Utusan gagal menjelaskan bahawa pandangan saya tentang pengundi asing dan gangguan bekalan elektrik hanya terhad kepada kawasan parlimen saya sendiri, iaitu Serdang, dan kawasan parlimen Bentong

Sebuah artikel hari ini dalam Utusan Malaysia dengan tajuk “Penipuan Pembangkang didedah”, memetik kata-kata saya daripada artikel FreeMalaysiaToday yang diterbitkan pada 15 September yang bertajuk “DAP man concurs Pemantau’s findings of no foreign voters, blackouts.” Dalam artikel Utusan ini, petik kata saya yang berikut telah diggunakan – “Setakat yang saya tahu, tidak ada pengundi asing (warga Bangladesh) atau gangguan bekalan elektrik. Jadi saya bersetuju dengan pandangan mereka (Pemantau).” Walau bagaimanapun, artikel Utusan yang sama gagal untuk memberi ruang kepada satu penjelasan penting dalam artikel FreeMalaysia Today tersebut bahawa komen saya tentang pengundi asing adalah terhad kepada kawasan parlimen saya sendiri, iaitu Serdang, dan komen saya tentang gangguan bekalan elektrik hanya terhad kepada kawasan Parlimen Bentong.

Dengan tidak menggunakan penjelasan ini, Utusan sengaja mengelirukan pembaca dengan memberi gambaran bahawa kenyataan saya merujukkan kepada ketidakjadian pengundi asing dan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara. Saya tidak bersetuju dengan pandangan dan gambaran ini kerana saya tidak mempunyai akses kepada semua maklumat untuk semua kawasan pilihan raya di seluruh negara. Saya sedang menunggu bukti ataupun maklumat yang selanjutnya mengenai pengundi asing dan gangguan bekalan elektrik yang mungkin didedahkan semasa Tribunal Rakyat yang dianjurkan oleh Bersih yang akan bermula pada minggu ini.

Ini merupakan satu lagi contoh kewartawanan yang tidak bertanggungjawab yang sentiasa diamalkan oleh pihak Utusan Malaysia. Ia tidak hairanlah bahawa peredaran Utusan telah jatuh dengan begitu serius, sehinggakan ia perlu bergantung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk memasarkan ‘suratkhabar’ ini kepada GLC bagi tujuan menambahkan jualan iklan.

Ahli Parlimen Serdang
Kenyataan media oleh Dr. Ong Kian Ming di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 17 September 2013