Memohon perkenan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengikut Artikel 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang

Pagi tadi, saya telah menghadap Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas di kediaman rasminya Seri Mutiara untuk memohon perkenan beliau bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengikut Artikel 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam mesyuarat pada 3.4.2013, barisan EXCO kerajaan negeri Pulau Pinang telah bersetuju dengan saya untuk menerima permintaan bertulis Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk membubarkan DUN. Ini akan membenarkan Pilihan Raya Umum ke-13 untuk diadakan secara serentak di peringkat negeri dan juga persekutuan.

Saya juga telah mencadangkan kepada TYT Yang Dipertua Negeri untuk mempertimbangkan hari esok sebagai tarikh pembubaran.

Oleh kerana saya terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, saya akan mengaturkan sidang akhbar di Komtar pada pukul 10.30 pagi hari esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Khamis, 4 April 2013