Pada 16 September 1963, empat buah negara iaitu Sarawak, Sabah, Malaya dan Singapura bersama-sama membentuk sebuah negara bernama MALAYSIA. Adalah menjadi hasrat para pengasas negara ini supaya kesemua 4 entiti itu mendapat layanan saksama dalam negara yang baharu ini.

Setelah 51 tahun, Sarawak telah diturunkan tarafnya menjadi satu daripada 13 buah negeri di Malaysia dan menjadi sebuah koloni kepada pusat kuasa di Putrajaya.

Apabila kita bersetuju membentuk Malaysia, visi kita adalah untuk sebuah negara di mana semua adalah setara dan bebas, tetapi naungan politik, rasuah dan kronisme dalam sistem telah menyebabkan majoriti rakyat melarat di mana kekayaan negara hanya dikawal oleh segelintir orang.

Matlamat DAP adalah untuk mengembalikan status sebagai RAKAN KONGSI SETARA yang sama tarafnya dengan Malaya sewaktu penubuhan Malaysia dan membentuk persekitaran di mana rakyat Sarawak menjadi RAKAN KONGSI SETARA antara satu sama lain, dan pentadbiran dan pengagihan yang lebih adil dan setara untuk semua rakyat Sarawak.

Menyedari bahawa tahap pembangunan di Sarawak ketinggalan 20 tahun di belakang Semenanjung Malaysia, DAP menerima hakikat bahawa lebih banyak langkah afirmatif diperlukan untuk memberi makna sebenar kepada RAKAN KONGSI SETARA.

Deklarasi Bintulu merupakan janji DAP kepada rakyat Sarawak dan seruan kepada Kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan dasar bagi mencapai matlamat “RAKAN KONGSI SETARA”.

RAKAN KONGSI SETARA di antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia

  1. Menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menghormati semangat pembentukan Malaysia yang mana Malaysia merupakan sebuah negara sekular yang sentiasa mempertahankan kebebasan beragama.
  2. Memperkasa Kerajaan Negeri Sarawak dengan pendapatan yang mencukupi bagi perancangan dan pembangunan Sarawak setanding Semenanjung Malaysia dengan:
    1. mengembalikan royalti minyak dan gas sebanyak 20% kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai sebagai pampasan ganti hak minyak dan gas; dan
    2. mengembalikan 50% semua perolehan pungutan cukai yang dihasilkan dan dikutip di Sarawak kepada Kerajaan Negeri Sarawak
  3. Menyemak semula Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan untuk menyerahkan kuasa pendidikan dan penjagaan kesihatan kepada Sarawak, serta membenarkan Sarawak mempunyai sebahagian kuasa autonomi terhadap pasukan polis sendiri.
  4. Mewujudkan jawatan Menteri Hal-Ehwal Sarawak yang mempunyai kuasa muktamad ke atas semua urusan Persekutuan yang berkaitan dengan atau menyentuh tentang Sarawak.
  5. Mengubah sistem kehakiman sekarang di mana Ketua Hakim Sabah dan Sarawak dijadikan setara dengan Ketua Hakim Malaya, dengan kuasa autonomi masing-masing dalam urusan perbelanjaan dan pentadbiran yang melibatkan badan kehakiman Sabah dan Sarawak.

RAKAN KONGSI SETARA sesama rakyat Sarawak

  1. Menjunjung prinsip ketelusan, keadilan dan urus tadbir yang bersih dalam pentadbiran kerajaan dengan:
    1. melaksanakan tender terbuka bagi semua projek kerajaan;
    2. melaksanakan proses bidaan awam dan tender terbuka bagi jualan dan pendudukan tanah milik negeri kepada pemaju atau syarikat perladangan; dan
    3. membahagikan lesen pembalakan kepada kawasan-kawasan yang lebih kecil di antara 500 – 1,000 hektar setiap satu dan pemberian lesen melalui bidaan awam atau tender terbuka.
  2. Memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan untuk mengurangkan amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan:
    1. memperkenalkan Ordinan Kebebasan Maklumat bagi membolehkan capaian maklumat awam terhadap semua keputusan kerajaan; dan
    2. melantik ahli Pembangkang Dewan Undangan Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) bagi memastikan tumpuan penuh serta pengawasan tidak berat sebelah ke atas agensi-agensi kerajaan.
  3. Melaksanakan dasar tanah yang adil dan saksama untuk semua dengan:
    1. menjamin hak untuk memperbaharui pajakan tanah yang telah tamat tempoh;
    2. mempertahankan tanah hak adat orang asal Sarawak melalui pemberian hak milik tanah kepada Tanah Hak Adat (NCR) berdasarkan budaya, cara hidup tradisi dan ADAT; dan
    3. memperkenalkan dasar “Tanah kepada Orang yang mengusahakan Tanah” di mana kerajaan negeri perlu memberikan geran seluas 20 – 30 ekar kepada setiap keluarga petani dan menyediakan bantuan kewangan serta kepakaran untuk mereka mengusahakan tanah tersebut.
  4. Memperkenalkan “Skim Pemilikan Rumah” dengan membina pangsapuri tiga bilik yang berkualiti dan berpatutan bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, dan melaksanakan dasar “sewa untuk memiliki rumah”.
  5. Memperbaharui sistem pengangkutan awam dengan cara kerajaan mengambil alih semua syarikat bas di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu, dan kemudian menambahbaik kekerapan perkhidmatan dengan bermatlamat bagi melaksanakan perkhidmatan bas percuma kepada orang ramai dalam tempoh 5 tahun pertama pelaksanaannya.
  6. Mengurus sumber dan alam sekitar semulajadi secara lestari bagi memastikan generasi akan datang akan terus mendapat manfaat daripadanya.
  7. Menerima sistem pendidikan inklusif dan pelbagai yang akan memenuhi keperluan masyarakat yang berbilang budaya dan kaum dengan:
    1. pembiayaan sekolah-sekolah vernakular
    2. menghidupkan semula sekolah mubaligh dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
    3. memberikan pengiktirafan rasmi kepada sijil yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan yang setaraf dengan piawaian antarabangsa; dan
    4. menganugerahkan biasiswa berdasarkan meritokrasi dan prinsip keadilan sosial
  8. Menghidupkan semula pilihanraya kerajaan tempatan untuk memastikan ketelusan dan perkhidmatan kerajaan tempatan yang lebih baik kepada rakyat.
  9. Menubuhkan Dana Yayasan Dayak bernilai RM1 bilion bagi meningkatkan tahap pendidikan dan aktiviti masyarakat Dayak.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk memastikan pasukan polis yang profesional, bersih dan berkesan dalam membanteras jenayah dan menjamin keselamatan rakyat.