BM 中文 English

SPRM digesa menjalankan siasatan theradap pendedahan penjualan tanah kepada pemaju Residensi Desa Satumas di bawah harga pasaran yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2016

Hari ini, Sdr Edmund Teoh Kheng Yaik, seorang penduduk di Taman Desa membuat laporan berkenaan dengan penjualan tanah kerajaan oleh DBKL kepada pemaju dengan cara yang tidak mengikut prosedur kerajaan, seperti apa yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016.

1. Laporan Ketua Audit Negara 2016 mendedahkan DBKL menjual tanah kepada Garuda Searah Sdn Bhd (GSSB), iaitu pemaju Residensi Desa Satumas di bawah harga pasaran berjumlah RM24.07 juta, kerana tiada bukti menunjukkan penilaian tanah berasaskan jualan telah dibuat. (Mukasurat xxiii)

2. Mengikut risalah jualan Residensi Desa Satumas, tanah projek ini berukuran 7.485 ekar. Sekiranya jumlah wang yang dibayar oleh pemaju Residensi Desa Satumas ialah RM24.07 juta, ini bermaksud harganya ialah lebih kurang RM 74 satu kaki persegi. Harga pasaran tanah di Taman Desa sekarang adalah lebih kurang RM400 satu kaki persegi. Ini bermaksud harga yang dibayar oleh pemaju kepada DBKL adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran dan ini telah merugikan DBKL.

3. Dalam mukasurat 156 dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 berkenaan dengan penjualan tanah PT 4284, 52958, 52959, 52961 dan 52960 kepada GSSB di Tasek Desa, Jalan Klang Lama bagi projek Residensi Desa Satumas, ia berbunyi: “Mengikut Minit Mesyuarat Penyelarasan Penyediaan Request for Proposal pada 24 Disember 2014, pelaksaaan projek diteruskan secara tender terhad.”

“Tiada tawaran oleh DBKL kepada petender untuk menyertai tender terhad sebaliknya, kesemua pemohon pembelian tanah daripada syarikat terlibat telah dikemukakan secara terus kepada DBKL pada bulan Januari 2016. Tiada bukti Jawatankuasa Penilaian telah ditubuhkan dan kertas kerja proses penilaian disediakan.”

“DBKL kemudiannya menyediakan dua Jadual Penilaian yang menyenaraipendekkan butiran permohonan yang diterima. Namun, didapati terdapat perbezaan antara senarai pemohon bagi jadual-jadual tersebut dan GSSB hanya disenaraikan dalam Jadual Penilaian Kali Kedua.

“GSSB merupakan syarikat yang baru ditubuhkan pada 11 Mac 2015. Pihak Audit tidak dapat memastikan sama ada syarikat ini berkeupayaan melaksanakan pembangunan projek perumahan memandangkan aktiviti syarikat yang didaftarkan dalam SSM adalah mengeksport dan mengimport pelbagai barangan.”

5. Sehubungan dengan itu, The Star pada 30 September 2016 menyiarkan bahawa penjualan tanah 42 ekar oleh DBKL tersebut dilakukan secara pembelian terus dan bukan melalui tender terbuka.

(https://www.thestar.com.my/metro/community/2016/09/30/the-end-of-desa-water-park-dbkl-sells-land-to-private-developer-which-plans-for-a-mixed-development/)

Pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 telah jelas membuktikan penyelewengan yang berlaku di dalam DBKL. Memandangkan DBKL telah meluluskan banyak projek pangsapuri tanpa mematuhi KL City Plan 2020 yang tidak diwartakan, saya percaya penyelewengan seperti apa yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 ini bukannya kes terpencil.

Saya berharap SPRM akan mengambil laporan Sdr Edmund Teoh dengan serius dan menjalankan siasatan ke atas penjualan tanah dan kelulusan projek Residensi Desa Satumas dan juga kes-kes yang sama yang lain dengan sewajarnya, demi menentukan samada prinsip ketelusan dan kepentingan rakyat dipegang oleh pihak DBKL.

Timbalan Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Seputeh
Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di persidangan akhbar di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada hari Rabu, 6 Disember 2017