BM 中文 English

Kerajaan negeri Pulau Pinang buat masa kini tidak berhasrat menukar dasar lama berkaitan dengan bangunan haram, penjaja haram, tokong haram, kuil haram, gereja haram, kilang haram dan rumah kediaman haram yang dibina atau diusahakan sebelum 8 Mac 2008 di Pulau Pinang

Kerajaan negeri Pulau Pinang buat masa kini tidak berhasrat menukar dasar lama berkaitan dengan bangunan haram, penjaja haram, tokong haram, kuil haram, gereja haram, kilang haram dan rumah kediaman haram yang dibina atau diusahakan sebelum 8 Mac 2008 di Pulau Pinang. Ini berikutan Ahli EXCO Kerajaan Negeri untuk Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh ditahan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) kerana didakwa menulis dua pucuk surat yang meminta tindakan penguatkuasaan ditangguhkan sehingga satu penyelesaian yang baik kepada semua pihak boleh dicapai.

Memang menjadi dasar kerajaan negeri Pakatan sejak ditubuhkan pada 2008 untuk tidak mengambil tindakan kepada semua bangunan, kilang atau penjaja haram yang beroperasi sebelum 8 Mac 2008 dengan syarat ia tidak menghalang laluan trafik ataupun mengganggu orang awam. Sebaliknya, kerajaan negeri akan cuba cari penyelesaian untuk semua pihak termasuk program pemutihan.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas bangunan, penjaja dan kilang haram yang dibina selepas 2008 agar menghindarkan kegiatan haram tumbuh seperti cendawan. Itupun menggunakan pendekatan perikemanusiaan dengan perbincangan secara elok dan baik yang boleh diterima oleh semua pihak.

Sungguhpun begitu, kerajaan negeri sering dikritik kerana merobohkan beberapa penjaja haram daripada ribuan yang sedia ada. Sekiranya tindakan mesti diambil dan satu dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri boleh ditolak begitu sahaja oleh SPRM, maka pulohan ribu bangunan, penjaja dan kilang haram akan terjejas dan harus dirobohkan dengan segera. Adakah ini yang mahu dilihat dengan begitu kejam dan zalim sekali oleh BN?

Bukan sahaja penjaja di pecan dan kampung, maka rumah kediaman yang dibina tanpa permit pun tidak akan terlepas dan akan dirobohkan. Ini akan menghebohkan satu negeri malah mungkin mencetuskan huru-hara di Pulau Pinang yang sukar dikawal. Buat masakini kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar dasar yang ditetapkan dan saya akan mengesyorkan dasar ini dikekalkan dalam mesyuarat mingguan negeri pada hari Rabu ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Pakatan Harapan berdiri teguh di belakang Phee Boon Poh kerana kami tidak faham apakah amalan rasuah yang dilakukan oleh beliau sedangkan beliau hanya melaksanakan dasar kerajaan negeri. Kami menyokong Phee dan percaya beliau tidak terlibat dalam rasuah kerana beliau tidak menerima wang suapan ataupun ada kepentingan peribadi atau keluarga dalam kilang haram tersebut. Phee ialah Ahli EXCO yang paling kaya dan diketahui umum berasal daripada keluarga yang kaya di Butterworth.

Sekiranya beliau menjalankan tugas sebagai ADUN atau Ahli EXCO untuk berkhidmat kepada rakyat, meminta tindakan ditangguhkan maka semua wakil rakyat baik pembangkang ataupun kerajaan, bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Malaysia, yang meminta tindakan penguatkuasaan ditangguh boleh terjerat dalam rasuah. Kerajaan negeri tidak pasti adakah ini Standard Operating Procedure(SOP) yang baru oleh SPRM, yang boleh menolak sama sekali kuasa kerajaan negeri untuk menetapkan sesuatu dasar tentang bangunan dan penjaja haram. Kami akan menunggu pencerahan oleh SPRM dalam kes Phee Boon Poh.

Sekiranya ini ialah SOP baru SPRM sehingga surat ADUN dan Ahli EXCO bagi pihak rakyat untuk menangguhkan tindakan penguatkuasaan boleh dianggap sebagai amalan rasuah, maka mengapakah tangkapan tidak dibuat oleh SPRM untuk surat yang sama dalam kes tambakan laut RM1.2 bilion yang haram dalam projek Aman Laut(Dubai of Malaysia di Kedah) yang dijalankan sungguhpun laporan DEIA belum diluluskan? Ataupun surat membenarkan perlombongan bauxite dan kilang Lynas di Pahang? Ataupun penebangan hutan simpan kekal yang berleluasa di Pahang sebanyak 161,000 hektar, Kelantan sebanyak 159,000 hektar dan negeri-negeri lain, kecuali Pulau Pinang yang merupakan satu-satu negeri yang tidak sentuh pun seinci hutan simpan kekal?

Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Ahad, 13 Ogos 2017