BM 中文 English

Menyeru rakyat Malaysia supaya mendaftarkan diri sebagai pemilih bagi memastikan layak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara pada PRU akan datang

Terdapat lebih kurang 18 juta orang warganegara Malaysia yang layak menjadi pemilih di dalam negara kita. Antaranya, sejumlah lebih daripada 3.8 juta orang ataupun 21.1% yang belum mendaftarkan diri. Saya menyeru kepada golongan 21.1% yang berkenaan supaya mendaftarkan diri sebagai pemilih bagi memastikan kamu layak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara pada PRU akan datang. Proses pendaftaran ini mengambil masa lebih kurang 6 bulan dari tarikh pendaftaran termasuk proses wartaan.

Saya memahami bahawa terdapat pelbagai rungutan dan perasaan tidak puas hati dari setiap golongan masyarakat terhadap isu-isu tertentu tetapi saya ingin mengingatkan bahawa setakat membebel di warong kopi ataupun sosial media tidak membantu apa-apa. Kita harus mendaftarkan diri sebagai pemilih yang sah supaya boleh mengundi untuk memilih wakil rakyat yang kita rasa boleh membantu kita. Itulah cara yang tepat untuk menghantar mesej kita kepada pucuk pimpinan agar masalah dapat diselesaikan dan supaya permintaan kita dapat di dengari dengan jelas. Selain di pejabat pos dan pejabat SPR, pejabat saya akan menyediakan kaunter pendaftaran pemilih baru di Pusat Beli Belah Aeon Cheras Selatan pada setiap hari Ahad mulai 21hb Mei 2017 sehingga 18hb Jun 2017 dari pukul 11 pagi hingga 5 petang.

Saya ingin menyeru kepada sesiapa yang telah mendaftarkan diri sebagai pemilih pada suku tahun pertama tahun 2016 iaitu dari Januari hingga Mac 2016 untuk membuat semakan pemilih secara atas talian di http://daftarj.spr.gov.my/DAFTARJ/ bagi memastikan kamu tidak di bantah oleh mana-mana pihak yang tiidak bertanggungjawab. Kamu boleh hubungi pejabat SPR ataupun wakil rakyat anda untuk tindakan seterusnya jikalau mendapati nama kamu telah dibantah.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan bahawa mereka telah menerima sebanyak 326, 905 permohonan pendaftaran sebagai pemilih dalam suku pertama tahun ini di mana 242, 691 merupakan permohonan pendaftaran pemilih baru. Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi Suku Tahun 1/2017 akan di pamerkan selama 14 hari mulai 9hb Mei hingga 22hb Mei 2017 di 960 tempat pameran di seluruh negara.

Ng Tien Chee
Setiausaha Organisasi DAP Selangor & ADUN Balakong
Kenyataan media oleh Ng Tien Chee di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 18 Mei 2017