BM 中文 English

Ucapan penggulungan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow sempena Mesyuarat Kedua bagi Penggal yang Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ketiga Belas

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya membuat penggulungan ke atas isu-isu yang dibangkitkan di bawah portfolio yang dipengerusikan oleh saya iaitu Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir. Saya percaya antara isu-isu yang dibangkitkan telah pun dijawab dalam sesi soal jawab ataupun oleh EXCO-EXCO yang telah membuat penggulungan atas isu-isu yang berkaitan dengan portfolio masing-masing jadi saya tidak mencadang untuk ulangi perkara-perkara yang sedemikian.

Sebelum saya memulakan penggulungan saya pada petang ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, rakan-rakan EXCO, ahli-ahli dewan, ketua-ketua jabatan, agensi-agensi kerajaan, para sukarelawan serta semua pihak yang telah berganding bahu untuk mengatasi bencana banjir yang telah dialami oleh penduduk-penduduk di Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga mengambil maklum cadangan-cadangan yang bernas yang dikemukakan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian bagi mengatasi masalah banjir pada masa hadapan.

Saya juga ingin merakam ucapan terima kasih kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul ini dan mengemukakan banyak cadangan. Kerajaaan Negeri akan meneliti dan membuat kajian kebolehlaksanaan ke atas setiap cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

Sistem Penyampaian Maklumat

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, ramai yang mendakwa ketidakcekapan sistem penyampaian maklumat telah menyebabkan kerugian yang besar kepada rakyat Pulau Pinang. Untuk makluman Yang Berhormat Teluk Ayer Tawar, di Negeri Pulau Pinang sememangnya sudah ada sistem penyampaian maklumat secara online, iaitu Penang Alert dan Public info banjir. Manakala Sistem Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) akan memberi ramalan banjir lebih awal, iaitu 7 hari sebelum banjir dijangka akan berlaku dan amaran banjir seawal 2 hari berbanding sekarang, iaitu amaran 6 jam sebelum banjir.

PRABN Pulau Pinang dijadualkan akan dilaksanakan bermula pada bulan Jun 2018 sehingga 2022 melibatkan 6 lembangan sungai iaitu Sungai Pinang, Sungai Kerian, Sungai Muda, Sungai Juru, Sungai Perai dan Sungai Jawi.

Kerajaan Negeri akan senantiasa memastikan sistem penyampaian maklumat adalah sentiasa dikemaskini dan penyebaran maklumat kepada penduduk secara berkesan bagi mengurangkan kerugian harta benda awam ke tahap yang minimum.

Permohonan Peruntukan Dari Kerajaan Pusat Untuk 13 Projek

Kerajaan Negeri melalui jabatan-jabatan kerajaan sentiasa memantau dan turun padang bagi mengkaji keperluan Pulau Pinang dalam projek-projek tebatan mitigasi banjir. Akan tetapi, peruntukan untuk rancangan tebatan banjir yang berskala major adalah besar dan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam perkara ini.

Berikutan kejadian banjir baru-baru ini, Kerajaan Negeri sekali lagi telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah banjir di Negeri ini. Sebanyak 13 projek dengan jumlah peruntukan RM 1 Bilion telah dibentangkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa lawatan beliau ke tempat kejadian banjir pada 7 November, iaitu hari Selasa minggu lepas. Projek-projek mitigasi banjir tersebut adalah :-

Bil Projek RM / Juta
1 RTB Teluk Kumbar, DBD 8
2 RTB Teluk Bahang, DBD 6
3 RTB Pondok Upeh, DBD 5
4 RTB Sungai Junjung, SPT 30
5 RTB Parit 4 JPS, SPT 10
6 RTB Parit Raja Uda, SPU 32
7 RTB Sungai Kechil, SPS 12
8 RTB Kawasan Perindustrian Perai, SPT 50
9 RTB Lembangan Sungai Perai, SPT 70
10 RTB Lembangan Sunga Juru, SPT 80
11 RTB Lembangan Sungai Jawi, SPS 40
12 RTB Bayan Lepas, DBD 153
13 RTB Lembangan Sungai Pinang, DTL 504
Jumlah 1000

Perlaksanaan projek-projek ini akan memberi impak yang besar dalam menangani masalah banjir di Negeri ini. Justeru, saya amat berharap Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan permohonan ini dan memberi keutamaan dalam meluluskan projek-projek tebatan mitigasi banjir ini.

Untuk makluman Yang Berhormat juga, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memantau dan menyelia setiap rumah pam dan pintu air supaya ia berfungsi dengan berkesan termasuk membersihkan sampah yang tersangkut di perangkap sampah. JPS juga telah menjadualkan 3 pusingan kerja (shift) bagi menjaga rumah pam serta telah menambah dua orang pekerja.

Tindakan Penyelesaian

Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa tindakan penyelesaian kepada masalah kejadian banjir di Pulau Pinang merangkumi pelan tindakan jangka pendek dan pelan tindakan jangka panjang.

Bagi Pelan Tindakan Jangka Pendek, Kerajaan Negeri melalui agensi pelaksanaan telah melaksanakan kerja-kerja kecemasan di bawah Peruntukan Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan. JPS juga menggunapakai Peruntukan MARRIS bagi pembaikan Rumah Pam Saliran serta menjalankan Kerja-kerja permbersihan sampah-sampah di dalam sungai.

Bagi Pelan Tindakan Jangka Panjang pula, beberapa projek tebatan banjir telah dirancang dan akan dilaksanakan secara berfasa, antaranya i) Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang dengan kos RM 150 Juta di bawah Peruntukan Persekutuan; ii) High Impact Project di bawah Peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM 150 Juta untuk melaksanakan 9 projek tebatan banjir; iii) 7 projek tebatan banjir bawah Peruntukan Caruman Perparitan Kerajaan Negeri sebanyak RM 55 Juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan bersama syarikat-syarikat utiliti bagi membincangkan isu pengalihan lintasan utiliti di kawasan sungai / parit yang mengalami back flow akibat dari utiliti yang dibina tidak mengikut garis panduan JPS.

Kempen kesedaran alam sekitar akan dipergiatkan lagi oleh Kerajaan Negeri. Daripada kejadian banjir baru-baru ini, sistem saliran dan sungai yang tersekat disebabkan sampah sarap yang dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang mengambil jalan mudah membuang sampah domestik yang menyebabkan aliran tidak lancar serta menyebabkan rumah-rumah pam tidak berfungsi dengan berkesan merupakan salah satu punca banjir. Justeru, adalah penting bagi mendidik penduduk setempat tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya sungai. Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan denda yang lebih tinggi terhadap individu / syarikat yang membuang sampah ke dalam sungai. Jawatakuasa Taskforce Pencemaran Sungai telah ditubuhkan dan Kerajaan Negeri akan memastikan penguatkuasaan lebih ketat melalui akta sedia ada. Satu lagi Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Ops Lumpur juga telah ditubuhkan bagi menjalankan pemantauan bersekutu bersepadu terhadap pematuhan pemaju terhadap garis panduan sedia ada, seperti Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang merangkumi Erosion Sediment Control Plan (ESCP).

Satu lagi langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ialah menjalankan Kajian Pelan Induk Saliran (Drainage Master Plan) bagi semua Daerah di Pulau Pinang dan sehingga hari ini 2 kajian telah siap, iaitu bagi Daerah Seberang Perai Tengah dan Daerah Barat Daya. Walau bagaimanapun, Pelan Induk Saliran Daerah Barat Daya perlu dikaji semula memandangkan ia telah lama disiapkan. Pelan Induk Saliran ini akan menjadi garis panduan kepada JPS dan PBT dalam merancang sistem saliran dan meluluskan pembangunan baru dalam kawasan masing-masing. Ia juga merupakan garis panduan kepada pemaju dan jurutera perunding dalam merancang pembangunan baru. Kesemua program jangka pendek dan jangka panjang JPS akan disenaraikan dalam penyediaan draf RSNPP 2030 yang sedang disediakan.

YB ADUN Telok Air Tawar telah membangkitkan isu berkaitan Lesen Hiburan yang diluluskan oleh PBT walaupun pihak PDRM tidak menyokong permohonan tersebut. Contohnya pusat snooker di sebelah SMK Telok Air Tawar.

YB Telok Air Tawar telah membangkitkan isu berkaitan Lesen Hiburan yang diluluskan oleh PBT walaupun pihak PDRM tidak menyokong permohonan tersebut. Contohnya pusat snooker di sebelah SMK Telok Air Tawar. YB Dato’ juga telah membangkitkan isu pusat snooker bersebelahan SMK Telok Air Tawar. Untuk makluman YB Dato’, hasil semakan MPSP mendapati pusat snooker tersebut adalah Pusat Snooker Power Ball yang mempunyai lesen premis dan lesen hiburan yang sah dan disokong oleh pihak PDRM. Bagi lesen hiburan awam yang diluluskan tanpa sokongan PDRM adalah berdasarkan ulasan keseluruhan jabatan lain. Antara ulasan yang dikemukakan adalah premis-premis tersebut beroperasi di zon yang telah ditetapkan oleh PBT, tidak ada sebarang masalah kacau ganggu dan tidak ada bantahan oleh penduduk sekitar.

YB ADUN Penanti membangkitkan apakah tindakan penguatkuasaan MPSP yang diambil ke atas aktiviti kuari yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

YB Penanti membangkitkan apakah tindakan penguatkuasaan MPSP yang diambil ke atas aktiviti kuari yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. Untuk makluman YB, tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh MPSP adalah mengeluarkan arahan berhenti kerja serta-merta kepada mana-mana syarikat kuari yang melanggar syarat yang telah ditetapkan. Setelah itu, tindakan susulan adalah mengeluarkan tawaran kompaun satu (1) kesalahan kepada syarikat kuari tersebut.

YB ADUN Pulau Tikus telah mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan pemasangan papan tanda elektronik untuk menyampaikan maklumat kesesakan lalu lintas dan banjir dengan lebih cepat kepada pengguna

Mengenai cadangan YB Pulau Tikus supaya Kerajaan Negeri mewujudkan pemasangan papan tanda elektronik untuk menyampaikan maklumat kesesakan lalu lintas dan banjir dengan lebih cepat kepada pengguna, sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui MBPP akan mempertimbangkan cadangan pemasangan papan tanda elektronik di lokasi-lokasi yang strategik untuk menyampaikan maklumat kesesakan lalu lintas dan banjir dengan lebih cepat kepada pengguna mulai tahun 2019. Ini kerana pemasangan papan tanda elektronik melibatkan kos yang tinggi dan akan dijalankan secara berperingkat mengikut keutamaan. MPSP dalam proses memasang satu papan iklan jenis elektronik di hadapan ibu pejabat MPSP yang dijadual siap sepenuhnya pada 11 Disember 2017. Sebagai permulaan MPSP akan menyampaikan maklumat kesesakan lalu lintas dan banjir dengan lebih cepat kepada pengguna melalui papan iklan tersebut.

YB ADUN Jawi mencadangkan penggunaan skylift di MPSP bagi melancarkan kerja-kerja pemotongan pokok dengan tenaga kerja yang mencukupi.

YB Jawi mencadangkan penggunaan skylift di MPSP bagi melancarkan kerja-kerja pemotongan pokok dengan tenaga kerja yang mencukupi. MPSP sememangnya menggunapakai jentera skylift bagi perlaksanaan kerja-kerja pemotongan pokok di setiap daerah. Terdapat tujuh (7) buah jentera skylift di MPSP mengikut daerah iaitu sebanyak dua (2) buah di Daerah Seberang Perai Utara, tiga (3) buah di Daerah Seberang Perai Tengah dan dua (2) buah di Daerah Seberang Perai Selatan.

YB ADUN Seri Delima telah memohon Astaka Taman Tun Sardon dinaiktaraf kerana telah usang dan boleh menyebabkan kecederaan dan memohon peruntukkan wang untuk memasang kemudahan penghawa dingin di balai raya untuk kegunaan se masa majlis dan kenduri.

YB Seri Delima telah memohon Astaka Taman Tun Sardon dinaiktaraf kerana telah usang dan boleh menyebabkan kecederaan dan memohon peruntukkan wang untuk memasang kemudahan penghawa dingin di balai raya untuk kegunaan semasa majlis dan kenduri. Untuk makluman YB, Astaka Taman Tun Sardon adalah merupakan kompleks makan di bawah pengurusan Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, ICU JPM. Isu berkaitan naiktaraf secara keseluruhan adalah dibawah pentaddbiran agensi berkenaan. Untuk makluman YB juga, MBPP ada menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi kerosakan kecil di astaka berkenaan secara tahunan.

YB ADUN Paya Terubong membangkitkan isu projek pemulihan pasar awam di KADUN Paya Terubong yang melibatkan pembangu nan diatas tanah milik Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SSI) diatas lot 8826, Mukim 13, DTL.

YB Paya Terubong membangkitkan isu projek pemulihan pasar awam di KADUN Paya Terubong yang melibatkan pembangunan diatas tanah milik Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SSI) diatas lot 8826, Mukim 13, DTL. Projek ini telah terbengkalai sejak tahun 1987 dan telah dimajukan semula melalui suatu perjanjian perswastaan yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dengan Patsifit Construction Sdn Bhd pada 7 September 2015. Majlis pecah tanah (simbolik kepada penyambungan semula projek) telah disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri pada 14 Mei 2016. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 27 Jun 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2018. Walaubagaimanapun, pemaju akan berusaha untuk menyegerakan kerja-kerja pembinaan dan cuba menyiapkannya pada bulan Disember 2017. Bangunan pasar awam dan kompleks penjaja 4 tingkat berkenaan yang menelan belanja sebanyak RM8 juta akan diserahkan kepada MBPP pada kadar nominal RM1.00 apabila siap dibina kelak. Lot-lot gerai/premis dalam bangunan tersebut akan disewakan oleh MBPP kepada peniaga/penjaja yang berdaftar. Keutamaan akan diberikan kepada penjaja sedia ada di kawasan tersebut bagi tujuan penempatan semula.

YB ADUN Bertam telah membangkitkan isu 64 kilang haram di kawasan Kepala Batas dan mengapa MPSP tidak mengambil tin dakan ke atas kilang-kilang tersebut.

Untuk makluman, Garis Panduan Pemutihan Kilang-Kilang Tanpa Kebenaran Di Kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 26 Oktober 2017. Garis panduan tersebut dijadualkan untuk dibentangkan ke Pihak Berkuasa Negeri pada bulan November ini.

YB ADUN Teluk Air Tawar telah membangkitkan cadangan mewujudkan task force bagi mengutip sampah selepas krisis banjir dengan kerjasama NGO dan pihak swasta.

YB Teluk Air Tawar telah membangkitkan cadangan mewujudkan task force bagi mengutip sampah selepas krisis banjir dengan kerjasama NGO dan pihak swasta. Untuk makluman YB, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah dipertanggungjawabkan untuk operasi pembersihan kesan banjir di kawasan pulau, Pulau Pinang. Bagi menyelaraskan operasi pasca banjir, MBPP telah membuka sebuah Pusat Bencana di Balai Rakyat MBPP, Jalan Patani. MBPP telah menggerakkan tenaga kerja daripada kalangan kakitangan Majlis sejak 9 November 2017 untuk membantu tugas-tugas pembersihan awam di sekitar kawasan pulau. MBPP juga bersama-sama kakitangan Majlis telah terlibat dalam Hari Sukarelawan Pembersihan Pasca Banjir pada 11 dan 12 November 2017 (Sabtu dan Ahad). Antara agensi lain yang turut terlibat dalam operasi pasca banjir bersama pihak MBPP ialah Kerajaan Negeri Selangor, pihak swasta dan sukarelawan NGO seramai 1,270 orang. Pihak MPSP pula telah menggerakkan seramai 2,471 orang tenaga kerja bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir. Selain itu, MPSP juga menerima bantuan tenaga kerja seramai 157 orang daripada Kerajaan Negeri Selangor dan 58 orang daripada Kerajaan Negeri Melaka. Pihak MPSP juga menerima bantuan mesin chainsaw sebanyak 51 unit adalah Kerajaan Negeri Selangor dan juga pihak swasta. Di samping itu sebanyak 20 unit tandas bergerak turut disumbangkan oleh pihak swasta. Sebanyak 122 buah jentera pelbagai jenis yang digunakan bagi menjalankan tugas-tugas pembersihan pasca banjir turut dibantu oleh Kerajaan Negeri Selangor dan pihak swasta.

PENGURUSAN SISA PEPEJAL

YB ADUN Jawi telah membangkitkan isu berkenaan dakwaan pencemaran air laut sehingga menyebabkan ikan mati dan kerugian kepada penternak disebabkan leachate daripada Pulau Burung. Mohon semakan dan laporan JAS dan Jabatan Perikanan.

Untuk makluman YB, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan telah melaporkan tidak ada satu bukti konklusif bahawa kematian ikan dalam sangkar berpunca daripada air larut resap (leachate) daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung. Ini kerana terdapat juga kesan efluen daripada lepasan ke dalam Sungai Kerian dan Sungai Tengah yang mengalir masuk ke laut berdekatan dengan Tapak Pelupusan Pulau Burung. Sehingga kini, pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menyelesaikan masalah air larut resap atau leachate tapak pelupusan Pulau Burung daripada mengalir ke laut dengan mengukuhkan ban/parit perimeter di sekeliling tapak pelupusan menggunakan cerucuk bakau serta penambakan tanah merah yang dilapisi liner geo. Untuk makluman YB jua, sebuah tapak pelupusan Fasa 3 sedang dibangunkan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung. Di tapak pelupusan Fasa 3 tersebut, setiap sel pelupusan dan kolam tangkungan leachate akan dipasang liner dari jenis High-Density Polyethylene (HDPE) Geo Membrane bagi mengelakkan leachate meresap masuk ke sumber air berdekatan. Selain itu, sebuah Leachate Treatment Plant (LTP) dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 2,000 meter padu sehari akan turut dibangunkan. Apabila beroperasi kelak, leachate sedia ada di kolam takungan serta parit perimeter bagi Fasa 1 dan 2 akan dipam masuk ke dalam kolam takungan leachate yang baharu di Fasa 3. LTP yang dibina akan memproses semua air leachate yang ada dan bakal terhasil kepada air bersih seperti yang disyaratkan oleh JAS dan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

PENGURUSAN LALU LINTAS

YB ADUN Telok Air Tawar telah membangkit isu tempoh bayaran tempat letak kereta di kawasan pulau.

YB Telok Air Tawar telah membangkit isu tempoh bayaran tempat letak kereta di kawasan pulau. Untuk makluman YB, Kerajaan Negeri telah menyeragamkan waktu kawalan tempat letak kereta bermula tahun 2016 di Pulau Pinang. Kutipan hanya dibuat pada hari Isnin hingga Sabtu termasuk cuti umum dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Isu Kesesakan Lalu Lintas

Kerajaan Negeri memandang serius akan masalah kesesakan lalu lintas di negeri Pulau Pinang dan telah memulakan inisiatif penyelesaian jangka panjang sejak tahun 2011 lagi. Setelah kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) siap sepenuhnya pada Mac 2013, Kerajaan Negeri begitu komited untuk melaksanaan setiap strategi dalam PIP. Bagi penyelesaian jangka pendek, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua PBT telah menjalankan kajian berskala tempatan dimana fokus diberikan kepada penyelesaian untuk mengurangkan kadar kesesakan jalan raya. Antara cadangan penyelesaian ialah laluan jalan sehala, penyelarasan lampu isyarat dan naik taraf persimpangan jalan termasuk pembinaan tanjakan baru bagi melancarkan aliran lalu lintas.

Isu Parkir Bas Kilang Dan Bas Persiaran

Kerajaan Negeri sedia maklum akan perkara ini dan telah mengambil beberapa langkah pro aktif bagi menangani isu ini. Antara langkah yang telah diambil adalah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk dijadikan tempat letak bas. Kerajaan Negeri juga telah mengadakan beberapa perjumpaan bersama dengan semua operator bas kilang dan bas persiaran dan telah mencadangkan untuk mewujudkan satu persatuan yang boleh berhubung terus dengan Kerajaan Negeri sekiranya terdapat masalah dan memudahkan proses penyampaian maklumat. Daripadda segi penguatkuasaan pula, PBT bersama-sama pihak PDRM, JPJ dan SPAD sering melaksanakan operasi bersepadu bagi memastikan bas-bas ini tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan sehingga boleh menyebabkan peningkatan kesesakan lalu lintas.

Isu Bas Pengantara KADUN Penanti

Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan isu berkaitan pengangkutan awam terutama di kawasan-kawasan luar bandar. Untuk makluman Yang Berhormat, isu bas pengantara menggunakan van desa telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Yang berhormat sendiri beserta SPAD dan operator van desa. Walau bagaimanapun, seperti Yang Berhormat sedia maklum, pihak operator telah menarik diri di atas masalah persendirian beliau dan syarikat. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk meneliti perkara ini bersama-sama SPAD dalam kajian Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat (RIPAD) Wilayah Utara. Kajian ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2018.

PELAN INDUK PENGANGKUTAN

YB ADUN Teluk Air Tawar telah membangkit isu berkenaan Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang

Untuk makluman YB, Tebatan Banjir dan Pelan Induk Pengangkutan mempunyai kepentingan yang saksama dalam memastikan kelestarian hidup masyarakat Pulau Pinang. Kerajaan Negeri mengambil berat akan dua (2) cabaran utama yang dihadapi oleh Pulau Pinang iaitu isu kesesakan lalu lintas dan isu banjir. Kedua-dua isu ini memberi kesan yang sangat mendalam terhadap kehidupan rakyat dan memerlukan perhatian segera dan utama daripadda Kerajaan Negeri. Isu-isu ini akan ditangani menerusi penambahbaikan infrastruktur perparitan dan banjir melalui Jabatan Pengairan & Saliran Pulau Pinang (JPS) dengan bantuan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri juga melihat keperluan yang mendesak untuk membangunkan rangkaian pengangkutan awam dan bersepadu bagi meningkatkan penyambungan serta aksesibiliti dalam kawasan pulau dan Seberang Perai. Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) di Pulau Pinang akan dibiayai melalui hasil projek Penang South Reclamation (PSR). Pelaksanaan PIP ini tidak akan menjejaskan keperluan peruntukan untuk rancangan tebatan banjir di negeri ini malah keperluan peruntukan ini turut memerlukan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan. Untuk makluman YB, projek LRT Bayan Lepas, apabila siap sepenuhnya nanti akan menjadi satu-satunya mod pengangkutan awam yang dapat beroperasi sepenuhnya dan boleh digunakan sebagai pengangkutan orang awam sewaktu situasi banjir kerana ia adalah struktur bertingkat (elevated structure). Pelaksanaan LRT dan infrastruktur yang berkaitan di bawah PIP, dijangka tidak akan menjejaskan keadaan banjir di Pulau Pinang. Infrastruktur perparitan dan saliran akan dialihkan dan digantikan semasa kerja-kerja pembinaan dilaksanakan, dan dikawal melalui langkah-langkah pengawalan alam sekitar yang ketat sepereti yang telah ditetapkan di bawah EIA dan kajian berkaitan yang diluluskan oleh agensi di bawah Kerajaan Persekutuan.

Isu berkenaan Land Reclamation yang dijalankan untuk membiayai TMP. Apakah yang akan berlaku sekiranya penambakan tanah tidak dapat dijual.

Yang Berhormat Machang Bubuk telah membangkitkan isu berkenaan Land Reclamation yang dijalankan untuk membiayai TMP. Apakah yang akan berlaku sekiranya penambakan tanah tidak dapat dijual. Penang South Reclaimation (PSR) merupakan projek Transformasi Ekonomi Kerajaan Negeri ke arah menjadikan negeri Pulau Pinang sebuah hab perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang teguh. Tanah yang ditambak bagi projek ini akan menjadi hakmilik Kerajaan Negeri. Oleh itu, tanah ini akan dinilai oleh Jabatan Pengurusan Penilaian Harta (JPPH) untuk memastikan nilai tanah adalah berdaya saing dan mengikut harga pasaran. Sekiranya projek PSR tidak diteruskan maka pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (TPM) tidak akan berlaku.

PELAKSANAAN BANDAR PINTAR/DATA RAYA (BIG DATA) DI PULAU PINANG

Yang Berhormat Tanjung Bungah telah membangkitkan isu untuk mempercepatkan penubuhan jabatan Big Data supaya semua maklumat yang berkemungkinan boleh digunakan dan dianalisiskan supaya dapat meramal bencana. Kerajaan Negeri telahpun mengambil inisiatif mewujudkan Pelan Pelaksanaan Data Raya Pentadbiran Negeri yang diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu eGood Governance (eGG) Bil 4/2017 pada 13 Disember 2016. Sehubungan itu, sebuah jabatan khas iaitu Unit Analitis Data Raya (Big Data) telah ditubuhkan dan akan diuruskan oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang mulai suku pertama tahun 2018. Tujuan utama unit ini adalah untuk memastikan pelaksanaan inisiatif data raya secara menyeluruh di agensi Kerajaan Negeri, dimana salah satu komponen adalah untuk menyebarkan maklumat ramalan cuaca.

Sistem Smart Parking diwujudkan di Negeri ini.

Yang Berhormat Pengkalan Kota telah mencadangkan Sistem Smart Parking diwujudkan di Negeri ini. Untuk makluman YB, Sistem Smart Parking atau Pengurusan Tempat Letak Kereta berkonsep 2E “Efektif dan Efisien” oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan mula beroperasi kepada orang awam mulai awal tahun 2018. Sistem ini akan dilaksanakan bersekali dengan penguatkuasan kompaun bersepadu serta aplikasi untuk bayaran menggunakan alat mudah alih atau “smartphone”. Selain itu, laporan aduan berkenaan salah laku meletak kenderaan dan tugas-tugas pemantauan juga akan dihubungkan melalui sistem ini supaya tindakan yang pantas dapat diambil oleh pihak penguatkuasa MPSP.

PENUTUP

Yang Berhormat Dato’ Speaker, dalam sejarah Pulau Pinang, fokus pembangunan ditumpukan kepada strategi perindustrian secara eksklusif. Di waktu evolusi perindustrian berlaku secara pesat di Pulau Pinang, perancangan sebagai sebuah negeri yang berdaya huni kurang diberikan penekanan pada ketika itu. Justeru, masalah-masalah perbandaran yang timbul diselesaikan secara ad-hoc dan secara mitigasi. Kesannya, perancangan penggunaan tanah dan binaan menjadi semakin mencabar kepada pentadbir bandar. Untuk itu, pembangunan mampan sesebuah negeri amat bergantung kepada pelan perancangan yang sistematik dan realistik supaya dapat memberi impak terhadap kadar pertumbuhan ekonomi negeri, liveability dan sustainability sesuatu bandar.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa sesuatu pelan perancangan bukan sahaja perlu lebih murah dan cepat, tetapi lebih penting agar pelan tersebut adalah reliable, sustainable dan feasible. Sehubungan dengan itu, kepentingan peruntukkan untuk melaksanakan pelan-pelan perancangan tersebut terutamanya pelan tebatan banjir perlu diberikan perhatian yang khusus dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang lebih berdaya huni.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

Saya mengakhiri ucapan penggulungan saya dengan dua rangkap pantun:

Pulau Mutiara pulau dirahmati,
Bencana yang dialami boleh diatasi,
Berganding bahu pulihkan pulau ini,
Supaya terus cekap, telus dan akauntabiliti,

Pulau Pinang Pulau Mutiara,
Bangkitlah kita rakyat jelata,
Demi negeri yang tercinta,
Agar kita kekal bahagia.

Sekian, terima kasih.

Chow Kon Yeow
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir
Ucapan penggulungan oleh Chow Kon Yeow sempena Mesyuarat Kedua bagi Penggal yang Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ketiga Belas pada hari Selasa, 14 November 2017