Sebuah berita yang disiarkan di laman portal berita internet KLEXPRESS pada 4 Januari 2016 “Hadir Himpunan Solidariti, DAP beri dedak RM50” oleh Aidil Syukri adalah tidak berasas dan merupakan penulisan yang tidak beretika

Sebuah berita yang disiarkan di laman portal berita internet KLEXPRESS pada 4 Januari 2016 “Hadir Himpunan Solidariti, DAP beri dedak RM50” oleh Aidil Syukri adalah tidak berasas dan merupakan penulisan yang tidak beretika. Artikel tersebut ditulis berdasarkan mesej Whatsapp dan apa yang lebih dikesali ialah ia hanyalah andaian dan kecuaian pihak KLXPRESS untuk menyiasat kesahihan maklumat. Ini merupakan suatu bentuk pemberitaan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan yang hanya akan mencetuskan prasangka yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Berikut disiarkan mesej Whatsapp tersebut:

“Selamat pagi .Datuk Seri Anwar akan berada di Mahkamah Tinggi George Town pada hari Isnin ini 9/1/17, jam pukul 8.30 am. anggota parti dan sukarelawan diminta tunjukkan sokongan dgn menyertai perhimpunan di situ. Adakah saudara boleh turut serta? Perkhidmatan bas dan makanan disediakan. Masa 8.30 am hingga 12 tengah Hari. Sila respon. Thanks”

DAP tidak pernah berjanji untuk memberi sogokan RM50 kepada para hadirin yang hadir di mahkamah Tinggi P. Pinang. Menghebahkan berita seumpama ini adalah sesuatu yang tidak bermoral. Kes saman Anwar Ibrahim terhadap New Straits Times yang dijadual didengar pada 9 hingga ke 11 Januari 2017 adalah perbicaraan yang pihak kami rasa perlu diberi sokongan demi memperlihakkan bahawa sokongan padu kepada gagasan Pakatan Harapan sentiasa teguh dan padu. Biar apa sekalipon sokongan kepada Pakatan Harapan bukan saja teguh malahan kian meningkat dan mantap. Pemberitaan yang tidak berasas ini menunjukan betapa resahnya Barisan Nasional sehingga sanggup menabur fitnah.

Sehingga kini, sudah begitu banyak mesej-mesej fitnah dan palsu diedarkan melaluiWhatsapp – 3 minggu yang lalu sebuah mesej Whatsapp mendakwa bahawa YAB Lim Guan Eng telah menyokong pembunuhan kaum Rohingya di Myanmar, dan kelmarin pula, sebuah lagi mesej fitnah mandakwa bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang merancang menutup maktab-maktab MARA di negeri ini. Untuk menutup institusi dibawah kuasa kerajaan persekutuan adalah tidak masuk akal. Walau atas apa alasan sekalipun, tindakan sedemikian perlu dan wajib mendapat kelulusan kerajaan persekutuan terlebih dulu.

Sehingga kini, maklumat sumber-sumber atau pengirim-pengirim mesej-mesej palsu dan fitnah tidak dapat dikesan. Namun demikian adalah nyata bahawa nada dan hasrat mesej-mesej adalah anti-DAP yang bertujuan untuk memporakpurandakan keharmonian masyarat Malaysia.

Memandangkan bahawa pilihanraya umum yang ke-14 menjelang tiba, kita akan saksikan lebih banyak lagi fitnah yang akan dihemborkan. Sebagai peringatan, kita semua perlu berhati-hati dan menilaikan kesahihan sebarang maklumat yang kita tatapi. Pergolakan dan perjuangan politik adab ke-21 ini banyak mempergunakan media sosial di mana kebanyakan berita dan laporan yang diterbitkan adalah tidak berwibawa. Oleh kerana itu, rakyat Malaysia perlu meneliti berita-berita yang mereka membaca dengan terperinci dan mendapat pandangan dari semua pihak yang terlibat sebelum membuat andaian.

DAP amat kesal dengan tindakan KLXPRESS yang gagal untuk menyiasat kesahihan mesej tersebut sebelum memuatnaik laporan ini di laman mereka. Pihak KLXPRESS perlu menunjuk mesej Whatsapp asal yang juga mengandungi nombor penghantar sebagai bukti sekiranya mereka benar-benar mendapat mesej tersebut, mereka juga mesti menarik balik tuduhan yang tidak berasas itu dan segera meminta maaf kerana cuai dan gagal untuk menonjolkan etika kewartawanan yang professional.

Syerleena Abdul Rashid
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Wanita & Penolong Setiausaha Publisiti Negeri DAP Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Syerleena Abdul Rashid di George Town pada hari Khamis, 5 Januari 2017