BM 中文 English

Selamatkan Malaysia dan Selangor daripada Noh Omar dan BN yang tidak bertanggungjawab

Arahan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana Barisan Nasional tewas adalah arahan yang kebudak-budakan dan bersifat mala fide. Selaku Menteri KPKT, keputusan yang diambil oleh Datuk Noh Omar menunjukkan bahawa beliau tidak matang dan tidak tahu membezakan di antara politik, pentadbiran dan tanggungjawab. Sebagai kakitangan kerajaan, Hj. Abu Bakar Johari selaku Ketua Pengarah KPKT sepatutnya lebih peka dan menasihati Kementerian bahawa keputusan yang diambil oleh Datuk Noh Omar adalah tidak bertanggungjawab. Harus disedari bahawa rakyat adalah pembayar cukai dan kerajaan tidak boleh menindas sesiapa atas dasar politik.

Kerajaan Negeri Selangor tidak langsung menganaktirikan mana-mana pihak atau kawasan untuk projek-projek pembangunan tanpa mengira kerusi yang disandang oleh mana-mana parti politik. Kerajaan Negeri Selangor juga akan memastikan bahawa ADUN pembangkang Barisan Nasional menerima peruntukan berpatutan untuk pembangunan kawasan dan juga kebajikan rakyat Selangor. Inilah perbezaan di antara Kerajaan Pakatan Harapan daripada Barisan Nasional, kami tidak menzalimi mana-mana pihak dan memastikan perkhidmatan optimum diberikan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Sebagai seorang Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), saya sendiri memastikan bahawa semua orang tak kira fahaman politik akan diberikan perkhidmatan yang terbaik kerana kami memahami bahawa mereka juga adalah pembayar cukai dan perkhidmatan harus diteruskan tanpa mengira siapa adalah kerajaan. Program-program dan projek pembangunan pro-rakyat juga akan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis.

Oleh itu keputusan dibuat oleh Menteri KPKT Datuk Noh Omar menunjukkan bahawa beliau bukannya pro-rakyat tetapi hanya gila kuasa dan tidak matang. Orang sebegini tidak sepatutnya dipilih oleh rakyat untuk menerajui mana-mana kerajaan kerana beliau hanya akan mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Muhammad Shakir Ameer
Bendahari DAPSY Selangor
Kenyataan media oleh Muhammad Shakir Ameer di Shah Alam pada hari Rabu, 19 Mac 2017