BM 中文 English

Parti

DAP's RocketParti Tindakan Demokratik atau DAP adalah parti politik dalam gabungan kerajaan Pakatan Harapan. Ia adalah sebahagian daripada kerajaan baharu yang dipilih dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Ini adalah kali pertama Malaysia mempunyai kerajaan baru sejak Kemerdekaan Malaya pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Era baru ini digelar oleh media dan pemerhati politik sebagai Malaysia Baharu.

DAP atau Parti Tindakan Demokratik diasaskan pada 18 Mac 1966. Menggunakan lambang ROKET, DAP bertanding dalam sebelas pilihan raya umum dari tahun 1969 hingga 2013.

DAP komited kepada perjuangan untuk sebuah negara Malaysia yang bebas, adil dan demokratik berdasarkan prinsip-prinsip kebebasan, peluang setara, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi, hak-hak asasi, dan berasaskan institusi demokrasi berparlimen.

Ideologi asal DAP adalah sosialisme demokratik yang mempromosikan idea Malaysian Malaysia – majmuk dan bersatu dalam negara berbilang keturunan dan budaya. Pada tahun 2006, DAP telah meminda perlembagaannya untuk menjadikan demokrasi sosial sebagai ideologinya, yang mencerminkan pandangan yang lebih demokratik dan progresif.

Sebagai demokrat sosial, kami mengimpikan tatanan sosial di mana terdapat pembangunan bebas keperibadian manusia dalam masyarakat; agihan hasil usaha kaum buruh secara adil dan saksama; kesamarataan dan keadilan sosial menjadi norma; dan nilai serta martabat diletakkan pada hasil usaha masyarakat.

Idea asas kesetaraan – termasuk peluang yang setara – adalah prasyarat pembangunan keperibadian yang bebas. Ini tidak bermakna keseragaman atau kesamaan hasil, bahkan ia menentang eksploitasi dan kelebihan yang tidak adil bagi mereka yang mengawal kuasa ekonomi dan politik.

Demokrasi sosial adalah mengenai kebebasan, kesaksamaan, keadilan, hak asasi manusia dan setiakawan. Ia menegakkan hak untuk bekerja dan peduli dengan kesejahteraan rakyat semua kelas, hak untuk persekitaran yang berperikemanusiaan dan bersih, hak untuk pendidikan dan latihan yang komprehensif mengikut pilihan individu, serta hak untuk terlibat dalam pentadbiran dan semua proses membuat keputusan.

Sebagai demokrat sosial, DAP komited terhadap demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara dan kedaulatan undang-undang, serta kebebasan beragama dan hak untuk menyembah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai anggota Perikatan Progresif (Progressive Alliance), DAP bergabung dengan demokrat sosial dan sosialis demokratik di seluruh dunia yang berjuang untuk tujuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan demokrasi sosial. Kami bersetiakawan dengan mereka yang ditindas, menentang peperangan yang tidak adil dan pengeluaran senjata peperangan, dan kami menyokong mereka yang menyokong keamanan dan kemakmuran berdasarkan kerjasama dibantu oleh pengetahuan sains dan kemajuan teknologi.

Setiakawan adalah senjata terkuat dalam perjuangan melawan penindasan dan ketidakadilan dan ia merangkumi seluruh masyarakat dunia. Semua yang percaya dengan nilai-nilai asas ini adalah bersaudara dan menjadi sahabat berhadapan kezaliman, pemerintahan diktator, rasuah, eksploitasi dan penindasan.

Sertai DAP dan mari kita jadikan Malaysia sebuah masyarakat yang lebih baik untuk semua!