Pulau Pinang minta PAAB mempercepatkan Projek Pemindahan Air Antara-Negeri Perak-Pulau Pinang

Pulau Pinang minta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mempercepatkan Projek Pemindahan Air Antara-Negeri Perak-Pulau Pinang untuk memastikan negeri ini tidak akan menghadapi risiko kekurangan air selepas tahun 2020.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah memberi jaminan bahawa semua negeri yang telah menandatangani perjanjian penstrukturan semula dengan PAAB akan diberi modal kewangan untuk pembiayaan projek-projek mereka.

Untuk pengetahuan ramai, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan Persekutuan untuk memindahkan aset air di bawah Inisiatif Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air pada 2 Jun 2011. PAAB adalah pemilik dan pengurus aset air negara di bawah inisiatif tersebut. Antara syarat persetujuan untuk pemindahan aset air adalah supaya tanggungjawab pembiayaan semua projek air negeri yang dianggarkan akan menelan belanja lebih daripada RM3.2 bilion akan ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

Cadangan Skim Pemindahan Air Sungai Perak telah diluluskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 30 Jun 2012 dan disokong oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan sedang menunggu kelulusan pelaksanaan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Sekarang, 80% sumber air adalah daripada Sungai Muda dan sumber ini hanya boleh menampung permintaan sehingga tahun 2020. Terdapat keperluan segera untuk melaksanakan skim pemindahan air antara-negeri untuk memastikan permintaan air masa depan dapat dipenuhi, serta untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber iaitu Sungai Muda, dan juga ketidakpastian ekoran aktiviti pembalakan di kawasan-kawasan tadahan air Kedah.

Cadangan Pemindahan Air Mentah Perak-Penang akan dilaksanakan dengan mengepam air mentah melalui terowong baru yang bakal melintasi lembangan Kerian dan Sg Perak. Air mentah akan diekstrak daripada Sg Keriandi kawasan berdekatan dengan bendungan rendah Pulau Pinang untuk rawatan di Loji Rawatan Air Kerian yang dicadangkan untuk membekalkan air yang boleh diminum ke negeri Pulau Pinang.

Projek ini membabitkan infrastruktur air mentah dan rawatan air. Mengikut model bisnes penstrukturan semula air, infrastruktur air mentah akan dibiayai melalui geran daripada kerajaan Persekutuan manakala infrastruktur rawatan air akan dibiayai PAAB. Anggaran jumlah keseluruhannya adalah RM2 bilion dan ia akan mengambil masa tujuh tahun untuk siap.

Projek ini dijangka akan menyediakan penyelesaian holistik bagi keperluan masa depan untuk air minum serta sistem pengairan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Perparitan dan Pengairan sehingga tahun 2050.

Ketua Menteri Pulau Pinang & Pengerusi PBA Holdings
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Friday, 1 February 2013