BM 中文 English

Tiga menteri kabinet Datuk Seri Najib Razak bergegas membelanya semalam dengan membakulsampahkan tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang difailkan Khamis lalu

Tiga menteri kabinet Datuk Seri Najib Razak bergegas membelanya semalam dengan membakulsampahkan tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang difailkan Khamis lalu bagi menyita aset-aset yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri daripada 1MDB. Ini termasuklah barang kemas bernilai US$10 juta sebagai hadiah kepada seorang peragawati Australia dan juga sebuah lukisan Picasso bernilai US$2.3 juta, juga sebagai hadiah kepada seorang pelakon Hollywood.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak dilaporkan berkata bahawa saman sivil di Amerika itu adalah satu bentuk campurtangan terhadap hal ehwal dalam negara kerana katanya sebahagian besar aduan DOJ tersebut adalah mengenai isu-isu yang berlaku di Malaysia dan bukan di Amerika.

Saya dengan rendah hati memohon Salleh untuk menjelaskan, ada berapa banyak mukasurat daripada saman sivil DOJ setebal 251 mukasurat itu adalah tentang kesalahan yang terjadi di dalam negara, kecuali mungkin berlian merah jambu 22-karat dan barang kemas emas 18-karat yang selamat tersimpan di Putrajaya.

Malaysia telah pernah menghantar pasukan tentera ke Yaman, Arab Saudi dan Somalia. Campurtangan ketenteraan seperti ini adalah boleh diterima, tetapi tindakan mahkamah Amerika untuk membantu mengembalikan dana yang dicuri daripada rakyat Malaysia tidak boleh pula; logik jenis apa ini Menteri Komunikasi?

Dalam satu kenyataan, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Abdul Rahman Dahlan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah berkata bahawa rakyat Malaysia berhak mengetahui siapa yang telah membuat aduan yang membawa kepada saman sivil DOJ terhadap aset-aset terkait 1MDB. Beliau juga mengesyaki bahawa pengadu tersebut adalah rakyat Malaysia yang mempunyai agenda jahat mahu menumbangkang kerajaan Najib Razak. Saya sekali lagi dengan rendah hati memohon Rahman Dahlan untuk menunjukkan di mukasurat mana dalam saman DOJ terbabit yang menyebut tentang agenda ini.

Tindakan patriotik yang sepatutnya beliau lakukan ialah memintah Menteri Luar, Anifah Aman untuk menghantar nota protes kepada Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur sekiranya Rahman Dahlan dapat menemukan agenda untuk menggulingkan kerajaan di dalam saman sivil terbabit.

Soal siapa yang membuat aduan kepada DOJ dalam hal skandal 1MDB, pihak FBI telah mengumumkan dalam sidang media Julai tahun lalu bahawa DOJ adalah pengadunya. Pengarah Komunikasi Strategik BN mesti memohon maaf atas keceluparannya, kecualilah beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan bahawa pengadu adalah rakyat Malaysia.

Menteri ketiga dan anggota kabinet dengan taraf paling tinggi yang mempertahankan Najib semalam ialah naib presiden UMNO, Hishammuddin Hussein. Beliau mencabar DOJ untuk melakukan pendakwaan jika mereka mempunyai bukti Najib telah melakukan kesalahan. Hishammuddin berkata sekiranya DOJ tidak membuat pendakwaan, ia hanya akan merosakkan kredibiliti dan mereka yang dituduh tidak berpeluang untuk membersihkan nama mereka.

Saya juga ingin meminta Hishammuddin supaya membaca sedikit tentang Kleptocracy Asset Recovery Initiative Amerika Syarikat itu. Inisiatif ini diumumkan oleh kerajaan Amerika pada tahun 2010 dan bertujuan membanteras korupsi skala besar oleh pegawai kerajaan asing dan mengembalikan dana awam kepada tujuan asalnya. Prosedur undang-undang Amerika di bawah inisiatif tersebut adalah saman sivil pelucuthakan bagi mengembalikan aset-aset terkait 1MDB yang telah dicuri kepada rakyat Malaysia dan plaintif dalam saman terbabit adalah DOJ.

Hishammuddin patut menasihati sepupunya Najib, dan isteri beliau Rosmah, untuk masuk campur dalam saman DOJ sebagai defendan sekiranya mereka benar-benar percaya bahawa mereka telah dituduh secara jahat dan salah dalam saman terbabit.

Pentadbiran Najib sepatutnya tidak ada masalah untuk menjawab tuduhan dalam saman DOJ dan menjelaskan bahawa beliau bukanlah MO1 dan Rosmah bukanlah isteri MO1.

Lim Lip Eng
Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Ahli Parlimen Segambut
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 19 Jun 2017