Kenyataan ROS sekali lagi menunjukkan sikap ROS yang jelas tidak menghormati proses undang-undang dan cepat menyalahkan DAP

Pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat (CEC) Parti DAP yang dijadualkan pada 29 September 2013 adalah selaras dengan kehendak perlembagaan parti.

Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan, Datuk Abdul Rahman Othman dalam satu kenyataan semalam, berkata ia terpulang kepada DAP untuk mengadakan Kongres Khas bagi mengendalikan urusannya. (http://t.co/TDbvKUGhVh)

Walaupun begitu, beliau turut berkata pemilihan anggota jawatankuasa tersebut memerlukan “Kongres Kebangsaan” dan tempoh notis sewajarnya sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Kenyataan ini menunjukkan lagi sikap ROS yang jelas tidak menghormati proses undang-undang dan cepat menyalahkan DAP tanpa terlebih dahulu ingin mendengar penjelasan kami sebelum membuat keputusan.

Abdul Rahman seharusnya tahu. Sekiranya ada aduan, beliau dikehendaki memaklumkan kami berkenaan aduan tersebut dan meminta kami untuk penjelasan sebelum membuat sebarang keputusan. Saya nak tanya dia, adakah beliau mengikuti prosidur ini? Kalau tidak, kenapa? Dan apakah kuasa beliau untuk membuat keputusan dalam cara begini?

Dan kenapa beliau membuat kenyataan ini sehari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan isu yang sama?

Saya nasihatkan Abdul Rahman supaya berhati-hati. Sebagai seorang ketua jabatan, beliau mesti faham dan menghormati proses undang-undang.

Samada ataupun tidak proses pemilihan semula CEC boleh dibuat melalui Kongres Khas akan kami hujahkan dihadapan Mahkamah yang Mulia esok.

Kami berpendapat wujudnya peruntukkan khusus dalam perlembagaan Parti yang membenarkan Pemilihan CEC dibuat melalui satu Kongres Khas yang diadakan bagi tujuan tersebut dan kami, sambil menunggu keputusan Mahkamah esok, tetap berpendirian sedemikian.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Puchong
Kenyataan media oleh Gobind Singh Deo di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 24 September 2013