DAP mengecam larangan berpuasa di China sepanjang bulan suci Ramadan serta keganasan yang semakin menjadi-jadi di Timur Tengah, yang telah memakan korban kanak-kanak tidak berdosa

DAP terkejut dengan keputusan kerajaan pusat China untuk melarang pelajar dan penjawat awam di daerah muslim Xinjiang daripada melaksanakan ibadah puasa di bulan mulia Ramadan ini. Menurut kenyataan rasmi di laman-laman web sekolah, agensi kerajaan dan organisasi parti tempatan, larangan tersebut didakwa bertujuan melindungi kesejahteraan para pelajar dan menghindari penggunaan sekolah dan pejabat kerajaan bagi tujuan menyebarkan agama. Dalam pada itu, akhbar milik kerajaan turut menyiarkan tulisan editorial memberi amaran tentang bahaya berpuasa.

DAP amat kesal dengan keputusan yang begitu lapuk dan bertentangan dengan intipati hak asasi manusia dan kebebasan beragama. Penindasan terhadap agama minoriti tidak boleh dijustifikasi, tidak kira apa pun keadaannya. Kami menyeru kerajaan China untuk menarik balik arahan tersebut dengan serta merta dan membenarkan pelajar, anggota parti dan penjawat awam beragama Islam untuk berpuasa pada bulan Ramadan ini.

Pada masa yang sama, DAP ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan rasa jelik dan jijik terhadap keganasan yang sedang tercetus di Baitulmaqdis dan di serata Palestin berikutan kematian tiga remaja Israel dan pembunuhan mengerikan seorang pemuda Palestin di Baitulmaqdis. Pembunuhan sedemikian hanya akan meneruskan kitaran keganasan dan berakhir dengan kebencian yang tidak mampu dibendung dan hanya akan menjadikan perdamaian langsung mustahil.

DAP mengecam larangan berpuasa di China pada bulan Ramadan yang mulia ini serta meningkatnya keganasan di Timur Tengah yang telah memakan korban kanak-kanak yang tidak berdosa. Berilah peluang kepada kepelbagaian, keterangkuman sosial, agama dan keamanan!

Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 4 Julai 2014