BM 中文 English

Isu tudung di front desk hotel

Saya merujuk kepada isu tentang staf wanita Muslim yang bertugas di bahagian front desk hotel.

Sebenarnya tidak ada sebab untuk melarang wanita memakai tudung dalam industri perhotelan. Larangan itu, pada pendapat saya, adalah berat sebelah, bersifat diskriminasi, dan melanggar Perlembagaan.

Ia mencabul hak asasi seseorang untuk mengamal kepercayaan agamanya. Ia juga tidak sensitif terhadap kepercayaan agama wanita Islam, yang mana kita sepatutnya menghormati dan mempertahankannya. Bagi saya, melarang pemakaian tudung dalam hal ini tidak sepatutnya berlaku.

Kerajaan mesti menangani isu ini dengan baik, sama ada melalui undang-undang atau cara-cara lain. Jika perlu menyelesaikannya di mahkamah, saya bagi pihak DAP, sedia menawarkan bantuan guaman kepada mereka yang terjejas akibat larangan itu.

Saya sedia membantu jika mereka yang terlibat mahu mencabar kesahihan larangan tersebut di mahkamah.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan & Ahli Parlimen Puchong
Kenyataan media oleh Gobind Singh Deo di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 14 November 2017