Kongres Parti DAP Ke-17 amat menyedari cabaran-cabaran yang bakal dihadapi DAP, Pakatan Harapan dan Malaysia dalam mendepani cabaran-cabaran masa kini yang timbul ekoran pandemik Covid-19 serta pergolakan politik sejak 2 tahun lalu. Pada masa sama, kita terus berusaha membentuk semula Malaysia menjadi sebuah negara yang demokratik, bersatu padu, saksama dan mampan, berpandukan nilai-nilai kebebasan, keadilan dan solidariti.
Dengan itu, Kongres Parti DAP Ke-17 memutuskan untuk menerima pakai ketetapan-ketetapan berikut yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat sebagai panduan hala tuju masa depan parti.
- Impian Malaysia
Mengukuhkan komitmen DAP terhadap ‘Impian Malaysia’ seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Shah Alam yang diterima pakai pada Persidangan Kebangsaan sedekad lalu pada 8 Januari 2012, DAP mesti:
- Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi Persekutuan dan menghormati semangat Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
- Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Raja-Raja Berperlembagaan bagi Negeri-negeri.
- Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta melindungi hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
- Melindungi kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Persekutuan di samping melindungi kebebasan agama lain untuk diamalkan dengan aman dan damai serta tanpa gangguan, seperti yang termaktub dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
- Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama mengiktiraf dan mempertahankan hak masyarakat lain untuk bertutur, mengajar dan mempelajari bahasa masing-masing.
- Mengangkat semangat perkongsian sama rata dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan memperjuangkan hak rakyat Sabah dan Sarawak.
- Hak politik sivil dan reformasi institusi
Mengulangi penegasan bahawa hak-hak sivil dan politik semua rakyat Malaysia membentuk agenda teras DAP untuk Malaysia yang bersatu, DAP mesti:
- Menegakkan hak sivil dan politik yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak kebebasan bersuara dan berekspresi, kebebasan berhimpun secara aman, kebebasan berpersatuan dan hak mengundi.
- Terus membina dan menggalakkan masyarakat Malaysia yang adil dan saksama di mana seseorang itu tidak akan dinilai berdasarkan jantina, warna kulit, agama atau ideologi politik tetapi berdasarkan karekter dan kerja seseorang.
- Terus mendesak pemansuhan/penghapusan undang-undang drakonian dan regresif yang melanggar hak rakyat Malaysia.
- Mempertegas komitmen DAP terhadap pilihan raya yang bebas dan adil sebagai keperluan penting bagi demokrasi dan menghapuskan halangan terhadap hak untuk mengundi bagi semua rakyat Malaysia.
- Meningkatkan usaha untuk mewujudkan kesedaran kepada orang ramai tentang hak mereka untuk mengundi, dengan tumpuan khusus kepada yang berumur 18 hingga 20 tahun dan pengundi baru berdaftar, selaras dengan kejayaan kerajaan Pakatan Harapan meluluskan pindaan perlembagaan untuk memberi hak mengundi kepada rakyat Malaysia yang dewasa.
- Menuntut agar kerajaan membentangkan dan seterusnya meluluskan undang-undang anti-lompat untuk menghapuskan sama sekali amalan keji lompat parti demi untuk memulihkan kepercayaan terhadap demokrasi dan proses pilihan raya.
- Covid-19: Membina daya tahan dan membina semula masyarakat
Mengakui bahawa tugas untuk membina semula Malaysia selepas krisis Covid-19 memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat dan seluruh kerajaan, DAP mesti:
- Menyokong, memantau dan terus memainkan peranan semak dan imbang kepada usaha-usaha kerajaan ketika Malaysia menuju ke fasa endemik dalam usaha untuk pulih daripada krisis Covid-19.
- Menolak sebarang percubaan Kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu atau menaikkan sebarang levi atau kadar untuk utiliti dan keperluan lain, sehingga negara pulih sepenuhnya.
- Menyeru kerajaan untuk segera mewujudkan Dana Penstabilan Harga RM3 bilion bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup semua rakyat Malaysia.
- Menggesa Kerajaan menyokong individu dan perniagaan tempatan melalui pemberian wang tunai dan dana untuk membantu mereka pulih daripada krisis tersebut.
- Mempromosi dasar untuk memperlengkap dan mengukuhkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan awam kita untuk bertindak balas terhadap cabaran penjagaan kesihatan abad ke-21. Ini termasuk meningkatkan pelaburan terhadap hospital moden, klinik, klinik mudah alih dan yang paling penting – profesional penjagaan kesihatan. DAP menyokong tuntutan profesional penjagaan kesihatan kontrak kerajaan untuk diserap ke jawatan tetap.
- Perangi rasuah habis-habisan
Mengambil perhatian terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International dilihat semakin merosot dalam tempoh dua tahun dan menyedari bahawa rasuah telah menjadi barah dalam masyarakat kita, DAP perlulah:
- Menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab kepada Parlimen.
- Mengulangi gesaan peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan siasatan penuh dan telus dilancarkan berkenaan dakwaan terhadapnya.
- Memastikan pihak berkuasa Malaysia menyiasat pendedahan dan pembongkaran yang dibuat dalam perbicaraan Roger Ng di New York berkaitan 1MDB dan membawa mereka yang terlibat dalam skandal besar ini ke muka pengadilan.
- Menyeru Kerajaan untuk menolak sebarang tekanan campur tangan dalam proses undang-undang pendakwaan kleptokrat dan koruptor serta memastikan mereka yang bersalah tertakluk kepada kedaulatan undang-undang.
- Ekonomi ehsan abad ke-21
Menegaskan semula bahawa sektor ekonomi mesti memberi manfaat buat semua, bukan hanya segelintir; sementara pasaran mesti berfungsi dengan baik untuk membolehkan bakat berkembang dengan merit, masyarakat yang penuh belas ihsan mesti melindungi mereka yang paling rentan daripada serangan kapitalis, DAP mesti:
- Menegakkan dasar yang mencipta, memelihara dan melindungi pekerjaan bermaruah untuk semua rakyat Malaysia. Dasar MalaysiaKerja Pakatan Harapan adalah contoh bagaimana Kerajaan boleh bekerjasama dengan sektor swasta untuk mencipta, memelihara dan melindungi pekerjaan dengan gaji yang berpatutan untuk rakyat Malaysia, termasuk belia dan wanita.
- Mendorong pembaharuan institusi dalam menyelesaikan kekurangan pekerja yang dihadapi oleh banyak perniagaan melalui insentif gaji dan pengambilan pekerja serta dasar pengambilan pekerja asing yang lebih berperikemanusiaan dan telus.
- Menggalakkan perusahaan tempatan ke arah Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi hijau, sambil meningkatkan rantaian nilai untuk beralih daripada menjadi ‘lantai kedai dunia’ kepada menjadi hab inovasi dan penyelidikan untuk ekonomi abad ke-21.
- Berusaha ke arah mewujudkan pendidikan yang sepadan dengan cabaran ekonomi abad ke-21 bagi para pelajar dan anak-anak muda kita melalui promosi pendidikan STEM dan TVET yang lebih kondusif di samping melengkapkan aliran sekolah tradisional dengan modul terkini.
- Memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara kelas sosial yang berbeza, antara lelaki dan wanita, serta antara negeri dan wilayah di Malaysia. Menyedari bahawa pertumbuhan ekonomi tidak bermakna pengagihan ekonomi setara dan Kerajaan mesti mempunyai dasar yang mampu merapatkan jurang kekayaan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih saksama.
- Melindungi kumpulan yang paling terjejas melalui program kebajikan yang sistematik, adil dan memperkasakan yang tidak mendiskriminasi jantina, kaum, agama atau ideologi politik tetapi mudah diakses oleh mereka yang memerlukan.
- Beralih daripada kaedah lama iaitu bantuan sekali sahaja kepada bantuan kewangan bersiri secara tetap untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi. Kaedah lama iaitu bantuan ‘one-off’ adalah bantuan jalur kewangan yang tidak dapat melindungi mata pencarian pekerja biasa dan rakyat Malaysia yang mengalami masalah kewangan.
- Menyemak semula kenaikan inflasi dan harga makanan, komoditi dan bahan terutamanya ‘membalikkan’ kenaikan tarif elektrik untuk 1.6 juta perniagaan dan industri.
- Memperkasa wanita dan menghentikan diskriminasi berasaskan gender
Saban tahun, wanita di Malaysia terus bergerak ke arah kesaksamaan merentasi spektrum penglibatan sosial yang luas terutamanya dalam bidang pencapaian pendidikan, penyertaan dalam bidang ekonomi dan politik. Tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan keseimbangan gender dan pembangunan yang saksama untuk wanita Malaysia. Oleh itu, DAP mesti:
- Mengecam semua bentuk diskriminasi berkait sosio-ekonomi dan politik terhadap wanita; sebagai tambahan kepada sebarang bentuk penindasan yang mungkin timbul dalam hal-hal berkaitan tadbir urus dan dasar-dasar.
- Mengarusperdanakan gender melalui penyertaan gender yang seimbang dalam pembuatan dasar dan keputusan di setiap peringkat. Kongres Nasional DAP sebelum ini telah meluluskan pindaan Perlembagaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30% ahli wanita dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti sebagai sebahagian daripada usaha mengarusperdanakan gender dalam kepimpinan tertinggi parti.
- Mewujudkan persekitaran selamat untuk para wanita dan yang jauh daripada sebarang bentuk gangguan, ancaman atau penderaan lisan mahupun fizikal. Untuk itu, DAP menggesa Kerajaan meluluskan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang telah lama tertangguh, yang dicadangkan oleh kumpulan advokasi wanita dan pertama kali dimulakan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
- Mencergaskan Kumpulan Belia
Kami mengiktiraf kepentingan belia sebagai penyumbang aktif dan rakan usaha sama untuk membina semula negara kita dalam semua bidang. Pemerkasaan belia adalah teras kepada agenda DAP untuk memastikan kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai kuasa kuat dan padu untuk membina masa hadapan yang lebih baik bagi negara kita. Oleh itu DAP mesti:
- Terus mempertahankan dan memperkasakan hak golongan muda untuk mengundi dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti politik termasuk di institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Kita juga mestilah memperkukuhkan pendidikan politik dalam kalangan belia untuk menggalakkan mereka memainkan peranan yang lebih aktif serta bermaklumat (informed) dalam proses demokrasi negara.
- Menggalakkan dasar-dasar berfokuskan belia termasuk dasar pendidikan saksama, rumah mampu milik, dasar untuk menyediakan pekerjaan yang lebih berkualiti untuk belia selain menyediakan keselamatan sosial yang lebih baik untuk mereka yang terlibat dalam sektor ekonomi tidak formal.
- Menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi yang bergerak pantas dan menjadi kreatif untuk mendekati, melibatkan diri, mendengar dan yang paling penting ialah mendapatkan lebih ramai anak muda untuk terlibat secara aktif dalam pembinaan negara bangsa. Ini sekali gus akan menggalakkan lebih ramai belia untuk menjadi pemimpin politik serta pemimpin di pelbagai peringkat dalam masyarakat kita.
- Menggalakkan kemajuan sukan yang lebih besar dalam kalangan belia termasuk dalam e-sukan di semua peringkat masyarakat. Ini termasuk pemerkasaan dan pelaburan yang lebih besar dalam membangunkan atlet kita bagi membolehkan mereka terus maju dan cemerlang termasuk di peringkat antarabangsa. Selain itu, kita juga akan memastikan layanan yang saksama kepada atlet aktif dan atlet yang telah bersara yang telah menyumbang khidmat kepada negara kita.
- Melindungi Bumi kita
Peningkatan kejadian banjir baru-baru ini di banyak negeri di Malaysia mendedahkan realiti perubahan corak cuaca yang ekstrem disebabkan oleh perubahan iklim. Oleh itu, Malaysia mesti menyedari impak dan kesan perubahan iklim yang berlaku selain meningkatkan usaha ke arah pembangunan yang lebih mampan. Jadi, DAP perlu:
- Mengumpulkan usaha untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyepadukan langkah-langkah perubahan iklim ke semua agensi kerajaan, bukan hanya terhad kepada mereka yang menguruskan isu alam sekitar secara langsung sahaja.
- Memacu projek hijau seperti kontrak prestasi tenaga, projek pajakan solar dan inisitif sisa kepada tenaga.
- Mengelakkan Malaysia daripada menjadi tempat pembuangan sisa plastik.
- Mendesak pindaan Akta Hutan Negara ke arah dasar hutan lestari, seperti: pengurangan kadar penebangan kayu dan mengutamakan penjanaan semula hutan untuk menangani masalah penebangan hutan.
- Memperbaharui undang-undang dan dasar pembangunan, dengan mengambil kira kesan perubahan iklim untuk membina bandar yang mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
- Memperkasakan Negeri dan Wilayah
Menjawab kepada kepentingan politik di peringkat negeri yang semakin meningkat memandangkan lebih banyak pilihan raya negeri secara berasingan berlaku kebelakangan ini, DAP perlu:
- Menyeru agar lebih banyak desentralisasi dan penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, terutamanya dalam hal kesihatan, pengangkutan dan pendidikan.
- Menyokong pengaturan perkongsian cukai pendapatan yang lebih saksama antara persekutuan dan negeri untuk meningkatkan keupayaan penjanaan hasil setiap negeri dan wilayah.
- Menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus diberi pengiktirafan yang sah sebagai anggota pengasas Persekutuan Malaysia. Kami akan terus mengiktiraf dan melindungi hak istimewa Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
- Kerjasama dan usaha dwipartisan
Pandemik Covid-19 telah mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pendekatan keseluruhan masyarakat dan keseluruhan kerajaan dalam menangani krisis negara. Ketidakstabilan politik dan politik sempit yang pentingkan diri telah menyebabkan kerosakan besar kepada kehidupan dan ekonomi rakyat. Justeru, DAP mesti:
- Memastikan usaha nasional tidak tergelincir disebabkan oleh kepentingan politik sempit, dan dengan itu, DAP bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana dan semua pihak demi kepentingan negara dan rakyat, tanpa menjejaskan prinsip parti.
- Pakatan Harapan dan pembangkang lain
Menyedari bahawa satu-satunya cara untuk mendapatkan semula kepercayaan pengundi Pakatan Harapan adalah dengan mempamerkan barisan pembangkang yang bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, DAP mesti:
- Mengulangi prinsip Pakatan Harapan seperti menegakkan demokrasi, keadilan untuk semua, menghormati kepelbagaian Malaysia, memerangi rasuah dan ekonomi yang saksama sebagai asas kepada gabungan itu.
- Memperkukuh dan menyatukan parti komponen dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, KEADILAN, Amanah dan UPKO serta menyelesaikan ketegangan dan isu dalam gabungan itu.
- Bersetuju dengan penggunaan logo HARAPAN sebagai logo yang digunakan oleh semua parti komponen dalam pilihan raya akan datang, tetapi dengan kelonggaran diberikan kepada komponen di Sabah dan Sarawak untuk membuat keputusan dengan autonomi.
- Tingkatkan usaha ke arah pendekatan ‘khemah besar’ dengan mengumpulkan kekuatan pelbagai parti pembangkang dan/atau parti bukan Barisan Nasional yang tidak secara rasmi di bawah Pakatan Harapan untuk memastikan seboleh-bolehnya akan ada pertandingan 1 lawan 1 dengan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.