BM 中文 English

Janganlah KJ tercungap-cungap membilang penyelewengan zaman Tun Dr Mahathir sedangkan ianya hanya boleh berlaku kerana kegagalan UMNO sendiri

Janganlah KJ tercungap-cungap membilang penyelewengan silam zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM sedangkan ianya hanya boleh berlaku kerana kegagalan UMNO untuk menwujudkan satu ekosistem politik yang amanah, bersih dan cekap.

Saya terpegun melihat Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berpanjang lebar menyenaraikan satu-persatu skandal dan penyelewengan yang berlaku sepanjang dua dekad Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, seolah-olah semua yang berlaku ini berpunca dan berakhir dengan individu bernama Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja.

Malahan amat menarik bagi saya mengapa Khairy Jamaluddin enggan mengaku bahawa semua yang telah berlaku itu pastinya dapat disekat daripada menjadi parah sekiranya mekanisme semak dan imbang yang berada di dalam sistem pentadbiran, perundangan, kehakiman serta dalam parti UMNO sendiri dapat menjalankan fungsi dan memainkan peranannya pada masa itu.

Lebih menarik perhatian saya ialah Perdana Menteri Najib Tun Razak, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (juga Bapa Mertua KJ) merupakan anggota Jemaah Menteri semasa Tun Dr Mahathir memegang tampuk kepimpinan negara antara tahun 1981 hingga 2003. Tidakkah kedua-duanya menegur Tun Dr Mahathir sepanjang 22 tahun ini ataupun mereka sekadar Pak Turut dalam Jemaah Menteri?

Soalan saya kepada KJ: Bukankah Pak Turut juga perlu memikul sebahagian daripada tanggungjawabnya dalam konteks yang sama?

ADUN Kg Tunku
Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Rabu, 6 Disember 2017