demi perubahan untuk sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang akan mengutamakan pekerja tempatan melebihi pekerja asing dengan dasar gaji minima RM1,100 sebagai satu langkah menuju sasaran pendapatan isi rumah minima sebanyak RM4,000 dalam lima tahun pertama kerajaan Pakatan Rakyat.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP