Pilihanraya Umum ke 14 pada hari Rabu 9 Mei 2018 memberi peluang kedua buat Malaysia untuk memulai kembali dasar dan hala-tuju pembinaan negara.

61 tahun lalu, ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, dan 55 tahun lalu ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, kita muncul sebagai sebuah negara yang muda, penuh dengan harapan dan keyakinan serta kezaman, seperti yang termaktub dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 yang kemudiannya dipertegaskan dalam Pemasyhuran Malaysia enam tahun selepas itu, bahawa ia:

” akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Kita telah pernah berikrar bahawa negara ini akan menjadi ‘suar cahaya untuk dunia yang bingung dan terganggu’ (a beacon of light for a disturbed and distracted world).

Namun kita telah kehilangan arah, dan akhirnya menjadi lohong hitam kleptokrasi dan kakistokrasi.

Malaysia harus kembali ke asas, dan apalah cara yang lebih baik selain pulang ke asas perlembagaan dan dokumen batu asas negara seperti Perlembagaan Merdeka 1957, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan 1963 sereta Rukunegara 1970 demi merealisasikan Impian Malaysia bagi menjadi contoh kepada dunia bagaimana sebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya boleh bersatu-padu, harmoni, demokratik, progresif dan sejahtera, dengan sebuah kerajaan berintegriti berpandukan prinsip tatakelola yang baik serta akauntabiliti.

Inilah cabaran buat seluruh rakyat Malaysia hari ini, kerana agak mustahil negara akan mendapat peluang ketiga bagi merealisasikan Impian Malaysia.

Buat pertama kali dalam tempoh yang panjang, rakyat Malaysia boleh berbangga dan tidak lagi merasa malu menjadi warganegara walau mempunyai rasa cinta yang mendalam buat tanah air.

Mereka kini boleh mengaku dengan bangga menjadi rakyat Malaysia di persada dunia, dan tidak lagi mengelak apabila ditanya dari mana asal mereka, kerana mereka sendiri pun pernah merasa malu apabila Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global akibat tindakan mereka yang berkuasa, dalam skandal pengubahan wang haram 1MDB.

Mereka sekarang boleh dengan bangganya memberitahu dunia bahawa mereka telah membuktikan bahawa masyarakat antarabangsa yang mengharapkan kembalinya status quo di Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14, telah salah dan rakyat Malaysia sebenarnya mampu membetuldan memperbaharui diri, – menetapkan dasar dan arah pembinaan negara setelah menelusuri jalan yang salah dan hampir terjerumus menjadi sebuah negara yang gagal, kleptokratik dan ditadbir penyangak.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak memilih untuk calon individu tetapi untuk negara dan generasi akan datang, demi menyelamatkan Malaysia daripada melaju ke arah negara gagal, dan kleptokratik dan untuk menanggapi saat “now or never” untuk memulakan semula perjalanan ke arah Impian Malaysia demi menjadi contoh kepada dunia; bagaimana suatu bangsa yang pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya boleh bersatu, berharmoni, demokratik, progresif dan makmur, dengan demokrasi yang berkembang maju dan kerajaan berintegriti berpandukan prinsip tadbir urus dan kebertanggungjawaban yang baik.

Menentang kemustahilan, Malaysia dilahirkan semula. Cabaran besar dan kerja keras bakal mendatang, kita tidak boleh melupakan Impian Malaysia untuk mencapai negara Malaysia yang bersatu-padu, harmoni, adil, demokratik, progresif dan makmur di mana setiap rakyat, tanpa mengira bangsa, agama, wailayah atau latar politik boleh berasa bangga untuk menjadi rakyat Malaysia – tidak kiralah mereka berada di dalam atau di luar negara.