BM 中文 English

SPRM perlu menahan dan menyiasat Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya kerana dengan salahnya “menyokong” seorang doktor gigi palsu, yang telah didenda RM70,000 kerana menjalankan aktiviti pergigian tanpa lesen, dengan merayu bagi pihaknya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menahan dan menyiasat Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya kerana dengan salahnya “menyokong” seorang doktor gigi palsu, Nur Farahanis Ezatty Adli, yang didenda RM70,000 kerana menjalankan aktiviti pergigian tanpa lesen, dengan merayu bagi pihaknya. SPRM harus menahan Hilmi untuk menentukan sama ada Hilmi telah menyalahgunakan kuasanya untuk cuba “membantu” seorang doktor gigi palsu yang mengamalkannya secara haram.

Hilmi sebelum ini menafikan bahawa beliau atau sesiapa daripada kementeriannya memberi sokongan kepada seorang individu yang didapati bersalah kerana mengamalkan aktiviti pergigian tanpa lesen. Penafian Hilmi tersebut dengan cepat didedahkan sebagai pembohongan.

Walau bagaimanapun pada hari ini, beliau mengaku bahawa beliau telah mengemukakan surat rayuan doktor gigi palsu (Nur) tersebut kepada Pengarah Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan “untuk pertimbangan”, memetik tugasnya sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau. Hilmi mengakui bahawa seorang rakannya telah datang berjumpa dengan beliau supaya membantu wanita tersebut. Beliau dilaporkan berkata, “Saya hanya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dengan bertindak atas surat rayuan yang dikemukakan kepada saya”.

Beliau berkata atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen, beliau telah membuat panggilan kepada Pengarah Urusan Kementerian dan bertanya sama ada wanita tersebut boleh dikenakan tindakan dengan hanya denda atau kompaun. Hilmi mendakwa, “Saya hanya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan saya”.

Dalam catatan di Instagram, Nur Farahanis mendakwa bahawa “perniagaannya” telah diberikan kelulusan oleh Kementerian Kesihatan dan mengucapkan terima kasih kepada Dr Hilmi dan Setiausaha Sulitnya, Aziaan Ariffin. Mahkamah Seksyen di Melaka pada 29 September lalu telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM70,000, dan penjara selama 6 bulan terhadapnya.
Ahli EXCO Pulau Pinang untuk Kebajikan, Masyarakat Penyayang, Alam Sekitar, Phee Boon Poh, telah ditahan oleh SPRM pada 11 Ogos kerana didakwa telah menghantar dua pucuk surat rayuan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menangguhkan tindakan perobohan ke atas sebuah kilang haram. Sekiranya Phee boleh ditahan dan disiasat kerana menghantar dua pucuk surat rayuan atas kapasitinya sebagai wakil rakyat, mengapa Hilmi boleh dibiarkan daripada ditahan apabila beliau telah mengemukakan surat rayuan doktor gigi palsu dan haram tersebut ke Kementerian Kesihatan?

SPRM mesti menahan Hilmi bagi menyiasat kemungkinan penyalahgunaan kuasa bagi membantu dan “menyokong” seorang doktor gigi haram untuk membuktikan bahawa SPRM bertindak secara adil dan profesional terhadap semua ahli politik, sama ada daripada BN atau Pakatan. Lagi pun, Phee juga menjalankan kewajipannya sebagai wakil rakyat ketika beliau menghantar surat rayuan tersebut, dan beliau masih ditahan.

Maka tidak ada alasan untuk SPRM tidak menahan Hilmi. Kegagalan menahan Hilmi untuk disiasat, seperti mana yang dilakukan SPRM terhadap Phee Boon Poh, boleh menimbulkan kesangsian dwi-standard yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kredibiliti SPRM.

Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Rabu, 11 Oktober 2017