Menukar individu tanpa melakukan perubahan polisi yang dapat melawan rasuah secara efektif hanyalah seperti ‘mengisi wain lama ke dalam botol baru’

Perjuangan untuk membanteras rasuah dari akarnya yang membarah di Malaysia serta mewujudkan integriti dalam kepimpinan akan menjadi perjuangan yang sia-sia sekiranya ia dilakukan secara ad-hoc dengan melantik seseorang tanpa sebarang reformasi sistemik terhadap pentadbiran. Perdana Menteri Najib Razak sekadar menanam tebu di bibir dengan menjaja retorika kosong dengan ikrarnya untuk kononnya meletakkan rasuah sebagai satu tinggalan sejarah Malaysia tanpa tempat untuknya di masa akan datang.

Mencipta sebuah kementerian pentadbiran dan integriti yang baru dan melantik bekas presiden Transparency International untuk mengepalainya hanyalah suatu usaha tidak signifikan yang mendahulukan kulit daripada isi. Menukar individu tanpa melakukan perubahan polisi yang dapat melawan rasuah secara efektif hanyalah seperti ‘mengisi wain lama ke dalam botol baru’.

Reformasi sistemik memerlukan Najib untuk menggunapakai 6 langkah integriti bagi membanteras rasuah dan mewujudkan pentadbiran yang bersih.

  1. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara umum bagi Perdana Menteri, Menteri kabinet, Ketua Menteri/Menteri Besar dan Ahli EXCO dengan disahkan oleh firma perakaunan antarabangsa.
  2. Melaksanakan tender terbuka.
  3. Menghalang ahli keluarga pemimpin kerajaan daripada terlibat dalam kontrak kerajaan.
  4. Melindungi pemberi maklumat yang asli.
  5. Pecat pemimpin yang mempunyai gaya hidup mewah.
  6. Telus tentang derma-derma politik.

Kegagalan untuk melakukan 6 langkah integriti ini menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen dan keikhlasan Najib. Menurut Barometer Rasuah Global TI-M pada Mac 2013, hanya 31% responden berpendapat bahawa kerajaan Malaysia membasmi rasuah secara efektif, menurun daripada bilangan 49% dalam tahun 2011. Lebih teruk lagi, Malaysia disebut sebagai negara paling korup di dunia untuk urusan bisnes menurut Bribe Payers Survey TI bagi tahun 2012.

Kerugian yang terhasil akibat rasuah di Malaysia dianggarkan di antara nilai yang diakui sendiri oleh kerajaan sebanyak RM27 bilion setiap tahun sehingga RM1 trilion seperti yang dianggarkan oleh Global Financial Integrity Report yang berpengkalan di Washington, sepanjang 10 tahun lalu dalam bentuk aliran dana haram. Terbaru, Government Defence Anti-Corruption Index yang dibuat TI meletakkan Malaysia dalam kategori amat berisiko tinggi dalam hal rasuah perolehan dan operasi pertahanan, sebaris dengan Zimbabwe.

Amalan rasuah sudah sangat sebati dengan budaya politik BN sehingga disebut, ‘kalau rasuah tidak dibanters, Malaysia akan mati, tetapi kalau rasuah dibanters, BN akan mati’. BN mestilah membuktikan bahawa telahan ini salah dengan menjadikan pembanterasan rasuah agenda utama dalam pentadbiran kerajaan melalui langkah-langkah institusional dan bukan sekadar memberi ucapan yang hanya bunyinya menarik di luar negara.

Tidak ada makna jika Najib bercakap tentang menaikkan taraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjadi sebuah badan yang bebas apabila tidak ada keyakinan awam terhadap keberkesanan SPRM dan komitmennya untuk menentang rasuah tanpa berpihak. Tidak ada tindakan pun setakat ini diambil terhadap kekayaan melampau Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta kematian mendian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini ketika dalam tahanan SPRM.

SPRM malah boleh enggan bertindak terhadap politik wang yang dikesan dalam pemilihan UMNO kerana SPRM menganggap rasuah sedemikian sebagai hal dalaman parti dan biro disiplin UMNO lah yang harus bertindak, bukannya SPRM. Tidak hairanlah kenapa ahli perniagaan berpendapat bahawa Malaysia adalah juara dunia dalam rasuah perniagaan.

Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 25 September 2013