Biar Padang Kota menjadi pertandingan idea, aspirasi, prinsip dan dasar

Semalam saya telah menyahut cabaran Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang mahu menentang saya dalam pilihan raya umum akan datang. Padang Kota amat sesuai untuk dijadikan medan kerana ini adalah kawasan tradisi Teng di mana beliau menjadi ADUN Padang Kota selama 3 penggal. Walaupun Teng kalah tipis dalam pilihan raya umum 2008 kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Teng telah pernah berkata bahawa “pemimpin perlu bangkit dari tempat yang sama di mana mereka telah jatuh”.

Memandangkan Teng telah secara terbuka mengisytiharkan betapa yakin dan beraninya beliau untuk bertanding secara bersemuka dengan saya, saya bersedia untuk pergi ke kawasannya di Padang Kota. Mari kita menjadikan pertandingan di Padang Kota bukan sebagai pertandingan tentang siapa yang boleh berbohong dengan lebih baik atau mengeluarkan ancaman ganas, tetapi pertandingan yang mulia tentang ide, aspirasi, prinsip dan dasar berjiwa rakyat untuk memutuskan sama ada PR atau BN mempunyai wawasan yang lebih baik untuk masa depan Pulau Pinang.

DAP dan PR akan bersandar kepada rekod dan prestasi sejak 5 tahun lepas berbanding prestasi BN lima tahun sebelumnya dan janji-janjinya yang tidak ditunaikan. PR menawarkan wawasan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berbilang kaum yang menghormati kepelbagaian, hak-hak asasi manusia dan masyarakat madani. BN masih bergantung kepada dasar-dasar perkauman dan pelampau seperti dahulu, terutama dengan penyokong UMNO dan Perkasa yang menyebarkan bahasa pembohongan, kebencian dan keganasan.

PR percaya kepada perkongsian kekayaan dengan rakyat secara adil dan bukan dengan kroni. Atas sebab itu, Pulau Pinang mencipta sejarah dengan melancarkan Agenda Ekonomi Saksama (AES) bernilai RM20 juta untuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang membasmi kemiskinan dengan memastikan setiap keluarga miskin di Pulau Pinang mempunyai pendapatan minimum RM770 sebulan. Mana-mana keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM770 sebulan, kerajaan negeri akan menambah perbezaan tersebut setiap bulan supaya cukup RM770.

PR percaya dengan memberi peluang yang sama kepada semua anak-anak kita dan bukan hanya anak-anak bekas Perdana Menteri yang boleh menjadi salah seorang lelaki terkaya di Malaysia. Demokrasi mana di dunia ini mempunyai seorang anak Perdana Menteri yang menjadi salah satu lelaki terkaya di negara, sedangkan kekayaan tersebut bukanlah diwariskan?

Sejak 5 tahun yang lalu, PR telah membuktikan bahawa kerajaan yang bersih boleh mentadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan yang korup. Melalui urus tadbir CAT yang memetingkan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan, Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan belanjawan, mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95% dan menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada muflis apabila RM230 juta telah dibazirkan. Rekod pelaburan PR dalam tempoh lima tahun lepas sejak 2008-2012 sebanyak RM36.1 bilion jauh lebih menyinar berbanding prestasi 5 tahun sebelumnya di bawah BN sebanyak RM18.7 bilion antara tahun 2003-2007.

Yang paling penting sekali, PR mengotakan janji-janji kami dan tidak segan mengakui kesilapan yang telah dibuat secara jujur. Sebaliknya BN masih enggan untuk mempedulikan janji mereka yang dibuat pada tahun 2006 untuk membina monorel, atau sekurang-kurangnya meminta maaf kerana gagal untuk berbuat demikian. Sebaliknya janji monorel ini dikitar semula sekali lagi untuk pilihan raya umum akan datang.

Pilihan raya umum yang akan datang adalah tentang masa depan Pulau Pinang jenis apa yang kita mahu anak cucu kita hadapi. PR percaya dengan Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat. Biarlah rakyat di Padang Kota dan Pulau Pinang membuat keputusan sama ada PR mempunyai dasar dan keberanian untuk menyediakan sebuah masa depan untuk anak-anak kita, dan mempersiapkan anak muda kita untuk masa depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Friday, 29 March 2013