Laporan Jawatankuasa Tertinggi Pusat 2022

Persidangan Parti yang terakhir telah diadakan di IDCC, Shah Alam pada 5 Mei 2019.

Pada persidangan ini beberapa pindaan kepada Perlembagaan Parti telah berjaya dilakukan. Langkah itu susulan DAP hampir dibatalkan pendaftarannya pada 2012 dan 2017 selepas pemilihan parti serta pemilihan semula yang dibuat ketika itu dibatal oleh Jabatan Pendaftar Persatuan (ROS).

Pindaan ini termasuklah melantik sekurang-kurangnya 30 peratus wakil wanita dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP. Dasar ini bertujuan merapatkan jurang kepimpinan wanita dan lelaki, mengarusperdanakan gender dan adalah selari dengan prinsip keadilan sosial yang diperjuang oleh DAP.

Bilangan keanggotaan CEC akan ditambah daripada 30 ahli kepada 40 ahli termasuk lantikan.

KEDUDUKAN PARTI

Parti telah menyaksikan pertumbuhan pesat sejak tsunami politik 2008. Dari segi keahlian, parti kini mempunyai 180748 ahli berbanding 57743 sebelum 2008, dengan permohonan 7550 ahli baharu yang masih dalam proses.

Daripada segi cawangan, parti kini mempunyai 1982 cawangan, berbanding 358 cawangan pada 2008. Sebanyak 151 cawangan masih dalam proses kelulusan.

Pada masa ini, DAP mempunyai 42 orang Ahli Parlimen (MP) , 89 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 2 Senator Dewan Negara.

PERISTIWA POLITIK

  1. Langkah Sheraton & Tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH)

    Pertama kali dalam sejarah Malaysia, kerajaan PH yang dipilih melalui pilihan raya diganti dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui ‘Langkah Sheraton’ apabila Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak keluar daripada PH bersama 10 MP Parti Keadilan Rakyat (PKR), bergabung dengan parti pembangkang menubuhkan kerajaan PN.

    Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020 selepas merasakan beliau kehilangan sokongan sekaligus Kerajaan PH tumbang selepas hanya 22 bulan.

    Pada 1 Mac 2020, Mahiaddin Yasin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 dengan sokongan UMNO, PAS dan GPS.

    Selepas kejatuhan Kerajaan PH di peringkat pusat, bermulalah apa yang dikatakan sebagai ‘teori domino’ apabila Kerajaan PH Negeri Kedah, Perak, Melaka dan Johor jatuh diganti oleh kerajaan PN melalui tindakan lompat parti oleh wakil-wakil rakyat PH yang beralih sokongan kepada PN.

  2. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah

    PRN Sabah telah terpaksa diadakan pada 26 September 2020 setelah Kerajaan negeri Sabah yang diterajui oleh gabungan Parti Warisan Sabah dan PH, dibubarkan pada 30 Julai 2020. Ini adalah berikutan percubaan membentuk kerajaan pintu belakang oleh Barisan Nasional (BN) melalui dorongan kepada wakil rakyat PH dan Warisan di Sabah untuk melompat parti.

    Demi menghormati kehendak Jawatankuasa DAP Sabah, ahli dan penyokong di Sabah, DAP membuat keputusan bahawa semua calon DAP Sabah bertanding dalam PRN Sabah menggunakan logo Warisan.

    Walaupun gagal mengekalkan kuasa pada PRN, DAP menunjukkan prestasi yang meyakinkan dengan menang enam daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi. DAP menang di kerusi Luyang, Kapayan, Likas, Tanjung Papat, Sri Tanjung dan Elopura manakala kalah di kerusi Bingkor.

    Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Bersatu kemudiannya membentuk kerajaan negeri Sabah bersama sekutu iaitu UMNO-Barisan Nasional dan PBS.

  3. Darurat dan Penggantungan Parlimen

    Mahiaddin Yasin telah menggunakan alasan membendung pandemik COVID-19 untuk mengumumkan Perintah Darurat pada 12 Januari 2021 yang menyebabkan penggantungan Parlimen.

    Tindakan ini jelas bermotifkan politik apabila Mahiaddin Yasin kehilangan majoriti tipisnya sebagai Perdana Menteri berikutan perpecahan terbuka dengan UMNO.

    DAP telah berjuang untuk pembukaan Parlimen kerana kepentingan mengawal selia serta semak dan imbang terhadap usaha kerajaan dalam menguruskan pandemik COVID-19. Darurat dan penggantungan Parlimen juga terbukti tidak berkesan membendung lonjakan jangkitan COVID-19

  4. Kerajaan Gagal & Tumbangnya Kerajaan PN

    Kegagalan Kerajaan yang dipimpin oleh Mahiaddin Yasin telah gagal menangani krisis kesihatan awam yang menyebabkan Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi di ASEAN dari segi per kapita. Ini seterusnya menyebabkan Malaysia terjerumus ke dalam krisis berganda yang membawa kesan buruk kepada kesihatan awam, ekonomi dan politik.

    Mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan politik yang dicetus akibat krisis berganda tersebut, UMNO telah menarik sokongan daripada menyokong Mahiaddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

    Maka dengan itu Mahiaddin Yasin hilang keabsahan untuk menerajui kerajaan persekutuan.

  5. Perdana Menteri Ke-9 & Memorandum Persefahaman (MOU) Bersama Kerajaan Malaysia

    Berikutan proses pemilihan Perdana Menteri baharu melalui Akuan Berkanun (Statutory Declaration) oleh Ahli Parlimen, Ismail Sabri telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 selepas tumbangnya Kerajaan Perikatan Nasional.

    PH telah menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Kerajaan pada 13 September 2021 dalam melaksanakan gencatan dan moratorium politik supaya negara dapat menumpukan semua usaha untuk melawan COVID-19. MoU tersebut turut menetapkan beberapa syarat dengan garis masa pelaksanaan, termasuk agenda reformasi seperti Akta Anti Lompat Parti dan suntikan dana tambahan RM45 bilion secara terus kepada rakyat dan perniagaan.

  6. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka

    PRN Melaka telah diadakan pada 20 November 2021 akibat tumbangnya Kerajaan Negeri Melaka setelah berlaku perebutan kuasa antara kem-kem dalam UMNO. Larangan kempen secara bersemuka melalui SOP yang ditetapkan SPR telah menjejaskan kempen pilihan raya.

    DAP memenangi 4 daripada 8 kerusi yang ditandingi iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh. DAP gagal mempertahankan 4 kerusi yang dimenangi semasa PRU14 iaitu Gadek, Machap Jaya, Bemban, Duyong.

  7. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak

    PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021 menyaksikan DAP hanya mampu memenangi dua kerusi DUN iaitu Padungan dan DUN Pending daripada 26 kerusi yang ditandingi. DAP telah kehilangan lima kerusi lain yang dimenangi sebelum ini.

    Antara faktor kekalahan termasuk kekangan berkempen yang tidak adil dengan alasan menjaga SOP, serta sentimen daripada pentadbiran PH yang menerajui Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.

  8. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor

    DUN Johor juga dibubarkan oleh UMNO-BN pada 22 Januari 2022 berikutan pergolakan dalaman antara UMNO dan Bersatu. Sepatutnya tiada keperluan untuk melaksanakan PRN kerana PH telah memberi jaminan akan membenarkan kerajaan negeri terus mentadbir sehingga selepas pandemik.

    Dalam PRN Johor, DAP telah berjaya mengekalkan 10 daripada 14 kerusi DUN dalam PRN Johor pada 12 Mac 2022. Peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding PRN-PRN sebelum ini dan kesungguhan parti lawan MCA dalam melakukan segalanya untuk kembali relevan mengakibatkan DAP gagal mempertahankan 4 kerusi iaitu Bekok, Yong Peng, Paloh dan Pekan Nenas.

    10 kerusi yang berjaya dikekalkan adalah Jementah, Tangkak, Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai dan Senai. PRN Johor juga adalah pilihan raya pertama setelah Pendaftaran Automatik Pengundi dan Undi18 dilaksanakan.

INISIATIF BARU

DAP: Demokratik. Adil. Peduli

DAP telah menggunakan slogan baru iaitu Demokratik, Adil, Peduli yang merupakan akronim kepada DAP ketika negara bergelut dalam kemelut politik, pandemik dan ekonomi. Slogan ini dengan secara mudah mempromosikan ideologi politik DAP iaitu demokratik sosial kepada rakyat Malaysia. Slogan Peduli sebagai contoh menunjukkan bahawa wakil rakyat kita berkhidmat dan memahami aspirasi rakyat.

DAP 55 TAHUN

DAP menyambut ulang tahun yang ke-55 pada 18 Mac 2021 sebagai sebuah gerakan politik yang berprinsip, progresif, dan berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang bersatu, adil, bebas, dan makmur.

Tema Demokratik. Adil. Peduli: MUHIBAH di pilih untuk mengukuhkan komitmen DAP terhadap idea-idea yang berteraskan perspektif Malaysia berhubung amalan bersatu walau berbeza, persaudaraan berbilang kaum dan keharmonian antara agama, serta aspirasi peluang saksama, keadilan sosial, kemakmuran ekonomi, dan kebebasan demokratik.

MELANGKAH KE HADAPAN

Sama seperti semasa penubuhan DAP pada tahun 1966, DAP masih dipandu oleh objektif yang sama untuk melindungi, memelihara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan kita. DAP tetap komited terhadap hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan kita mengenai kemakmuran ekonomi, kebebasan demokratik, keadilan sosio-ekonomi, peluang yang saksama, kedaulatan undang-undang, penghormatan terhadap kepelbagaian dan martabat manusia.

Perjuangan berprinsip DAP dan keberanian, kecekapan dan integriti pemimpin DAP adalah kekuatan DAP yang tidak boleh disangkal. DAP boleh berbangga kerana tidak ada seorang pun dari 42 Ahli Parlimen DAP yang dipilih dalam pilihan raya 2018 berpaling tadah dan mengkhianati mandat rakyat.

Namun, DAP harus menyedari kelemahan DAP terutama dalam menyampaikan dasar DAP kepada orang ramai. Ini tidak menjadi masalah ketika DAP berada dalam pembangkang tetapi merupakan kelemahan ketika DAP berada dalam kerajaan, bahkan ketika kita di Putrajaya.

Untuk keluar dari wacana perkauman dan agama yang tidak produktif, DAP mesti mencari jalan kerjasama dan kolaborasi dengan semua pihak yang berkepentingan.

Bagi memenangi hati pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18, DAP perlu terus memudakan parti bukan sahaja daripada segi kepimpinan malah daripada segi idea dan dasar yang dapat memenuhi aspirasi anak muda Malaysia.

Bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang, semua parti pembangkang perlu bersatu padu demi mengalahkan Kerajaan BN. DAP perlu memainkan peranan dalam usaha menyatukan semua parti pembangkang di bawah “Khemas Besar” PH.