Diploma Perguruan Lepasan Ijazah(DPLI)

Pada bulan Januari 2012, Kementerian Pendidikan telah membuka kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Akan tetapi graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah tamat pengajian tersebut pada bulan Mei tahun ini masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

Berdasarkan jawapan lisan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan pada September 30, beliau berkata bahawa graduan GSTT-DPLI adalah sebanyak 6,020 orang di mana sebanyak 2,017 orang di bawah kategori Sekolah Rendah dan 4,003 orang di bawah kategori Sekolah Menengah. Senarai calon telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga dijangka akan dijalankan pada bulan Oktober dan lantikannya akan bermula pada bulan Januari tahun depan.

Akan tetapi, laman web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga tersebut sehingga sekarang. Apabila graduan-graduan menelefon Jabatan berkenaan, pegawai-pegawai tersebut tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri.

Kesemua graduan tersebut telah menandatangani kontrak perkhidmatan selama 2 tahun dengan Kementerian maka ini telah menjadi halangan kepada mereka untuk mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta. Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka perlu menunggu penempatan selama 7 bulan dan menghadapi masalah pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi?

Selain itu, survey yang tidak rasmi menunjukkan bahawa sebanyak 100-120 kekosongan guru-guru di sekolah rendah. Jikalau kekurangan tersebut sudah lama berlaku, mengapakah temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih lagi ditangguh-tangguhkan?

Tambahan pula, pengajian DPLI telah melahirkan 6,000 tenaga pengajar yang masih menunggu penempatan, perkara ini telah menimbulkan satu keraguan besar, betulkah kita mempunyai 6,000 kekosongan guru di semua sekolah supaya graduan ini dapat menampung keperluan ini?

Maka, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan atau statistik terhadap kekosongan guru di semua sekolah agar kita dapat menilai sama-ada Kementerian membuat perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini. Jikalau tidak, perkara ini sekali lagi menunjukkan kegagalan Kementerian dalam membuat perancangan yang sempurna lalu membazirkan sumber negara.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kulai
Kenyataan Media oleh Teo Nie Ching di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 4 Oktober 2013