Buskers tak perlu permit, DAPSY mahu DBKL timbang semula keputusan mahu sekat kebebasan pemuzik jalanan

DAPSY melihat kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Ab Aziz yang dilaporkan oleh media massa semalam tentang rancangan DBKL untuk mengenakan permit ke atas semua penghibur jalanan (buskers) sebagai menyekat kebebasan berekspresi dan berkarya serta mengganggu proses perkembangan kebudayaan seni.

Proses permohonan permit biasanya penuh dengan birokrasi, malah ia juga akan turut mengenakan beberapa syarat yang mana ia boleh menyekat kebebasan kreatif pemuzik jalanan.

Alasan DBKL kononnya ada orang buat persembahan “tak tentu arah” tidak masuk akal. Apakah sudah ada orang membuat persembahan “tak tentu arah”? Adakah pemuzik jalanan membuat persembahan “tak tentu arah”? Dan paling penting sekali, siapakah yang seharusnya menentukan maksud “tak tentu arah” itu?

Cadangan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Jumaat lalu pula yang berjanji menyediakan satu lokasi di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk penghibur jalanan menjalani latihan kesenian mereka, membuktikan rancangan kerajaan Barisan Nasional untuk mengawal dan menyekat kebebasan pemuzik jalanan.

Kawalan itu sama seperti cara kerajaan BN mengawal media massa serta menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi melalui undang-undang dan peraturan tidak adil. Penetapan sesuatu lokasi persembahan, pemaksaan permit dan sebagainya boleh membantutkan persembahan seni sehingga menjadi kaku dan beku.

Justeru, DAPSY menyeru DBKL untuk menimbang semula rancangan unuk mengenakan permit itu dan mencadangkan agar semua pihak yang terlibat, termasuk pemuzik jalan dan para peminat serta wargakota yang prihatin, duduk berbincang sebelum memembuat dan melaksanakan peraturan seperti itu.

Mahdzir Ibrahim
Ketua Biro Pakatan Rakyat, DAPSY Kebangsaan
Kenyataan media oleh Mazir Ibrahim di Kuala Lumpur pada hari Monday, 21 January 2013