Menyeru ditubuhkan lima Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mencapai sebenar-benar kerukunan dan transformasi nasional

Pada malam Pilihan Raya Umum ke-13, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercakap tentang perlunya “kerukunan nasional” sesudah beliau merendahkan kelayakan dan kewibawaan beliau untuk melakukan hal tersebut dengan mengeluarkan kenyataan yang amat berat sebelah mengatakan keputusan PRU13 sebagai tsunami Cina sedangkan ia tsunami rakyat Malaysia, bandar, separa bandar dan anak muda!

Atas sebab ini, saya berhasrat mencadangkan penubuhan lima Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagai tugas pertama kerajaan dan negara untuk mencapai kerukunan dan transformasi nasional sebenar, iaitu:

  1. RCI untuk Pilihan Raya Umum ke-13, sama ada ia bersih, bebas dan adil; mengapa keputusan PRU13 secara umumnya dianggap sebagai tidak demokratik dan tidak mewakili kehendak pengundi dan apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan krisis keyakinan terhadap keputusan PRU13.

  2. RCI untuk rusuhan 13 Mei, 1969 bagi memastikan peristiwa sebenar dan punca rusuhan 13 Mei, siapa yang bertanggungjawab, bukan bertujuan mencari siapa yang perlu dipersalahkan atau dihukum memandangkan 44 tahun telah berlalu sejak tragedi itu pada 1969, tetapi bagi memastikan punca dan perkembangan sebenar untuk dipaparkan kepada generasi akan datang dan mengelakkan daripada kejadian 13 Mei dipergunakan dalam setiap pilihan raya semenjak 1969 untuk mengugut pengundi daripada menggunakan hak perlembagaan mereka untuk mengundi secara bebas bagi memilih wakil dan kerajaan pilihan mereka.

  3. RCI untuk rasuah di Malaysia bagi mendedahkan “rasuah besar” yang berleluasa di dalam negara dan untuk merangka Pelan Integriti Nasional melibatkan semua parti politik dan pihak berkepentingan dalam negara untuk menjadikan Malaysia salah satu daripada 20 negara paling kurang rasuah di dunia, yang turut akan membuka semula kes kematian misteri Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

  4. RCI untuk Polis dan Jenayah bagi mencadangkan pembaharuan dalam pasukan polis bagi mewujudkan pasukan polis bertaraf dunia yang dapat membasmi peningkatan jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah di kalangan rakyat Malaysia juga bagi menilai semula laporan dan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis 2004 yang diketuai oleh Tuan Presiden Tun Dzaiddin dan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar.

  5. RCI untuk 22 tahun pemerintahan Mahathir, menyiasat segala skandal kewangan, pelanggaran hak asasi manusia dan hak demokratik serta penyalahgunaan kuasa yang melemahkan kebebasan, kecekapan dan profesionalisme badan kehakiman dan semua institusi nasional serta instrumen negara.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah