Kerajaan sembunyi perbelanjaan sebenar – kos Hari Belia Negara 2012 meningkat lagi!

Pada bulan Julai yang lepas, saya telah mengeluarkan satu kenyataan mendesak kerajaan menjelaskan kos Hari Belia 2012 yang saya percaya mencecah RM55 juta.

Rupa-rupanya ini bukan cerita keseluruhan-nya.

Mengikut laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan minggu ini, terdapat sejumlah wang sebanyak RM12.61 juta telah dibelanjakan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai Program Pemberian Bantuan. Wang tersebut disalurkan ke penganjuran Hari Belia Negara (HBN) 2012 melalui badan-badan belia seperti Majlis Belia Malaysia (Laporan maklumbalas ke atas isu-isu utama, perenggan 16.5.2.5.f m/s 183).

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa kerana perbuatan tersebut maka “jumlah perbelanjaan sebenar HBN yang dilaporkan Kementerian terkurang nyata”.

Kronologi pendedahan kos HBN 2012 adalah seperti berikut:

  1. Kos asal HBN 2012 yang diperuntukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan ialah RM15 juta,
  2. Mantan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Shabery Cheek berkata bahawa tajaan swasta berjumlah RM28 juta,
  3. Pada mesyuarat Parlimen yang lepas, Kementerian Belia dan Sukan memohon untuk pembekalan tambahan (supplementary budget) untuk HBN 2012 sebanyak RM12 juta,
  4. Kini mengikut laporan Ketua Audit Negara, rupa-rupanya ada lagi sejumlah RM12.61 juta yang dibelanjakan untuk HBN 2012.

Ini bermakna, kos sebenar Hari Belia Negara 2012 meningkat dari kos asal RM15 juta ke RM55 juta dan kini meningkat kira-kira 23% lagi dari RM55 juta menjadi RM67.61 juta!

Menteri Belia dan Sukan perlu telus dan jawab dengan jujur

Di sini saya ulangi tuntutan saya pada bulan Julai yang lepas, dan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia dan Sukan yang baru perlu memberikan perhatian yang serius terhadap perkara ini sebab melibatkan puluhan juta wang rakyat:

  1. Mengapa kos HBN 2012 meningkat begitu mendadak dari perancangan asal RM15 juta sehingga kini RM67.61 juta?
  2. Sila senaraikan pecahan kos HBN 2012 termasuk senarai penaja dan kontraktor-kontraktor yang terlibat, jenis kerja dan kos setiap satu.

dan kali ini, saya tambah lagi satu soalan, adakah kos-kos lagi yang disembunyikan oleh Kementerian yang belum dilaporkan kepada umum?

Anak muda hilang keyakinan terhadap Kementerian Belia dan Sukan

Kini anak muda kecewa dengan ketidakjujuran kerajaan, mantan Menteri Belia dan Sukan sendiri tidak bercakap benar apabila beliau mendakwa bahawa kos artis K-Pop semasa HBN 2012 ditaja swasta tetapi Laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan bahawa kos artis K-Pop HBN 2012 berjumlah RM1.6 juta sebenarnya telah dibiayai oleh Kementerian sendiri. Justeru, walaupun kes ini bukan kesalahan Khairy Jamaluddin, beliau perlu telus kepada rakyat dan menjawab soalan-soalan di atas demi untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terutamanya anak muda terhadap Kementerian Belia dan Sukan.

Steven Sim Chee Keong
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Mertajam
Kenyataan Media oleh Steven Sim Chee Keong di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 3 Oktober 2013