Ahmad Zahid Hamidi harus buktikan beliau layak menjadi Menteri Dalam Negeri dan memberi perhatian kepada tangisan marah isteri N Dharmendran

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar harus memberi perhatian kepada tangisan tragis, marah dan mendayu-dayu isteri mangsa kematian dalam tahanan N Dharmendran dengan menangkap dan mengurung dalam lokap pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, daripada hanya memberi mereka tugas pejabat. Kenapa Tan Sri Khalid boleh secara tiba-tiba menjadi diam dan pasif mengenai tindakan jenayah yang telah mengakibatkan satu lagi kematian dalam tahanan ini apabila beliau telah mengugut pelbagai tindakan terhadap pemimpin-pemimpin PR dan rakyat Malaysia yang mematuhi undang-undang hanya kerana mereka telah menghadiri perhimpunan-perhimpunan aman yang menuntut reformasi pilihan raya yang bersih, bebas dan adil?

DAP terkejut dengan sikap Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab terhadap kematian dalam tahanan yang tragis ini, di mana beliau menyatakan pegawai-pegawai polis yang terlibat tidak patut digantung tugas agar semangat pasukan polis tidak dipatah. Kenyataan yang begitu tidak berhati perut ini menunjukkan bahawa Ahmad Zahid tidak layak menjadi Menteri Dalam Negeri kerana beliau tidak melindungi keselamatan awam tanpa mengira siapa yang melakukan jenayah sama ada ia merupakan penjenayah atau pegawai polis yang bertugas.

Kedua-dua Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara telah berdiam dan bersikap tidak ambil peduli, dan tidak menunjukkan kemarahan, rasa kesal atau dukacita terhadap keluarga N Dharmendran yang telah dibunuh dengan 52 kecederaan yang membabitkan rotan dan dikokot semasa digari. Kegagalan untuk membuat demikian telah membawa kepada persepsi umum yang negatif terhadap kerajaan Persekutuan BN yang dianggap telah menurunkan nilai N Dharmendran sebagai seorang rakyat Malaysia.

DAP menuntut agar pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam kematian dalam tahanan ditangkap dan dikurung dalam lokap atas tuduhan membunuh. Rakyat Malaysia telah mengharapkan bahawa kematian dalam tahanan tidak akan berlaku lagi selepas kematian di bawah tanggungjawab pihak berkuasa seperti Teoh Beng Hock, K Kugan dan pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamed.

Malangnya, kerajaan Persekutuan BN tidak sanggup untuk mengambil tindakan keras serta langkah-langkah pencegahan. Penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Tingkah Laku Polis (IPCMC) akan memberi kepastian kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan Persekutuan BN komited untuk mengelakkan kematian dalam tahanan.

Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 2 Jun 2013