BM 中文 English

Eulogi untuk Kerk Kim Hock

Pada 9 Ogos 2017, mantan Setiausaha Agung DAP saudara Kerk Kim Hock yang berusia 61 tahun telah meninggalkan kita buat selama-lamanya, selepas 3 hari berada dalam keadaan koma, susulan komplikasi daripada pembedahan yang dijalankan pada hari Ahad.

DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Kehilangan yang mereka hadapi bukan sekadar kehilangan secara peribadi, serta bukan sekadar kehilangan kepada DAP bahkan juga kehilangan besar kepada negara dan rakyat Malaysia.

Kehidupan Kerk penuh dengan makna, cabaran dan perjuangan. Beliau merupakan pemimpin mahasiswa, pemimpin parti, wakil rakyat dan pejuang kanser yang gagah dan berani.

Semasa Kerk menyambung pengajian Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Monash, Australia, Beliau bersetuju dengan ideologi Parti Buruh Australia yang berlandaskan sosial demokrasi iaitu membantu golongan yang miskin dan kurang upaya. Beliau yang menyandang jawatan Pengerusi Monash University Malaysian Students Union berkenalan dengan saudara Lim Guan Eng pada ketika itu.

Pada tahun 1986, atas jemputan saudara Lim Kit Siang, Kerk yang berusia 30 tahun menyertai DAP dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Daun pada tahun yang sama.

Pada Oktober 1987, Kerajaan Barisan Nasional melancarkan Operasi Lalang menerusi penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Kerk merupakan salah seorang daripada 16 pemimpin DAP yang ditahan pada waktu itu.

Kerk, kemudiannya, berjaya terpilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Pinji pada tahun 1990 dengan keputusan cemerlang. Pada PRU tahun 1999, DAP mengalami kekalahan teruk. Namun Kerk memenangi kerusi Parlimen Kota Melaka dan mengambil alih jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP yang keempat. Beliau berusaha membangkitkan semula parti ketika DAP berada dalam waktu paling gelap.

Demi memperkasakan jentera parti, beliau menggerakkan pembaharuan parti dari semasa ke semasa sewaktu pentadbirannya. Kerk melepaskan semua jawatan dalam parti selepas kekalahan DAP pada PRU tahun 2004.

Keputusan beliau jelas menggambarkan semangat keberanian dan kebertanggungjawaban dalam kerjaya politiknya.

Sejak tahun 2002, Kerk yang didapati menghidap barah berusaha dan berfikiran positif dalam melawan penyakit tersebut. Pada tahun 2015, beliau disahkan menghidap semula kanser rektum selepas 13 tahun menjalani kehidupan yang normal. Walaubagaimanapun, beliau tidak pernah berputus asa dan hilang keyakinan melawan penyakit tersebut. Dan beliau tidak juga berhenti mengambil berat tentang parti dan rakan-rakannya.

Pemergian Kerk merupakan kehilangan yang amat besar kepada keluarganya, parti dan juga semua warga Malaysia yang kehidupan mereka diinspirasikan oleh perjuangannya yang berprinsip untuk merealisasikan impian Malaysian Malaysia.

Penghormatan untuk jenazah mendiang akan dimulakan pada jam 8 pagi, Ahad 13 Ogos 2017 di rumah saudara Kerk Kim Hock di 332D, Jalan Kenanga 3/10A, Tmn Kenanga Sek 3, Kg Lapan, 75200, Melaka. Jenazah akan diarak pada jam 10 pagi ke Nirvana Memorial Park di Semenyih Selangor.

Tan Kok Wai
Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP & Pengerusi Jawatankuasa Pengkebumian
Eulogi untuk Kerk Kim Hock oleh Tan Kok Wai di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 10 Ogos 2017