Zahid adalah contoh terbaik menjadi “mangsa sendiri” penipuan “bilik perang” PRU13 UMNO/BN

Menteri Dalam Negeri baru, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan contoh terbaik menjadi “mangsa sendiri” penipuan “bilik perang” PRU13 UMNO/BN tentang DAP membelanjakan lebih daripada satu bilion ringgit sepanjang enam tahun lalu untuk mengupah seramai 3,000 tentera siber “Red Bean Army” bagi memburuk-burukkan dirinya dan pemimpin UMNO/BN lain.

Ini sekali lagi digambarkan oleh Utusan Malaysia hari ini, salah satu alat utama propaganda UMNO/BN dalam PRU13, yang menyiarkan laporan bertajuk “Red Bean Army serang kerajaan – Ekoran DAP gagal peroleh kuasa di Putrajaya”, menyebut:

“Kuala Lumpur 27 Mei – Kecaman serta penghinaan berterusan yang dihamburkan oleh Red Bean Army terhadap kerajaan jelas membuktikan tentera siber DAP itu gagal menutup rasa kecewa kerana tidak berjaya memperoleh 'kuasa' di Putrajaya.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun beliau sendiri tidak terlepas daripada serangan tentera siber berkenaan, perkara itu adalah lumrah bagi mereka yang bergelar ahli politik.

“Meskipun tidak menyatakan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pihak terbabit, beliau dengan nada sinis memberitahu, mereka merupakan jenis manusia yang hanya tahu menyalahkan pihak lain berbanding diri sendiri.”

Saya tidak percaya Zahid mengalami sebarang halusinasi tentang DAP membelanjakan lebih daripada satu bilion ringgit sepanjang enam tahun lalu untuk mengupah seramai 3,000 orang tentera siber “Red Bean Army” bagi memburuk-burukkannya dan pemimpin UMNO/BN lain.

Perkara paling baik seorang boleh katakan tentang Zahid adalah dengan menganggapnya sebagai “mangsa sendiri” penipuan “bilik perang” UMNO/BN tentang DAP membelanjakan lebih daripada satu bilion ringgit sepanjang enam tahun lalu untuk mengupah seramai 3,000 orang tentera siber “Red Bean Army” untuk memburuk-burukkannya dan pemimpin UMNO/BN lain.

Zahid menjadi dua kali kurang bijak – pertama, kerana percaya dengan penipuan strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN yang bertujuan mengelirukan dan membingungkan kem musuh serta kedua, kerana menjadi satu-satunya Menteri yang secara umumnya dikenali dengan dakwaan tentang dongeng “Red Bean Army” DAP.

Jelas, Zahid tidak bijak langsung – untuk mempercayai pembohongan yang dimulakan oleh orangnya sendiri.

Sudah tentu, strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN mempunyai kepentingan sendiri untuk mengekalkan penipuan yang mereka cipta dalam PRU13 tentang Pakatan Rakyat bagi menjustifikasikan kegagalan mereka merealisasikan ramalan angkuh bahawa UMNO/BN akan memenangi PRU13 dengan majoriti dua pertiga Parlimen sekalipun beratus juta ringgit sudah ditabur secara langsung atau tidak langsung dalam kempen media yang amat besar melibatkan media cetak, televisyen, papan iklan, laman atas talian dan sekumpulan besar tentera siber UMNO/BN, baik “Belacan Army”, “Ikan Bakar Army”, “Cincin Army” atau “Petai Army”.

Pembohongan tentang dongeng “Red Bean Army” DAP yang terus menerus dilemparkan Zahid telah mencuit rasa ingin tahu saya lalu membuatkan saya mencari tentangnya dan saya mendapati bahawa pembohongan, mitos dan lagenda tentang dongeng “Red Bean Army” DAP ditulis dengan meluas di dalam media UMNO/BN, terutamanya Utusan Malaysia, New Straits Times dan Star sebelum hari membuang undi pada 5 Mei dan dalam minggu-minggu berikutnya.

Sebagai contoh, beberapa hari sebelum Hari Mengundi pada 5 Mei, New Straits Times menyiarkan sebuah artikel bertajuk “Beware of DAP's cyber troopers (Berjaga-jaga dengan tentera siber DAP)” yang menyebut:

KUALA LUMPUR: Berjaga-jaga dengan tentera siber yang ditaja DAP, dikenali sebagai Red Bean Army, yang bersiap sedia mencetuskan kekacauan di ruang siber.

Kumpulan teras itu dikatakan terdiri daripada 2,000 dan 3,000 ahli yang mampu mencapai dengan mudah 60,000 orang dengan menghantar posting melalui jaringan sosial.

Anggota-anggotanya dikatakan berkerja sepenuh masa dengan gaji antara RM3,000 dan RM8,000 setiap seorang dan mereka telah diberitahu untuk melancarkan serangan ke atas lama web pro-kerajaan dan jaringan sosial, menyebarkan pembohongan tentang kerajaan dan menghalang sebarang usaha untuk berhubung dengan orang ramai melalui internet.

Penganalisa media berkata kumpulan itu, yang ditubuhkan antara empat hingga enam tahun lalu, juga diarahkan untuk “membunuh” komen-komen pro-kerajaan di media alternatif dan menggangu program yang menaikkan nama kerajaan.

Mereka mengatakan “tentera” itu akan memanipulasi maklumat dan meluaskan serangan mereka ke atas kerajaan.

Salah satu tugas mereka juga untuk mewujudkan rasa benci terhadap kerajaan.

Saya betul-betul terkejut dan terkesima apabila seorang Menyeri Kabinet senior dan pemimpin UMNO dengan lagak mahu menjadi Predisen UMNO dan Perdana Menteri satu hari nanti boleh mempercayai sampah sedemikian yang datang dari strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN.

Mengambil purata RM5,000 sebulan (tentang dakwaan gaji bulanan RM3,000 dan RM8,000 sebulan) untuk 3,000 tentera siber di dalam apa yang kononnya dinamakan “Red Bean Army” DAP, akan menghasilkan satu perbelanjaan gergasi sebesar RM15 juta sebulan atau RM180 juta setahun – dan jumlah yang sukar dibayangkan sebanyak RM1.08 bilion dalam tempoh enam tahun!

Zahid percaya bahawa DAP mampu membelanjakan RM1.08 bilion dalam tempoh enam tahun untuk mengupah 3,000 tentera siber di dalam “Red Bean Army” bertujuan memburuk-burukkan pemimpin UMNO/BN?

Zahid tentu gila untuk mempercayai perkara karut sebegitu akan tetapi dia saban hari telah melahirkan keyakinan tentang 3,000 tentera siber berbayar yang digelar “Red Bean Army” sebagaimana di dalam Utusan Malaysia hari ini.

Apabila Menteri Kabinet senior dan pemimpin UMNO seperti Zahid menampakkan dirinya sebagai seorang yang tidak signifikan yang begitu mudah tertipu mempercayai pembohongan dari strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN, bagaimana rakyat mahu yakin pada kewibawaan, kualiti dan kecemerlangan Kabinet Najib untuk memperjuangkan transformasi nasional, untuk menggerakkan kerukunan nasional atau membawa negara kepada pembangunan tahap di lebih tinggi?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah