BM 中文 English

Tindakan Dr Kamarul Zaman tidak lebih sekadar dilihat bermotifkan politik untuk memburuk-burukkan reputasi pemimpin Pakatan Harapan khususnya DAP

Saya merujuk serangan yang dibuat oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusuff ke atas speaker dewan negeri Selangor merangkap ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh melibatkan buku Becoming Hannah.

Tindakan Dr Kamarul Zaman tidak lebih sekadar dilihat bermotifkan politik untuk memburuk-burukkan reputasi pemimpin Pakatan Harapan khususnya DAP.

Jika diteliti status-status beliau di FB pun, beliau seakan-akan telah diprojekkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengacukan peluru menyerang hendap DAP menerusi elemen perkauman dan keagamaan yang amat sempit dan luar rasional.

Apa masalah Dr Kamarul Zaman sebenarnya? Beliau tidak ‘berbunyi’ tentang seribu satu skandal yang sedang meranapkan nagara. Isu penyelewengan dana 1MDB yang melibatkan pemimpin tertinggi negara yang mengaku Melayu dan beragama Islam misalnya, apa komen beliau?

Sebaliknya Hannah Yeoh yang tidak mencuri wang rakyat, bukan juga seorang pelampau agama, itu pula yang beliau ‘bising-bisingkan’?

Pada pandangan saya, tindak tanduk beliau tidak lebih sekadar seakan-akan mencerminkan sikap seorang yang anti kepada penganut bukan Islam di negara ini. Beliau apologetic dan amat naif dalam menanggapi latar sedia ada di Malaysia yang berbilang agama.

Sebagai seorang Muslim, beliau gagal menjiwai semangat li ta’arafu (saling mengenali) dan kalimatun sawa’ (berpegang pada kalimah yang sama) yang menggambarkan kehalusan serta kesantunan seorang muslim pada menanggapi perbezaan termasuklah dalam soal kepercayaan.

Hal ini membawa saya mengimbau kembali sirah nabi Muhammad dimana baginda telah mengarahkan para sahabat ke Habsyah akibat tekanan kuat yang diterima di Mekah.

Muhammad mengarahkan sahabat ke sana untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi beragama Nasrani yang adil dan pemurah.

Meskipun teks dan konteks dalam sirah ini agak berbeza, namun amat signifikan baki seorang muslim apatah lagi ahli akademik seperti Dr Kamarul Zaman menekuninya.

Ia amat penting bagi memastikan tindakan yang dilakukan tidak memberi imej buruk terhadap Islam dan menambah regang kerukunan beragama di negara ini.

Sheikh Omar Ali
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor
Kenyataan media oleh Sheikh Omar Ali di Kluang pada hari Rabu, 17 Mei 2017