BM 中文 English

Pihak SPRM dan polis diingatkan bahawa layanan gari dan pakaian jingga itu mestilah dikenakan secara adil terhadap semua saspek

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Saudara Phee Boon Poh yang telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari Jumaat, dikenakan tahanan reman selama lima hari, walaupun beliau bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM.

Walaupun bersedia memberi kerjasama, beliau diheret ke mahkamah pada pagi Sabtu dengan tangan bergari dan memakai pakaian tahanan lokap SPRM berwarna jingga.

Tidak sesiapa yang berfikiran waras akan mengandaikan bahawa Phee, seorang Adun empat penggal dan berusia 61 tahun, mampu meloloskan diri daripada tahanan lokap SPRM.

Namun begitu, semua saspek, tidak kira siapa, harus menerima layanan yang sama ketika diangkut pergi dan balik ke mahkamah, termasuklah Saudara Phee. ‘Standard Operating Procedure’ yang terpakai bagi membawa Phee ke mahkamah tidak harus dipertikai, jika benar gari dan pakaian jingga itu memang satu keperluan.

Justeru pihak SPRM dan juga pihak polis diingatkan bahawa layanan gari dan pakaian jingga itu mestilah dikenakan secara adil terhadap semua saspek, berikutan tindakan yang amat memalukan terhadap Phee itu.

Mungkin satu hari nanti apabila SPRM bertindak terhadap ‘Malaysian Official 1’; beliau juga mesti digari dan memakai pakaian lokap SPRM apabila beliau dan pihak-pihak lain ditangkap dan diheret ke mahkamah atas skandal-skandal yang sedang terjadi.

Tidak boleh ada sebarang pengecualian langsung, kecualilah pihak SPRM mengakui bahawa gari dan pakaian jingga tersebut bukanlah satu kemestian terhadap saspek, dan apa yang telah mereka lakukan terhadap Saudara Phee adalah satu kesilapan.

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Segambut
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 13 Ogos 2017